Isu Sewa Rumah PPR Pada Warga Asing, Menteri Perumahan Beri Amaran Kosongkan Segera Atau Berdepan Tindakan

Share

Selama ini rakyat cukup muak dengan karenah warga tempatan yang selalu mahu mengalibabakan apa saja  projek diperoleh kepada warga asing.  Asal untung banyak, tak kisah “gadaikan negara pun” kerana mereka tahu warga asing sanggup membayar berapa saja jumlahnya asalkan  mereka dapat berniaga, menyewa rumah dan sebagainya.

Kalau tidak tidaklah timbul isu tapak bazar Ramadan, projek, permit kedai dan sebagainya yang dilihat dimonopoli oleh warga asing yang kini mencecah 7 juta orang di mana 5 juta darinya adalah pendatang tanpa izin.

Mungkin sudah lama faham dan tahu masalah yang melanda khususnya masalah kepada golongan muda yang baru berkahwin untuk memiliki dan menduduki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terbaru, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamarudin  memberi tempoh selama tiga bulan bermula hari ini bagi pemilik rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) mengosongkan rumah mereka yang disewa warga asing.

Menteri KPKT beri masa tiga bulan kosongkan rumah atau berdepan penalti dan tindakan dari kerajaan kepada yang menyewakan rumah pada warga asing
Sikap tamak penghuni yang mahu untung banyak dengan sewakan kepada warga asing sudah lama berleluasa

Beliau berkata,  sekiranya pemilik gagal mengosongkan premis berkenaan dalam tempoh tersebut, tindakan pengusiran terhadap penyewa warga asing itu akan dikuatkuasakan dan pemilik bakal berdepan dengan penalti dan hak pemilikan rumah ditarik balik.

“Tindakan ini diambil adalah bagi memastikan tiada lagi warga asing menduduki rumah PPR dan ini akan dimulakan dengan rumah yang di bawah jagaan KPKT dan seterusnya kita akan bergerak kepada sektor-sektor yang lain,” katanya dalam sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Katanya penguatkuasaan tersebut dilakukan dalam memastikan rakyat tempatan diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah selain isu-isu sosial yang sering ditimbulkan oleh warga asing yang menduduki kawasan rumah terbabit.

“Kita juga mahu mengawal selia isu harga sewa di kawasan berkenaan yang mana kita tahu kebanyakan warga asing akan menawarkan kadar yang lebih tinggi berbanding rakyat tempatan,” katanya.

Banyak rumah PPR dibina oleh kerajaan untuk golongan berpendapatan sederhana tetapi malangnya ramai yang mengaut untung begitu saja. Gambar hiasan
Warga asing menyewa rumah PPR sudah lama berleluasa dan kini tindakan tegas akan dilakukan

Zuraida dalam pada itu berkata KPKT akan mengkaji semula pelbagai aspek perkhidmatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk prosedur operasi standard sedia ada dan memberi perhatian keadaan semasa fasiliti JBPM termasuk kenderaan, pili bomba dan peralatan menyelamat.

“Kita juga akan memberi fokus kepada kebajikan anggota JBPM di seluruh Malaysia terutamanya dari segi pendidikan anak-anak anggota, kebajikan bekas anggota dan balu akan dikaji semula serta akan membincangkan isu elaun kritikal anggota yang akan diselaraskan dengan keadaan ekonomi semasa,”katanya.

Menteri tersebut turut memaklumkan bahawa beliau akan berangkat ke Vilnius, Lithuania pada hari ini untuk menghadiri Himpunan Pemimpin Wanita Dunia.

Katanya menerusi platform tersebut KPKT akan menerajui pemberdayaan wanita melalui komuniti dengan memperkenalkan Titik Tumpuan Gender yang akan mengarusperdanakan kesaksamaan gender dalam kementerian, kerajaan tempatan dan juga masyarakat.

Ini selaras dengan Deklarasi Beijing dan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita yang telah ditandatangani dipersetujui oleh Kerajaan Malaysia sebelum ini serta selaras dengan tuntutan daripada Wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi melaksanakan pemberdayaan wanita dalam masyarakat, katanya.– Bernama

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros