Nama penyanyi rap terkenal, Jay-Z baru-baru ini telah dipetik dan dituduh melakukan jenayah seksual terhadap seorang gadis berusia 13 tahun dipercayai terjadi pada 20 tahun lalu dan hal itu telah dilakukan Jay-Z atau nama sebenar Shawn Corey Carter bersama Sean ‘Diddy’ Combs atau lebih dikenali sebagai P.Diddy.
Menurut laporan New York Post pada 8 Disember, tuduhan itu telah dinyatakan oleh seorang individu yang menamakan dirinya Jane Doe dan mendakwa dirinya sebagai mangsa kedua kepada pemuzik itu.
Tuduhan tersebut disebutkan oleh Doe dalam saman sivil yang difailkan semula di Mahkamah Daerah Selatan New York pada hari Ahad, semalam.
Difahamkan, tuduhan itu pada awalnya telah dikeluarkan oleh Doe pada Oktober 2024 terhadap Combs. Namun, dia kemudian mengubahnya dengan menambahkan nama penyanyi lagu ‘Run This Town’ itu.
Menurut apa yang dinyatakan dalam dokumen mahkamah, Jane Doe menyebut dirinya semasa masih remaja telah diserang oleh P.Diddy dan Jay-Z dalam satu pesta dadah yang diadakan pada September 2000 selepas acara VMA di Radio City Music Hall.
Selain itu, Jane Doe mendakwa serangan tersebut berlaku selepas dia meminum satu gelas minuman yang kemudian membuatkan dirinya pening dan mencari bilik kosong untuk berbaring seketika. Bukan hanya itu, Jane Doe juga mendakwa serangan seksual itu juga telah disaksikan oleh seorang selebriti wanita. Antara kenyataan yang ditulis dalam dokumen yang sama adalah berbunyi:
“Tidak lama kemudian Combs memasuki ruangan tersebut bersama dengan plaintif, Carter dan seorang selebriti wanita”
“Combs dengan agresif mendekati plaintif dengan tatapan menakutkan di matanya, memeluknya dan berkata “siap-siap untuk berpesta,” tulis dokumen itu.
“Combs kemudian melempar plaintif ke dinding sehingga menyebabkan dirinya jatuh tersadung dan pada ketika itu Combs mencengkam dan menolaknya ke tempat tidur,” jelas dokumen itu lagi.
Selain itu, Doe turut menyatakan bahawa Jay-Z mula melepaskan pakaiannya semasa dirinya sedang berada dalam keadaan yang kurang sedar dan terpinga-pinga. Kemudian, wanita itu turut mendakwa dirinya telah dikepit dan diperkosa oleh Combs dan Carter di hadapan seorang artis wanita.
Walau bagaimanapun, dalam laporan berita New York Post, Jay-Z telah membantah dan mengecam tuduhan tersebut pada hari yang sama dan menyatakan dakwaan yang diajukan oleh peguam mangsa adalah untuk memeras ugut dirinya.
Dalam pernyataan lain, suami kepada penyanyi Beyonce itu turut mengecam tindakan peguam Doe yang dikenali sebagai Tony Buzbee iaitu peguam sama yang memfailkan beberapa siri saman terhadap P.Diddy.
Jay-Z juga mendakwa peguamnya menerima percubaan peras ugut melalui surat tuntutan daripada Tony Buzbee dan menganggap saman tersebut cuba memanfaatkan dirinya melalui penyelesaian menggunakan wang.
Penyanyi itu menegaskan bahawa tuduhan itu mendorongnya untuk mendedahkan penipuan tersebut kepada umum, dan dia tidak akan memberi sebarang wang. Dia juga mencabar untuk memfailkan tuduhan jenayah bukan sivil, terhadap sesiapa yang melakukan jenayah terhadap kanak-kanak
Selain itu, Jay-Z menyatakan kebimbangan terhadap keluarganya, terutamanya anak-anaknya yang akan mendengar tentang dakwaan tersebut dan menjelaskan betapa kejam dan tamaknya orang yang tidak bertanggungjawab.
Terdahulu, mahkamah mengeluarkan amaran kes jenayah membabitkan Diddy berkemungkinan dibatalkan sekiranya individu melaporkan perkara itu gagal mendedahkan identiti mereka.
Pada 16 September lalu, Diddy atau Sean John Combs (54) ditahan pihak polis di sebuah hotel atas tuduhan pemerdagangan manusia serta jenayah seksual. Diddy turut berdepan 120 tuduhan kegananasan seks melibatkan mangsa bawah umur pada 2 Oktober lalu.
Ramai golongan selebriti turut dikaitkan menjadi mangsa produser terkenal itu termasuk Justin Bieber, Jaden Smith, Usher dan Meek Mill. Diddy yang kini masih dalam tahanan bagaimanapun tidak mengaku atas semua tuduhan tersebut.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.