“Tiada istilah meniru dalam dunia seni..”
Tayangan episod pertama Projek: Anchor SPM semalam di saluran Astro Citra nyata telah menarik perhatian ramai penonton tempatan yang kian ghairah mencari naskah drama yang segar untuk ditonton.
Semakin lama, kita disajikan dengan berbagai-bagai pilihan drama serta filem, baik di televisyen, di media sosial seperti YouTube mahupun di laman penstriman atas talian. Lambakan karya baharu di pasaran ini telah memberikan kepuasan kepada penonton untuk bertukar arah genre mengikut mood.
Bagaimanapun apabila terlalu banyak pilihan yang hadir daripada seluruh pelosok dunia, karya drama dan filem terbitan produksi Malaysia secara tidak langsung akan tenggelam JIKA pengarah, penerbit dan seluruh dunia seni lakonan tempatan masih selesa di takuk yang sama.
Jika kita masih dalam zon selamat dengan mempertaruhkan konsep kahwin paksa, cinta yang dicurangi, perniagaan berbilion Ringgit milik anak Datuk dan komedi ringan yang jujurnya kadangkala tidak kelakar pun, nampaknya kita akan terus tertinggal di belakang.
Oleh sebab itulah, kehadiran naskah terbaru arahan Razaisyam berjudul Projek: Anchor SPM ini terasa segar dan baharu kepada penulis dan ramai penonton yang sempat mengikuti episod pertamanya semalam.
Biarpun baru ditayangkan bagi sejam pertama dan masih berbaki tujuh lagi episod, keseluruhan drama digarap sebaik mungkin dan menjanjikan kelainan memandangakn ia adalah siri original terbitan Astro.
ARTIKEL BERKAITAN : 5 Karakter Projek: Anchor SPM, Korang Yang Mana Satu?
Bercakap mengenai originaliti, sejak para pelakonnya memasuki set penggambaran lagi, warganet mula mempersoalkan sekiranya Projek: Anchor SPM ini adalah drama gred kedua yang sekadar menciplak idea karya terbitan Thailand popular berjudul Bad Genius.
Tanggapan pramatang itu hadir disebabkan konsep pelajar yang terpaksa meniru di dalam dewan peperiksaan sekolah. Kedua-dua naskah ini menggunakan plot tersebut sebagai anchor (pun intended) kepada keseluruhan jalan cerita.
Peluang untuk duduk menemubual pelakon utama Projek: Anchor SPM iaitu Aedy Ashraf baru-baru ini telah penulis gunakan untuk bertanya tentang isu kononnya meniru jalan cerita Bad Genius.
“Sebagai seorang pelakon, saya rasakan adalah okay untuk ambil sesebuah karya sebagai reference. Tapi itu tidak bermakna kita meniru. For me, there is no copycat in art.”
“Saya rasa, penulis skrip telah menggunakan plot penceritaan drama ini berdasarkan pengalaman mereka sendiri di sekolah berasrama penuh. Kalau orang nak kata drama ini 100 peratus meniru, saya tidak berapa nak setuju.
“Kita ada penceritaan kita sendiri. Lagipun saya rasakan ia sedikit lebih menarik berbanding Bad Genius kot,” seloroh Aedy.
Setelah menonton episod pertama Projek: Anchor SPM semalam, ia sebenarnya lebih daripada sekadar percubaan meniru itu.
Selain suntingan dan sinematografi berkesan yang membuatkan penonton setia menanti di hadapan layar kaca sepanjang sejam ditayangkan, siri bergenre coming-of age dan young adult ini juga memperlihatkan isu-isu yang dihadapi pelajar sekolah berasrama di Malaysia.
Ada sedikit perisa kenakalan, ada elemen ‘budak sukan’, perasaan cinta dan persahabatan, tekanan mengekalkan prestasi pelajaran dan macam-macam lagi. Kesemua itu dirangkum kemas bagi mengembalikan memori bekas pelajar sekolah menengah.
Bagi khalayak penonton remajanya pula, penulis rasakan Projek: Anchor SPM mampu memberi gambaran sebenar kehidupan mereka walaupun ia hanyalah 30 peratus daripada keseluruhan pengalaman pelajar asrama penuh.
Lagi 70 peratus tu, korang tanyalah sendiri kepada pelajar asrama. Mana boleh reveal semuanya, nanti kantoi.
Tinjauan REMAJA di media sosial juga menunjukkan rata-rata respon positif selepas episod pertama dan mereka juga menidakkan persamaan yang dikatakan wujud antara Projek: Anchor SPM dan Bad Genius.
*
Apapun, episod pertama semalam telah berjaya membuakkan rasa tidak sabar dalam jiwa ramai penontonnya untuk menantikan episod kedua selepas ini.
Bagi yang terlepas untuk menonton siri premium Astro Originals ini semalam, korang boleh menstrimnya semula di aplikasi Astro Go atau On Demand. Teruskan menonton Projek: Anchor SPM setiap hari Isnin, jam 9 malam di saluran Astro Citra (108/128)
BACA LAGI : ‘Projek Anchor SPM’ 100% Lain Daripada ‘Bad Genius’ – Nadhir Nasar – REMAJA