Sekitar tengahari tadi, telah berlangsungnya World #Quran Hour di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa, Gombak.
Memilih memperdengarkan Al-Hujurat yang mengandungi 18 ayat dalam surah ke 49, surah ini diturunkan oleh Allah taala untuk mengajar umat Islam tatacara berdialog orang beriman dengan Rasulullah SAW dengan merendahkan suara mereka. Masa yang sama, sebelum menyampaikan berita, pastikan kebenaran sebelum menyebarkannya.
Surah Al-Hujurat ini turut mendidik orang Islam untuk memilih jalan perdamaian ketika timbul perselisihan faham. Begitu juga orang beriman adalah bersaudara. Ayat ini turut mengajar kita iaitu larangan mempersenda, mencela dan memanggil panggilan yang buruk kepada orang lain selain larangan berburuk sangka, mengumpat dan mengintip. Bukan itu saja, kita diminta meninggikan nilai takwa dan memahami hakikat keimanan.
Namun dalam arus media sosial hari ini, sudah ramai yang terleka, begitu mudah mempersenda dan membuat panggilan buruk kepada umat islam yang lain seolah-olah melupakan ajaran agama Islam yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW.
Diminta memberi pandangan tentang situasi masyarakat hari ini, YB Nurul Izzah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir di majlis World #Quran Hour, berkata, banyak yang umat Islam boleh belajar dari surah Al-Hujurat ini.
“Tabayyun, selidik dahulu sebelum siarkan berita. Sama ada kita kenal atau tidak kena, kena ada konsep tabayyun. Prinsip ini harus dipegang oleh semua umat islam. Jangan siar kalau berita itu tiada sumber sahih,” katanya yang menggalakkan umat islam berpegang pada prinsip ini.
Masa yang sama, YB Nurul Izzah turut mengajak masyarakat untuk tidak bercakaran. Bagi saya program ini sangat bermanfaat dan begitu baik sekali. Dengan kehadiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia ibarat sirih pulang ke gagang kerana UIA memang dekat di hatinya,” katanya yang menyokong penuh program World #Quran Hour.
Fatin Nawwarrah Md Shariffudin, 24 tahun, pelajar dari UIA berkata berdasarkan apa diceritakan dari suruh Al-Hujurat dengan situasi yang berlaku hari ini, ianya ternyata bercanggah dari ajaran. Sebagai contohnya, berita buruk sedikit dan ada orang menulisnya. Tulis lain cerita, orang lain tambah lagi dengan menambah-nambahnya lagi sedangkan kita tak tahu kebenaran cerita itu yang sebenar-benarnya.
Tadabbur (fahami) Al-Quran, ia sebagai panduan umat islam. Jangan pandai kerana Islam itu mengajar kita dengan sebaik-baik panduan.
Sementara itu, Nurul Fasihah Che Rahim, 25 yang memilih pengajian dari bidang Psikologi dari universiti yang sama berkata, bagi dirinya pemilihan surah ini sangat bagus untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Dalam konteks masayarakat sosial, melihat kepada apa yang terjadi di mana semua orang bebas menulis tanpa menyelidikinya, ia tidak mengikut al-Quran sebagai panduan kehidupan.
Muhammad Naufal bin Muhammad Hanifah, 16 dari Sekolah Menengah Islam Al-Amin berkata, Allah sudah mengatur tatacara hidup manusia dengan sempurna dengan turunnya Al-Quran sebagai panduan kehidupan namun adakalanya ia bercanggah. Dalam konteks media sosial, setiap orang lahir dari latar belakang, ada ketika wujud percanggahan pendapat.
“Jadi surah ini diturunkan untuk mengatur tatacara kehidupan manusia dengan sempurna. Tapi seperti biasa, wujud kategori orang dari pelbagai latar belakang hingga timbul gelaran makcik bawang, akak bawang, pakcik bawang dan sebagainya yang dilihat sebagai satu senario baik dan tidak baik kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui.