Niat di hati ingin sahaja melenyapkan segala perasaan negatif apabila satu klip lagu Hari Raya yang baharu diluncurkan semalam menerpa ruangan media sosial miliknya.
Begitupun, pengarah tersohor Shahrulezad Mohameddin yang lebih dikenali sebagai Budak Ijat merasakan perlu untuk beliau menyuarakan pendapatnya apabila timbul tanda-tanda provokosi terbuka yang dirasakan cuba dicetuskan oleh beberapa individu tertentu demi mendaki tangga populariti hanya kerana hauskan perhatian.
Tanpa menamakan individu, jenama atau syarikat tertentu dalam hal ini, Shahrulezad sekadar menasihati agar warganet tidak mudah terkesan atau terbuai dengan satu klip video lagu Hari Raya
yang hangat diperkatakan orang ramai sejak malam tadi.Baginya, perbuatan meninggalkan komen berbaur cacian dan makian terhadap individu tersebut sekadar akan menguntungkan mereka kerana sememangnya, kontroversi sebeginilah yang ditagih demi membuktikan diri serta jenama yang dibina mereka itu kekal relevan.
“Jangan klik. Jangan tinggalkan komen-komen walaupun mengutuk beliau. Buat bodoh dan krik krik je sebab segala respon kita pada klip tersebut sebenarnya akan push lagi lagu itu ke atas dan hasilnya akan mendapat lebih banyak perhatian.
“Kalau klip tersebut dipandang sepi macam kita lintas laju-laku depan tanah kubur lagi bagus.
“Dia memang mengharapkan kontroversi tercetus sebab lagi ramai orang nak ambil tahu,” catatnya.
Simpul Shahrulezad, tren menimbulkan kontroversi sebaik sahaja bulan Ramadan yang mulia menyinggah saban tahun ibarat putaran roda yang sekian lama digunapakai biarpun pernah dikenakan tindakan saman
atau sebagainya sebelum ini.Merasakan individu-individu terbabit seakan tidak ‘makan saman’ (literally), Shahrulezad mengharapkan agar warganet bersama-sama menghentikan tren ini dengan tidak menghiraukan kewujudan klip seumpamanya.
“Kita perlu mengajar orang seperti ini untuk jangan gunakan kemarahan kita sebagai modal keuntungan perniagaan dan populariti. Ini bukan kali pertama mereka bodohkan kita tetapi sudah banyak kali dah.
“Dan jangan layan drama air mata yang bakal muncul bila korang kecam dia,” katanya.
Bagi REMAJA, tepuk dada tanya selera. Jika klip video itu adalah kandungan yang korang dambakan bagi menaikkan semangat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri kelak, tontonlah sehingga muak. Jika ia tidak kena dengan selera anda, abaikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.