Satu keputusan yang mengejutkan telah dibuat oleh Jacinda Ardern selepas dia membuat pengumuman peletakan jawatan itu semasa pertemuan tahunan partinya pada Khamis. Wanita berusia 42 tahun itu mengatakan beliau tidak akan bertanding semula dan akan meninggalkan peranannya sebagai perdana menteri selewat-lewatnya pada 7 Februari.
“Saya tahu apa yang diperlukan oleh kerja ini. Dan saya tahu bahawa saya tidak lagi mempunyai cukup keupayaan untuk menjalankan tanggungjawab saya secara adil. Ia semudah itu,” ucap ibu kepada seorang cahaya mata saat pengumuman tersebut.
Beliau telah menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat selepas memikirkannya semasa cuti musim panas yang lalu sama ada dia mempunyai tenaga yang cukup untuk terus memimpin negara sehingga pilihan raya umum akan datang yang dijadualkan jatuh pada 14 Oktober.
“Saya berharap bahawa saya akan menemui apa yang saya perlukan untuk meneruskan dalam tempoh itu tetapi malangnya tidak. Dan semestinya saya tidak dapat melaksanakan tugas dengan baik kepada New Zealand jika tetap meneruskan juga peranan,” tambahnya lagi.
BACA JUGA: Kasut Louis Vuitton Perdana Menteri Adalah Pemberian Sultan Johor, Bukan Dibeli Sendiri
Jacinda turut menjelaskan selepas peletakan jawatannya, beliau berharap dapat meluangkan lebih banyak masa bersama pasangannya, Clarke Gayford dan anak perempuan mereka, Neve yang kini berusia lima tahun.
Beliau juga menegaskan bahawa dirinya tidak akan bertanding semula dan tidak akan memegang sebarang jawatan sebagai pemimpin masa hadapan Parti Buruh. Ekoran peletakan jawatan Jacinda, parti tersebut mempunyai masa seminggu untuk mencari pemimpin parti baharu dengan lebih daripada dua pertiga sokongan.
Sebelum ini, wanita berketrampilan hebat ini menjadi Perdana Menteri New Zeland pada usia 37 tahun sekaligus menjadikan beliau sebagai ketua kerajaan wanita termuda di dunia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.