Ya, sekarang memang musim durian.
Harganya pun boleh tahan dan masih mampu dibeli. Maka tak hairanlah raja buah ini semakin diburu peminatnya.
Namun, tular baru-baru ini apabila ada dakwaan seorang lelaki meninggal dunia kerana memakan durian selepas mendapatkan vaksinasi.
Dalam mesej tular berkenaan, individu tersebut mengingatkan orang ramai agar tidak memakan durian sebelum atau selepas mendapatkan vaksin.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan kenyataan bahawa perkara itu palsu serta menasihati orang ramai agar tidak menyebarkan dakwaan tersebut.
“Berita palsu. Jangan sebar atau berkongsi,” tulis KKM melalui Twitter sebentar tadi.
Menurut laporan Harian Metro pula, kematian seorang lelaki yang didakwa meninggal dunia kerana makan durian selepas suntikan vaksin terungkai apabila punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.
Untuk info, buah durian mengandungi kalori yang agak tinggi kalau diambil berlebih-lebihan. Dalam satu biji durian saja mengandungi hampir 1000 ke 2000 kalori, kalau diambil dalam kadar yang normal pun jumlah kalorinya mencecah antara 500-700 kalori.
Apabila sejumlah kalori besar diambil dalam waktu yang singkat, ia akan memberi beban kepada jantung dan menyebabkan jantung kita perlu bekerja lebih kuat, tekanan darah juga boleh meningkat. Sebab itulah bagi individu yang mempunyai darah tinggi, boleh makan durian tetapi berpada-pada.
Kesimpulannya, jangan sebar apa-apa berita kalau tidak tahu kesahihannya. Sebelum ini, Ketua Polis Negara ada mengatakan individu yang menyebarkan berita palsu dan menghasut orang untuk tidak mengambil vaksin Covid-19 akan menghadapi tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.
Sumber : Harian Metro, Mstar