Satu perkhabaran positif dari Terengganu apabila beberapa lokasi rekreasi di negeri itu kembali dibuka kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti beriadah seperti jogging dan mendaki bukit.
Menurut siaran Buletin 1.30 di saluran TV3 hari ini, antara lokasi yang menjadi tumpuan adalah di Bukit Besar, Kuala Terengganu yang kembali dikunjungi setelah hampir dua bulan ditutup.
Kelonggaran yang diberikan ini adalah selepas Terengganu beralih ke Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 5 Julai lalu.
Setelah penduduk di sana lama ‘terperap’ di rumah, mereka menyambut baik peluang beriadah ini untuk merehatkan minda dan mencergaskan badan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Ini termasuklah sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan tiada sebarang sentuhan di antara pengunjung. Kanak-kanak di bawah usia 12 tahun juga tidak dibenarkan masuk ke kawasan ini demi menjaga keselamatan mereka.
Selain dapat mengeluarkan peluh, pengunjung Bukit Besar juga dilihat lebih segar dan lega dapat menikmati pemandangan di puncak bukit berketinggian 156 meter.
ARTIKEL BERKAITAN : Tengku Hassanal Putera Raja Pertama Hiking Di Gunung Tahan – REMAJA
Untuk pengetahuan, Bukit Besar yang terletak di pinggir pusat bandar ini merupakan lokasi wajib kunjung penduduk Kuala Terengganu. Sebelum pandemik COVID-19 melanda, ia selalu menempatkan kanopi jualan makanan dan minuman di bahagian kaki bukit pada hujung minggu.
Dengan kecerunan bukit yang tidaklah seekstrem puncak tinggi lain seperti Bukit Tobak, Bukit Rohok dan Bukit Botok yang terletak sebelah-menyebelah, ia popular di kalangan pengunjung berkeluarga.
Rindunya nak pergi hiking!
REMAJA pernah menyenaraikan beberapa lokasi mendaki yang wajar korang cuba setelah pandemik di Malaysia semakin pulih tidak lama lagi.
ARTIKEL BERKAITAN : 12 Tempat Hiking Paling Best Untuk Korang Yang Baru Nak Berjinak – REMAJA