Jangan Jadi Pemerhati! Remaja & Orang Muda Mampu Bantu Selamatkan Mangsa Dera

Share

Sungguh menyayat hati bila membaca laporan tentang kematian seorang insan kecil yang baru berusia 9 tahun akibat di dera dengan cukup kejam oleh bapa dan ibu tirinya.

Itulah berita yang menggemparkan tanah air yang berlaku beberapa hari yang lalu. Memetik laporan dari Sinar Harian, mangsa Nur Aina Nabihah ditemui tidak sedarkan diri oleh ayahnya di rumah mereka di Taman Vista Jaya Lukut. Bantuan pernfasan awal diberikan namun Nur Aina tidak memberikan apa-apa respons, lantas ayahnya membawa ke Hospital Tunku Jaafar Seremban.

Selepas beberapa ketika dirawat, Nur Aina meninggal dunia. Hasil pemeriksaan doktor mendapati Nur Aina mengalami beberapa kesan lebam. Lapioran autopsi pula mendapati organ dalamannya juga cedera teruk. Buah pinggangnya rosak, tulang rusuk kanak dan kiri patah manakala ususnya turut terkoyak akibat dipukul dengan objek tumpul.

Allahuakbar…

Pihak berkuasa segera menangkap ayahnya dan hasil selepas itu ibu tirinya. Mangsa dikatakan pernah dipukul dengan sebuah bangku plastik dan juga tali pinggang yang biasa dipakai oleh tentera. Dia juga ditendang dan dipijak hingga terkencing. Tak dapat dibayangkan betapa dahsyatnya penderitaan yang dialami olehnya. Menapa manusia boleh bertindak kejam sebegitu rupa terhadap darah daging mereka sendiri?

Artikel Berkaitan: Seorang Pemuda Lumpuh Separuh Badan Akibat Permainan Video 20 Jam Tanpa Henti

Ada beberapa laporan turut menyatakan jiran mereka (yang enggan dikenali) mendakwa kanak-kanak malang itu kerap mengadu kepada rakan-rakannya tentang penderaan yang dialaminya.

Di sinilah betapa pentingnya peranan masyarakat, terutamanya golongan remaja dan muda untuk lebih proaktif bagi membendung perkara ini agar berulang. Kebanyakan kes dera berlaku secara berulang kerana pelakunya semakin lama semakin tidak ada belas kasihan.

Lama-kelamaan mereka merasakan perbuatan itu tidak mendatangkan rasa bersalah pada mereka dan bila ini berlaku ia cukup menakutkan. Mangsa yang tidak dapat mempertahankan diri; apatah lagi didera oleh orang yang sepatutnya menjadi pelindung mereka tidak berdaya berbuat apa-apa.

Jadi apa yang kamu sebagai seorang remaja boleh lakukan jika mendapati ada rakan-rakan atau jiran yang menjadi mangsa dera?

Menurut Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat, terdapat beberapa langkah yang boleh kamu lakukan untuk melaporkan kes dera atau buang bayi.

1. Buat laporan menerusi talian telefon Talian Kasih 15999. ‘SAVE’ nombor ini di dalam telefon pintar kamu untuk kegunaan masa akan datang. Kita tidak tahu bila atau di mana kita akan berdepan situasi ini.

2. Melaporkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran dengan tempat tinggal kamu. Jika kamu berasa tidak berani, minta bantuan orang tua atau rakan-rakan lain untuk menemani kamu.

3. Cari balai atau pondok polis terdekat dan buat laporan. Pihak polis pasti akan sentiasa terbuka untuk membantu.

4. Hubungi mana-mana pasukan perlindungan kanak-kanak atau pusat aktiviti kanak-kanak yang terdapat di kawasan berlakunya penganiayaan.

5. Akhir sekali, kamu juga boleh ruju ke hospital berdekatan. Pihak hospital sentiasa terbuka untuk mendengar apa jua jenias laporan.

Ingatlah jangan mengambil sikap berdiam diri atau tidak mahu mengendahkan hal yang berlaku dalam rumah orang lain. Ini bukan masanya untuk terus terbungkam dalam stigma ‘menjaga tepi kain orang’. Mungkin nyawa yang tidak bersalah boleh diselamatkan jika kita semua lebih proaktif dan mengambil berat akan apa yang berlaku di sekeliling.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim