Pencarian Dewi Remaja 2018/19 baru saja melabuhkan tirainya, namun rezeki ternyata berpihak kepada Anna Jobling kerana sudah terpilih untuk menjadi hos karpet merah di Anugerah Juara Lagu 33.
Anugerah Juara Lagu (AJL) merupakan antara salah satu acara tahunan terbesar dan sudah pasti ramai yang ingin menjadi sebahagian daripada pasukan berprestij ini.
Mendapat tawaran daripada sebuah stesen televisyen swasta tanah air seperti satu mimpi buat finalis tempat keempat Pencarian Dewi Remaja 2018/19.
“Saya sangat berbesar hati kerana diberi kepercayaan oleh E! Show untuk menggendalikan acara karpet merah Anugerah Juara Lagu 33 semalam. Perasaan bercampur baur, happy dan gementar kerana ini merupakan pengalaman pertama saya untuk menjadi hos, apa lagi untuk satu acara yang besar seperti AJL,” jelas Anna.
Tidak mensia-siakan peluang yang ada, Anna menyahut cabaran yang diberi dan berusaha untuk melakukan sehabis baik bagi membuktikan bahawa dia juga mampu melakukan tugasan ini walaupun tiada pengalaman.
“Alhamdulillah, pada mulanya saya memang rasa nervous tetapi lama-kelamaan jadi lebih selesa pula untuk interview barisan selebriti yang ada. Lagi pun, tugasan ini memerlukan saya untuk berbahasa Inggeris, itu yang membuatkan saya lebih selesa dan confident. Walau bagaimanapun, masih banyak lagi yang perlu saya belajar untuk terus sukses dalam industri ini,” katanya.
Dayang Nurfaizah & Sufian Suhaimi pilihan Anna Jobling
“Saya berpeluang untuk menemubual Dayang dan Sufian sebelum acara bermula lagi. Tak sangka mereka antara pemenang malam semalam. Dayang was so humble dan dia buat saya rasa selesa macam bercakap dengan kawan-kawan. Hehe!”
“Begitu juga dengan Sufian Suhami, persembahannya cukup untuk membuatkan hati penonton tersentuh dan dia menyampaikan lagu Di Matamu itu dengan begitu baik sekali. Sudah tentu dua orang finalis ini menjadi pilihan saya untuk acara AJL semalam,” jawabnya lagi.
Perkembangan selepas Pencarian Dewi Remaja 2018/19
“Saya sekarang sibuk menghadiri casting dan sesi photoshoot sekarang. Selepas Dewi Remaja, kehidupan saya sedikit berbeza dengan sebelum ini. Kalau keluar rumah dah ada yang kenal dan ingin mengambil gambar bersama. Malah, di AJL semalam pun ramai yang menegur saya untuk bergambar,”
“Secara tak langsung saya rasa lebih confident untuk berhadapan dengan orang ramai. Saya ingin mengucapkan terima kasih buat semua penyokong yang tidak jemu-jemu menyokong kami sejak dalam Dewi Remaja lagi.”
Tahniah kami ucapkan kepada Anna Jobling kerana berpeluang untuk menjadi hos karpet merah dalam acara besar seperi AJL ini. Semoga rezeki Anna akan terus bersinar and all the best to you, girl!