“Biar mati anak, jangan mati adat”
Umum mengetahui peribahasa Melayu “biar mati anak, jangan mati adat” bermaksud pantang dan larangan melanggar adat nenek moyang; jika anak sendiri melanggar adat atau undang-undang dia mesti dihukum.
ARTIKEL BERKAITAN: Kisah Upin Ipin Sekali Lagi Trending, Kali Ini Kerana Arwah Ibu Bapa Kembar
Namun baru-baru ini tular di negara seberang apabila Gabenor Bali dari Indonesia, Wayan Koster, menyeru agar generasi muda di Bali tidak menonton rancangan animasi dari Malaysia, iaitu Upin dan Ipin demi menjaga nilai budaya Bali dari budaya luar.
Beliau berkata, daripada menonton siri animasi buatan negara jiran, lebih baik menonton karya budaya sendiri, sekali gus mengangkat budaya tempatan.
“Jangan tonton lagi itu (animasi Upin Ipin). Lebih baik kita bangunkan produksi animasi yang mengangkat tradisi dan budaya kita,
“Tanah Bali memiliki kekayaan budaya untuk diangkat di dalam rancangan animasi tempatan,” katanya ketika berucap di majlis penyerahan hadiah Lomba Esai Film Jayaprana di Bali beberapa hari lalu.
Selain itu Wayan juga menyebut, budaya dari luar, teknologi dan cara kehidupan moden boleh berkembang dengan lebih pesat. Namun jangan sesekali generasi muda meninggalkan budaya Bali.
“Teknologi moden boleh berkembang, cara kehidupan moden boleh berkembang, tetapi satu hal yang saya ingatkan, jangan kita meninggalkan budaya Bali,” ujarnya.
Bagaimanapun, kenyataan Gabenor Bali itu mengundang pelbagai reaksi negatif netizen yang dianggap tidak logik dan tidak wajar.
“Saya lebih memilih Tok Dalang dari pakcik ini. Jangan pandai melarang saja, tapi berilah pilihan. Pilihan pun tak ada, jadi kami nak tonton apa?” komen warganet Indonesia.
“Masyarakat mempunyai hak memilih dan kewajipan masing-masing,” komen netizen Indonesia.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.