Sayu hati apabila mendengar perkhabaran buruk pagi tadi tentang kejadian kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Keramat Hujung Kuala Lumpur.
Menurut Sinar Harian Online, kesemua pelajar dan guru sedang tidur sebelum bunyi bising umpama ribut sedang berlaku, terus mengejutkan mereka.
“Saya tidur di tingkat dua (tingkat paling atas bangunan tiga tingkat). Saya terus bangun dan ambil air untuk padamkan api, tapi kebakaran terlalu pantas,” kata Mohd Ariff Mawardy, 24, yang baru tujuh bulan mengajar di pusat tahfiz tersebut.
Jeriji besi menyukarkan kesemua mangsa untuk menyelamatkan diri dengan pantas sehingga ada yang terperangkap di tingkap.
Polis memaklumkan, kejadian itu telah meragut 24 nyawa terdiri daripada 22 pelajar tahfiz dan dua guru pusat tahfiz.
Sementara itu, dalam kekalutan yang berlaku ada juga pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan gambar atau video mangsa yang rentung.
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berpesan supaya jangan viralkan gambar atau video mangsa sebagai menghormati keluarga mereka.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati perasaan keluarga yang sedang berduka dengan tragedi itu.
“Saya juga minta orang ramai tidak mudah percaya derma kilat yang sedang tular di laman sosial sekarang ini,”
“Kita tidak mahu pihak mahu ada pihak ambil kesempatan atas tragedi ini, orang ramai boleh hubungi pihak berkuasa memaklumkan sebarang viral berkenaan,” tegasnya lagi.
Tambah sebak lagi apabila seorang pelajar yang terkorban sempat memberi ibunya surat, semalam. Norhayati Khalid,42, berkata, anaknya Amiel Asyraf Abdul Rashid, 11, memberi surat itu kepadanya ketika menemuinya di pusat tahfiz itu.
“Saya bawakan makanan kegemaran dia, nasi goreng Pataya. Sebelum balik, dia beri saya surat,”
Antara kandungan surat itu adalah dia mahu menolong kedua ibu bapanya masuk ke syurga Firdaus dan meminta maaf jika ada salah silap yang dilakukan.
Tidak dapat kami bayangkan betapa luluh hati seorang ibu apabila mendapat berita kehilangan anaknya. REMAJA doakan agar kesemua keluarga mangsa tabah menerima ujian ini dan semoga roh mereka ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Salam Tazkiah. Al-Fatihah.
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian & Harian Metro