Jabatan Perhutanan Perkenal SOP Baru, Aktiviti Hiking Perlu Disertai Seorang Jurupandu

Share

Perhatian kepada individu yang gemar melakukan aktiviti mendaki bukit atau gunung, mulai tahun ini, setiap aktiviti pendakian yang mempunyai ketinggian melebihi 457.2 meter perlu menepati nisbah tujuh peserta dan seorang jurupandu.

Menurut Malaysiakini, Pengarah Forest Eco-Park dan Hutan Taman Negeri, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia Mohd Yussainy Md Yusop berkata peraturan baru yang akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022 itu bagi mempertingkatkan keselamatan pengunjung, serta langkah waspada bagi mengawal virus COVID-19.

Gambar hiasan

Pihak jabatan perhutanan negeri akan mengenal pasti kawasan pendakian yang wajib bagi menggunakan khidmat malim gunung perhutanan namun pendaki juga boleh mengupah jurupandu bagi pendakian kurang daripada 457.2m kerana kos ditanggung mereka sendiri.

Jabatan perhutanan kami sudah empat kali mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pembukaan semula taman eko rimba dan taman hutan negeri. Walaupun kemudahan (aktiviti rekreasi dan pendakian) dibuka semula nanti, pengunjung perlu mematuhi SOP untuk terus mengawal COVID-19.

Gambar hiasan

Kursus malim gunung perhutanan di seluruh negara akan dijalankan bagi meningkatkan pelbagai kemahiran terutama aspek keselamatan dan ilmu asas perhutanan. Dalam 10 tahun ini, lebih 218 kes kemalangan seperti kecederaan, bencana kepala air dan sesat di luar denai pendakian direkodkan termasuk 128 kes melibatkan kematian.

Kursus malim gunung ini akan diadakan selama lima hari pada setiap bulan di seluruh negara bermula Februari dan akan mengutamakan golongan belia serta warga tempatan yang mahir dengan selok-belok kawasan pendakian setempat.

Gambar hiasan

Setakat ini, sebanyak 3,000 permohonan telah diterima dan ia adalah satu maklum balas yang positif memandangkan ramai rakyat Malaysia ingin mencuba disebabkan kehilangan pekerjaan akibat situasi pandemik.

Tindakan ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik kerana terlalu banyak kes yang kita dengar tentang kemalangan yang berlaku di kawasan bukit dan pergunungan. Maka dengan cara ini mungkin para pendaki boleh menerima pandangan dan bantuan daripada malim gunung.

Apa-apa pun, SOP tetap perlu dipatuhi ya. Nak hiking pun ada SOP okay!

Sumber: Malaysiakini

Published by
Noor Ain Norman