“Jangan Percaya Sangat Orang Cakap Beli Rumah Lagi Bagus Dari Menyewa,” – Ryzal Durian Kimchi

Share

Sebagai orang muda pasti satu keinginan yang menebal di dada adalah untuk memiliki rumah sendiri setelah memiliki kerjaya. Orang kata kalau ada rumah sendiri baru boleh dikira sebagai kejayaan. Betul ke? Atau sebenarnya membeli rumah tanpa kaji selidik kemungkinan boleh memberi mudarat kepada diri?

Bayangkanlah jika komitmen untuk membayar rumah sudah mengambil hampir separuh dari gaji bulanan, belum masuk dengan komitmen lain lagi. Situasi ini sudah menunjukkan aliran kewangan yang negatif. Kini sebenarnya ramai anak muda yang menjadi muflis disebabkan tidak mampu membayar komitmen rumah yang dibeli apabila kehilangan kerja.

Rumah-rumah yang dibangunkan di kawasan bandar kini semakin tinggi harganya. Tidak selari dengan gaji yang diperoleh kebanyakan rakyat Malaysia. Kredit foto: pexels/Tom Fisk

Pempengaruh media sosial, Ryzal Ibrahim yang terkenal menerusi saluran Durian Kimchii berkongsi mengenai perkara ini.

Ramai yang masih percaya beli rumah itu adalah satu kejayaan. Salah ya tu, data dalam BNM (Bank Negara Malaysia) mendedahkan rakyat Malaysia yang muflis bermula di usia 25-30 tahun ke atas. Ini berpunca bila graduan baru dapat gaji mahal sikit dah start buat loan rumah, bayar setahun dua lepas tu bila berhenti kerja/diberhentikan/krisis kewangan atau pandemik berlaku, segalanya tersadai. Bayaran tidak dilunaskan. Rumah dilelong.

Ini kisah benar. Kenalan beli rumah RM1 juta tapi lepas 10 tahun harga masih sama. Itu belum kira kos maintanance dan baiki selama 10 tahun. Tiada salah menyewa. Yang salahnya membeli tanpa usul periksa keperluan, kawasan rumah, jenis rumah, dan sebagainya.

Jadi, jangan percaya sangat orang cakap beli rumah lagi bagus dari menyewa. Saya juga dalam bisnes hartanah, saya saksikan ramai yang terduduk rugi bila rumah dilelong dan diisytihar bankrap pada usia muda.  

Ramai tanya saya kenapa menyewa lebih bagus dari membeli? Saya malas nak kongsi sangat takut ejen hartanah nampak, tak laku la rumah dia jual (hehe gurau2). Apa-apa pun rezeki masing-masing. Nak beli rumah bukan macam beli kereta. Risiko terlalu tinggi dalam zaman ekonomi tidak menentu sekarang.

Saya bagi contoh mudah untuk supaya korang nampak.

Contoh harga rumah RM1 juta, loan 90%, deposit 10%. Kalau dapat maximum loan atau rebate lain kira. Rumah RM500k ke bawah boleh consider beli tapi kena hati-hati dengan future pricing tactic oleh developer. Topik ni panjang nak terangkan sikit.

Loan 90% = RM900,000

Deposit 10% = RM100,000

Bulanan Bank = RM5,500 lebih kurang

Kos Interior Design untuk Condo RM30-50k, Rumah Landed RM80-150k

Total RM1.2 juta

Tenure = 30-35 tahun

Kalau kita pilih sewa, cari rumah harga lebih kurang sejuta ni dalam RM2k-3k sewa sebulan tengok kawasan dan jenis rumah.

 Duit RM100k tadi kalau letak deposit rumah dalam bank ibarat kuburkan duit macam tu je. Ia tak berkembang walau sesen. Hutang lagi ada. Duit tu boleh buat bisnes kecil-kecilan. Contoh buka kedai burger 10 cawangan, warung air balang, food truck atau apa-apa yang menjana passive income daripada RM100k pelaburan tadi.

For long term investment beli tanah murah-murah di kampung atau jauh dari bandar dan simpan untuk masa depan. Kalau government ambil tanah korang untuk projek highway, perumahan atau pusat komersial, raya awal korang. Boleh juga beli rumah lelong, rumah terbengkalai di luar bandar dengan harga kurang RM100k, renovate dan buat sewa atau jual balik.

Korang mesti tanya saya buat tak, cerita bukan main. Ya, saya buat. Sejak di Korea lagi saya menyimpan dan berkongsi duit dengan isteri buat pelaburan hartanah. Hartanah pertama saya beli rumah lama usang harga RM30k cash (pemilik perlukan duit cepat ketika pandemik), saya jual RM120k selepas 2 tahun.

Sewa juga tak perlu pening nak fikir komitmen bulanan. Andai kata tiba-tiba hilang punca pendapatan macam Pandemik melanda dunia. Macam mana kita nak bayar pada bank? Bagi yang menyewa, korang boleh pilih untuk pindah ke tempat atau rumah sewa yang lebih murah. Atau kalau ada rumah yang korang beli lelong dari pelaburan RM100k tadi boleh duduk di situ.

Bagi yang membeli dengan loan bank, korang pindah pun rumah tu tetap kena bayar. Korang boleh cakap, rumah boleh sewakan. Kutip sewa bayar pada bank. Ya betul, rumah RM1 juta kalau sewakan RM5000 siapa nak duduk? Kalau sewa RM3000, lagi RM2000 korang juga kena top up.

Expatriate mungkin nak tapi mereka ni tinggal di kawasan elite dan rumah di kawasan tu RM3-5 juta. Founder produk, jutawan crypto, bitcoin yang pendapatan juta-juta pun cari rumah di jauh dari KL yang harga RM1-2 juta. Itupun bukan main posing depan rumah dengan kereta bank bayar. (Ini pun gurau, jangan marah 😅)

Untuk mereka baru mula kerja, nak beli rumah, cari yang murah tanpa perlu letak deposit ratusan ribu. Simpan duit buat small investment atau buat modal berniaga kalau ada ilmu atau minat perniagaan. Kalau dah berduit sikit, boleh pertimbangkan untuk membeli. Sebelum beli, kaji dulu lokasi, harga semasa vs harga jualan, siapa pemaju, risiko bencana alam atau unexpected disaster dan lain-lain yang korang rasa perlu.

Perkongsian oleh Ryzal ini boleh dijadikan panduan buat anak muda masa kini yang berada di dalam dilema untuk memiliki sebuah rumah. Ketika ini memiliki rumah bukanlah satu kejayaan memandangkan bebanan hutang yang perlu ditanggung, sebaliknya lakukan perancangan pembelian hartanah yang lebih menguntungkan.

Jangan pernah merasa rendah diri jika anda duduk menyewa, apa yang penting aliran wang yang dimiliki kekal positif. Jika ada apa-apa yang terjadi anda memiliki kelebihan untuk berpindah rumah sewa yang lebih murah tanpa perlu terikat dengan bank.

+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Sumber: Ryzal Ibrahim

Published by
Fiezreen