“Jangan Henti Belajar, Baca Dan Baca” -Berjaya Sebagai Pelakon & Hos, Shaza Bae Kini ‘Terjun’ Pula Ke Bidang Perniagaan

Share

Shaza Bae. Antara aktres wanita meningkat naik masa ini yang telah mempunyai nama tersendiri dalam bidang seni tempatan. Menyusun cantik bakat seni dan kecerdikan yang ada, si pemilik gelaran Dewi Remaja 2019 ini dilihat tampil cemerlang sebagai seorang anak seni.

Mula bertatih menyusun langkah pada tahun 2020, lakonan pelakon dan pengacara Hlive pada ketika ini tidak menghampakan para pencinta karya Melayu seantero Malaysia dengan pelbagai watak yang pernah didukungnya sepanjang karier seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Shaza Bae – “Kalau Boleh Daki Gunung Kinabalu Sendirian, Saya Pun Boleh Lakukan ‘Solo Trip’ Umrah”

Bukan itu sahaja, graduan daripada universiti tersohor negara, Universiti Malaya (UM) ini sedang berjinak-jinak dalam bidang perniagaan pula. Sama seperi orang lain, bukan sekadar mahu bergelar seorang pelakon yang berjaya sahaja, dia juga memasang impian untuk menjadi usahawan wanita yang berjaya suatu hari nanti jika diberi keizinan Ilahi.

Terkini, pelakon drama hit Nusyuz Berkiblat Cinta itu mula melebarkan sayap ke bidang bisnes dengan cuba menjual dan memasarkan produk makanan biskut iaitu Beskuki. Sedar perkembangan era digitalisasi semakin meluas terutama platform media sosial, Shaza akui platform yang ada sedikit sebanyak dapat membantu memperkenal produk perniagaan dengan cara tersendiri.

Namun, bintang berusia 27 tahun itu berkongsi sebaiknya haruslah sentiasa belajar dan menonton video segala ilmu berkaitan media sosial dan perniagaan agar dapat mencipta personaliti tersendiri pada masa sama tidak berasa tertekan apabila mengguna media sosial sebagai platform memulakan perniagaan.

“Media sosial itu sebenarnya satu platform yang digunakan untuk kita kongsikan apa-apa sahaja interest, cuma kerana ia kini sudah menjadi sebahagian portfolio perniagaan, jadi misalnya saya sebagai pereka fesyen cuma perlu berkongsi mengenai fesyen sahaja. Tidak, jadilah kreatif semampu anda.

“Gunalah media sosial dengan sebaiknya. Saya tahu agak sukar untuk terima namun jangan rasa pressured dengan media sosial. Saya juga tahu kedengarannya agak mudah, tetapi sebenarnya dalam era digital ini hanya di hujung jari kita jadi perbandingan, mungkin kandungan tidak cukup bagus atau apa yang perlu lagi dibuat.

“Ya, saya akui ia agak sukar namun cuba tidak membandingkan malah belajar, belajar, belajar dan baca… selain tonton video dan dari situ pasti akan jumpa personaliti serta diri anda,” tuturnya pada segmen ‘Youth Talk’ 

program Remaja On Road di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.

Tidak henti setakat itu sahaja, pelakon naskhah popular Perempuan Tanpa Dosa itu turut menekankan agar jangan berhenti untuk belajar sesuatu agar dapat jadikan diri sendiri sebagai seorang yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi.

“Saya enggan menyentuh mengenai originality kerana dalam dunia ini tiada yang asli pun. Bagi sayalah. Bagi saya juga, semua perkara adalah cuplikan daripada pengkarya atau beberapa selebriti yang akan menjadikan diri anda ialah ‘anda’. Jadilah kreatif yang anda boleh dan jangan berhenti untuk belajar.

“Satu perkara lagi, kita membesar sebagai seorang dewasa jangan matikan budak kecil dalam diri kita. Jangan. Always have that inner child, keep in touch with your inner child. Kerana anak kecil itulah yang menjadikan anda seorang yang kreatif sebenarnya.

“Saya faham dengan kehidupan sekarang yang agak berat, ekonomi teruk serta mungkin ingin melanjutkan pengajian dan mencari kerja. Ya, tekanan itu terlalu banya. Tetapi jangan, cuba untuk fine that tune,” ucapnya lagi.

Sekadar informasi, selain Shaza Bae, sesi YouthTalk dengan tajuk “Penjenamaan Pada Era Digital” juga terdiri daripada ahli panel iaitu Ben Ali (Pengarah Urusan Absolut Brands Sdn. Bhd) dan Rahiman Rahizar (Ikon MASMED). Sesi tersebut dikemudikan oleh hos, aktivis politik dan sukarelawan iaitu Mellya Azizi.

Edisi pertama Remaja-On-Road yang telah diadakan pada 22 Mac 2023 bertempat di UiTM Shah Alam hasil kolaborasi bersama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM  itu merangkumi acara sehari bersama golongan pelajar, antara pengisian yang bakal diketengahkan adalah sesi YouthTalk, Beauty Camp dan Remaja Talent Casting.

Sepanjang tahun, pihak Remaja akan berkolaborasi dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah sebagai rakan strategik bagi menjalankan kempen ini. Dari utara ke selatan tanah air, dengan adanya kempen ini diharapkan dapat memberi inspirasi kepada golongan pelajar untuk menerapkan nilai positif dan seterusnya maju untuk menempuhi fasa selepas pengajian.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

FOTO: Instagram Shaza Bae

Published by
Fath