Jangan Sebarangan Post Isu Talak! Ustaz Perjelas Maksud Lafaz Kinayah Yang Anak Muda Kena Faham

Share

Media sosial menjadi medium orang ramai menyuarakan apa yang mereka ingin sampaikan. Ada kalanya baik untuk bacaan semua pihak tapi ada juga yang boleh mengelirukan jika ia tidak tepat terutama dalam soal agama.

Berikutan tidak mahu masyarakat terkeliru dalam bab talak terutama bagi perkahwinan di usia muda, Ustaz Dr Syed Shahridzan Ben-Agil telah berkongsi ilmu mengenai lafaz kinayah iaitu kata-kata kiasan dalam bab talak.


Lafaz Kinayah (kiasan) dalam bab talak

Ilmu wajib disampaikan dengan penuh amanah, fakta mestilah tepat dan tidak mengelirukan para pendengar dan pembaca. Jangan sampai sesuatu penyampaian itu menimbulkan salah faham dan salah amal terhadap sesuatu perkara. Jika ia berlaku, tanggungjawabnya berat yang perlu dijawab di hadapan Allah.

1) Berkenaan poster ini, sangat mengelirukan orang awam Sepatutnya tidak boleh dipaparkan sebegini tanpa perincinan.

2) Lafaz-lafaz dalam poster tersebut adalah kinayah(kiasan), jadi ia bergantung pada niat, kalau niat kinayah dilafazkan dengan niat mentalakkan isteri maka jatuh talak itu. Ini kerana lafaz kinayah(kiasan) boleh memberi maksud yg lain, tak semesti maksud talak. Ini dijelaskan boleh Imam al-Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya "Al-Iqna' bi Hall Alfaz Abi Syuja":
وكناية وهو ما يحتمل الطلاق وغيره فيحتاج إلى نية لإيقاعه.
Maksudnya: "(Talak) Kinayah ialah apa-apa (lafaz) yang membawa makna talak dan selainnya, maka ia memerlukan niat untuk menjatuhkannya".

3) Oleh itu apa-apa sahaja lafaz selain dari lafaz yang jelas dan nyata(sarih) maka ia memerlukan niat, seperti seorang lelaki berkata kepada isterinya, "Saya tak nak tengok muka awak lagi". Lafaz ini dikira sebagai talak JIKA si suami berniat di dalam hati untuk menceraikan isterinya.

4) Jika si suami menafikan niat cerai di mana berkemungkinan si suami berniat lain(seperti menyampah dan marah sahaja), maka hakim wajib mengambil kata-kata zahirnya dan talak tidak jatuh. Meskipun si suami berbohong(sebenarnya di hati berniat cerai), maka itu adalah urusan si suami dengan Allah Ta'ala kerana urusan hati hanya milik Allah dan dia akan bertanggungjawab di hari pembalasan nanti.

5) Manakala lafaz talak yang jelas dan nyata(sarih) tidak memerlukan niat talak/cerai, iaitu ia tetap jatuh talak walaupun tanpa niat talak seperti lafaz "Aku ceraikan kau" dan "Aku talakkan kau". Ini dijelaskan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitab yang sama:

صريح وهو ما لا يحتمل ظاهره غير الطلاق, فلا يحتاج إلى النية لإيقاع الطلاق.
Maksudnya: "(Talak) sarih ialah apa-apa (lafaz) yang tidak membawa makna zahirnya selain dari (makna) talak, maka ia tidak memerlukan niat untuk menjatuhkan talak".

6) Bagi mereka yang merasakan diri kurang pengetahuan terutamanya ilmu agama, hendaklah berhati-hati dalam menyampai fakta, ilmu dan berita. Jangan sampai kita dipertanggungjawabkan oleh Allah kerana kelalaian kita yang disengajakan sehingga tersebarnya fakta yang salah. Lebih teruk lagi apabila orang ramai beramal dengan ilmu salah yang telah kita sebarkan.
Wallahu A'lam
Abu Ruqayyah Ba 'Alawi. Sumber / gambar : FB Ustaz Dr Syed Shahridzan Ben-Agil

Published by
Almaswa Haji Che Ros