“Jangan Gunakan Platform Ini Hanya Untuk Tunjuk Rupa”, Scha Alyahya Beri Pesanan Buat Finalis Hero Remaja 2020

Share

Jika sebelum ini pelakon dan pengacara cantik Scha Alyahya dipilih menjadi hos Hero Remaja 2017, kali ini sekali lagi Scha mempunyai komitmen terhadap pencarian Hero Remaja tetapi dengan tanggungjawab yang berbeza, iaitu menjadi juri tetap bagi edisi tahun ini.

Mengakui tugas sebagai seorang juri sebenarnya lebih sukar berbanding hos, Scha Alyahya tetap positif dan mengambil peluang ini sebagai salah satu tanggungjawab dan usaha bagi memberi sokongan serta tunjuk ajar kepada barisan finalis yang terpilih.

"Tanggungjawab hos sebenarnya lebih mudah kerana hanya perlu mengacarakan program tersebut, cuma kali ini jadi juri cabarannya adalah apa sahaja yang terjadi selepas ini semua adalah dibawah tanggungjawab juri itu sendiri, sama ada membuat penilaian yang betul atau tidak,"

"Jadi Scha harap dengan adanya Dato' Hans Isaac selaku juri tetap bersama, kami dapat memberikan sedikit sebanyak bimbingan kepada penilaian yang kita akan buat dan dalam masa yang sama kami akan memberi tunjuk ajar,"

Sebab kita tidak mahu, insiden yang pernah berlaku sebelum ini terjadi, mungkin disebabkan benda-benda yang longgar seperti format dan sebagainya, jadi Scha harap untuk edisi kali ini kita tahu untuk ketatkan kita punya penapisan supaya bila mereka dah keluar nanti, mereka tahu untuk menjaga diri," kata Scha.

Pesanan buat finalis Hero Remaja 2020

Tidak kiralah dalam mana-mana program realiti, mungkin ada dikalangan peserta yang merasa rendah diri serta tidak yakin kerana mereka perlu bersaing dengan peserta yang sudah mempunyai pengikutnya sendiri.

Namun, bagi Scha Alyahya itu semua bukan perkara utama yang perlu dilihat kerana dia percaya kebolehan dan bakat yang ada membawa seseorang itu pergi jauh dalam industri seni tanah air.

"Scha faham mudah untuk kita katakan it's okay followers kita sikit, orang tak tengok followers. No, i know social media is very important sebab ia adalah salah satu faktor yang orang suka tengok. Itu mungkin jadi satu kelebihan juga tetapi itulah tugas juri, kami tidak akan menilai mengikut jumlah followers sahaja kerana pada akhirnya followers itu tidak dapat translate kan apa-apa jika individu itu sendiri tidak bagus,"

"Kalau mereka masih bukan seseorang yang kita cari dan tidak apa yang seperti kami mahu kan, Scha rasa followers itu hanya sekadar nombor. Mereka mungkin popular di sosial media tetapi dalam industri ni, it takes more than that. Kita mencari individu yang boleh survive dengan cabaran yang ada dalam industri hiburan. Jadi banyak-banyaklah berdoa dan buat yang terbaik," jelas Scha lagi.

Ditanya apakah harapannya untuk Hero Remaja 2020 kali ini, sebagai juri tetap Scha mempunyai pendapatnya tersendiri.

"Scha harap apa yang Scha dah lakukan dengan Remaja sebelum ini, mereka dapat ambil sedikit sebanyak pelajaran untuk jadikan rujukan sebab kita dah buat banyak Hero Remaja, Dewi Remaja, jadi jangan gunakan platform ini hanya untuk menunjukkan rupa. Itu bukan yang kami cari. Kita nak seseorang yang ada potensi, agresif, emotionally pandai handle apa sahaja cabaran yang diberikan,"

"Saya selalu menegaskan kepada finalis untuk menjadi yang terbaik. Walaupun bunyinya seperti klise, but you have to be fun kerana ini remaja. Kita nak korang rasa happy bila berada dalam program ini, cuma korang perlu tahu bagaimana untuk menyahut cabaran yang kami beri dan absorb supaya orang nampak yang korang mempunyai kredibiliti serta potensi untuk menjadi anak seni,"

"Scha juga berharap agar mereka bijak untuk berfikir apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan," pesan Scha kepada semua finalis Hero Remaja 2020.

Published by
Noor Ain Norman