Kes remaja diperkosa, dicabul dan dirogol oleh kekasih ataupun orang yang dekat dengannya semakin lama semakin diperkatakan secara terbuka. Baru-baru ini, ramai pengguna laman sosial seperti Twitter yang mulai berani untuk mendedahkan kisah mereka dan kisah orang lain yang pernah menjadi mangsa rogol untuk bacaan khalayak.
Lantas penulis tertanya kepada diri sendiri, apakah tindakan memuat naik tangkap layar (screenshot) perbualan di antara mangsa dan pelaku itu wajar sedangkan mereka tidakpun melaporkan kejadian ke pihak polis untuk siasatan?
Penulis mendapatkan respon naib juara program realiti Ratu Hijabista 2020 iaitu Qistina Sofia Binti Abdul Aziz atau Tina Aziz yang juga merupakan pelajar ijazah sarjana muda Undang-Undang dari UiTM Shah Alam; mengenai isu ini.
“Adalah lebih baik sekiranya mangsa terus melaporkan kes tersebut ke pihak berkuasa. Dengan hanya memuat naik perbualan mesej di antara dua pihak di media sosial tidak akan membawa apa-apa kebaikan. Malah, tertuduh juga boleh membuka kes siasatan atas nama defamation terhadap mereka yang memuat naik tanpa bukti yang lebih sahih sama ada kes rogol itu benar-benar berlaku.
“Kes rogol ini sebenarnya adalah kes yang agak tricky. Bukan semua pihak memahami apa yang boleh dianggap sebagai rogol.
“Ia boleh diklasifikasikan sebagai rogol jika ada tindakan memasukkan anggota sulit lelaki ke dalam tubuh wanita. Sekiranya seorang perempuan menjadi mangsa cabul dan ramas tanpa sebarang penetrasi berlaku, itu tidak boleh dianggap sebagai rogol.
“Seperkara lagi, rogol ini banyak kaitannya dengan persetujuan (consent) dan serahan (submission). Perempuan yang memberikan persetujuan dianggap telah menyerahkan diri. Tetapi perempuan yang telah menyerah diri tidak semestinya telah memberi persetujuan.
“Seorang perempuan boleh menyerahkan dirinya untuk terlibat dalam hubungan sulit, namun TANPA persetujuan dari perempuan bagi penetrasi, seorang lelaki boleh didakwa atas tuduhan rogol,” jelas Tina yang telahpun menamatkan chambering.
Beberapa hari lalu, Tina telah tertarik dengan satu tweet yang dimuat naik oleh seniornya, @tattyhassan yang kini bergelar peguam.
Menurut tweet tersebut, dia meminta agar mangsa rogol untuk tidak mandi atau membersihkan sebarang kesan pada badan mereka. Sebaliknya, si dia perlu terus ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan. Hhm, kenapa agaknya?
Jelas Tina, “Walaupun seseorang itu takut atau malu untuk membuat laporan, seharusnya mangsa terus ke balai polis kerana bukti kejadian masih ada pada badannya. Itu adalah bukti terbaik untuk mensabitkan seseorang pelaku. Dan sekiranya tiada ejakulasi berlaku dari pihak lelaki sekalipun, kita masih boleh mendapat bahan bukti dari sel mati, peluh dan air mazi pelaku.
“Tindakan terus membuat laporan dalam tempoh 24 jam ini akan membantu mangsa sebenarnya untuk mendakwa pelaku. Apa yang berlaku setelah laporan dibuat adalah, mangsa akan diiringi ke hospital bagi melakukan pemeriksaan. Setelah keputusan ujian DNA diambil, dakwaan di bawah kanun keseksaan 375 akan lebih kuat berpihak kepada mangsa. Jika disabitkan bersalah, pelaku boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan,” tambahnya lagi.
Penulis sempat bertanya kepada Tina sebelum mengakhiri perbualan. Bagaimana jika mangsa hanya membuat laporan 2 ke 3 hari selepas kejadian berlaku? Adakah laporannya itu tidak ‘valid’?
Menurutnya, laporan apa-apa kes masih diambil dan kertas siasatan tetap dibuka. Cuma bukti kejadian yang boleh mangsa harapkan hanyalah pada rakaman CCTV serta siasatan hubungan di antara pelaku dan mangsa – sebagai contoh. Bukti kukuh yang ada pada tubuh mangsa tidak lagi boleh mereka terima.
“Sebagai perempuan, saya juga risau apabila melihat statistik purata 5 kes rogol yang dilaporkan berlaku di Malaysia pada setiap hari. Sekiranya ia berlaku kepada seseorang yang kamu kenali, dengarlah rintihan mangsa dan ajak dia untuk membuat laporan. Jadilah seorang yang memahami situasi mangsa dan usah menghukuminya,” kata Tina.
*
Untuk pengetahuan, sebelum ini Tina pernah berkongsi pengalaman diganggu oleh seorang lelaki ganjil di hotel tempatnya menetap.
“Lelaki Itu Ekori Saya Naik Lif Dan..” Naib Juara Ratu Hijabista ‘Dikacau’ Semasa Bercuti – REMAJA