Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Ads
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Ads
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Ads
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sistem pendidikan Malaysia sekali lagi membuktikan kejayaan apabila kedudukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak ke kedudukan ke-26 dalam penarafan QS World University Rankings 2025 Asia berbanding kedudukan ke-28 tahun lalu.
Penilaian ini merangkumi lima petunjuk iaitu sitasi, penjanaan industri, pengantarabangsaan, penyelidikan dan pengajaran, sekaligus meletakkan mereka di tempat keempat berbanding kelima dalam kalangan universiti terbaik di Malaysia.
Kejayaan ini juga menunjukkan kecemerlangan yang berterusan UKM dalam mencapai peningkatan konsisten selama 10 tahun berturut-turut dalam penarafan ini.
Dalam pada itu, pencapaian ini turut mencerminkan usaha gigih warga UKM dalam memantapkan bidang pengajaran, mengukuhkan pengantarabangsaan, membina reputasi yang unggul, meningkatkan kebolehpasaran graduan, dan memperluas jaringan strategik.
Ini juga membuktikan penggunaan bahasa Melayu yang diterap oleh UKM sedikit pun tidak membuatkan mereka mengabaikan elemen pengantarabangsaan yang juga penting bagi mengekalkan reputasi universiti itu di persada dunia.
Sebelumnya, UKM telah melakar sejarah apabila meletakkan status pengajian tinggi negara di pentas dunia melalui pembukaan kampus baru di Doha, Qatar.
Tahniah sekali lagi diucapkan kepada UKM! Semoga dapat melahirkan lebih banyak graduan yang berguna dan berkhidmat untuk masyarakat.
Sumber: Facebook UKM
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Kemunculan model kelahiran Malaysia, Ridzman Zidaine untuk kembali berjalan di pentas peragaan Minggu Fesyen Milan bermula minggu ini sekali lagi mencuri tumpuan pemerhati fesyen tanah air.
Ridzman, 23 menerusi hantaran di akaun Instagram telah berkongsi pengalamannya berjalan untuk koleksi ALYX Studio musim luruh/sejuk 2023 dan koleksi Emporio Armani musim luruh/sejuk 2023/24 yang berlangsung beberapa hari lalu.
Dalam persalinan jaket labuh ALYX Studio dengan perincian hoodie dan aksesori tas tangan Ridzman kelihatan cukup selesa berada di samping model antarabangsa lain.
Di pertunjukan Emporio Armani pula, model berketinggian 187cm ini menyarungkan jaket kelabu bertekstur dengan celana fabrik kulit serta kasut but (we badly want them!) dengan perincian poket kecil. Ridzman.. we are so robbbing this look – just saying.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan tentang pembabitan sulung Ridzman sebagai model di Eropah.
Malah, REMAJA berpeluang menemuinya sewaktu dia masih berada di Kuala Lumpur untuk mengenalinya dengan lebih dekat.
Pada usia 19 tahun, Ridzman memulakan kerjaya sebagai seorang model menerusi agensi TopBoi Citizen di Malaysia yang diasaskan oleh jurufoto terkenal, Ridduan Ismail aka TTFGA (Tukang Tangkap Foto Gembira Anda).
Setelah disunting oleh agensi itu, model ini terus melakukan kemunculan debut di Minggu Fesyen Kuala Lumpur dan seterusnya melakar kerjaya sebagai seorang model sepanjang dua tahun selepas itu.
Tidak lama kemudian apabila Ridzman memutuskan untuk menyambung pengajian di London, dia menempah peluang untuk beraksi di acara Minggu Fesyen London dan Minggu Fesyen Paris pula pada tahun lalu. Di sana, dia diwakili oleh agensi Next Models Managment yang juga menghimpunkan model terkenal seperti Ana Beatriz Barros, Imogen Waterhouse, Alexa Chung dan Kit Butler.
Kata Ridzman, suasana minggu fesyen di Eropah pastinya mempunyai perbezaan jelas dengan minggu fesyen Kuala Lumpur terutamanya dari segi penjagaan masa yang amat ketat dan tentunya, bajet yang sanggup dilaburkan untuk merealisasikan set impian seseorang pengarah kreatif jenama.
Sebab itulah, korang melihat pertunjukan fesyen di sana dilangsungkan di lokasi berlainan mengikut hala tuju koleksi mereka pada musim itu. It is all about the money..
Bagaimanapun kata Ridzman, tugasnya sebagai seorang model tidak jauh berbeza sama di lapangan fesyen Malaysia mahupun antarabangsa di mana dia masih akan memberikan yang terbaik semasa berjalan di pentas peragaan mengikut idea sesebuah jenama.
“Saya teruja dan gembira dengan kerjaya yang saya punyai sekarang. Dan dengan sokongan media dari tanah air yang melaporkan mengenai debut saya dahulu di Eropah, ia tentunya membuatkan saya terharu,” katanya.
Apabila diminta untuk berkongsi sedikit tip bagi seorang model tempatan melangkah ke peringkat antarabangsa, jelasnya, “Agak janggal juga bagi saya untuk memberikan nasihat kepada model-model tanah air memandangkan saya juga masih baharu dalam industri ini.
“Cuma apa yang boleh saya katakan adalah jadi sahaja diri sendiri dan usah gentar untuk keluar dari zon selesa. Trust the process dan sentiasa bersabar kerana impian sememangnya boleh terlaksana,” simpul Ridzman.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Isu bahasa setelah sekian lama menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Malaysia. Baru-baru ini sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Melaka dilangsungkan, tular sebentar kes seorang calon wakil rakyat yang bertanding yang didapati tidak dapat memahami soalan yang diberikan oleh pihak media hanya kerana ia ditanya dalam Bahasa Melayu.
Negara bukannya sehari dua baru ingin mengajak rakyat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Malah, pelbagai kempen pernah dianjurkan saban tahun agar rakyat sedar kepentingan bertutur dalam satu bahasa kebangsaan terhadap perkembangan sosial dan memupuk semangat nasionalisme yang seharusnya ada dalam diri setiap daripada kita.
Justeru, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam agar masyarakat kembali memperkasakan bahasa kebangsaan kita terutamanya di tempat kerja seharusnya dipandang serius oleh semua kakitangan terlibat.
Ketika berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia semalam, beliau telah menegur agensi kerajaan, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diakui semakin menjauhi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertuturan dalam urusan kerja seharian.
Katanya, Bahasa Melayu seakan diletakkan sebagai bahasa kedua terpenting dalam persidangan, mesyuarat, nama projek, jenama produk dan nama syarikat selepas Bahasa Inggeris.
“Peranan kita sebagai rakyat Malaysia adalah untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang yang ketika ini sudah menjadi trend untuk tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi-agensi kerajaan.
“Mesyarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris.
“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mestilah menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri?” ulas beliau sebelum menambah,
“Dan tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan mekar di persada tamadun manusia di celah kepesatan penggunaan Bahasa Inggeris.”
Betul cakap PM kita, kalau bukan kita yang bangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, siapa lagi? Tidak salah untuk menguasai bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang diakui merupakan bahasa komunikasi global pada zaman ini.
Namun janganlah sesekali kita meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu atau lebih parah lagi, malu untuk menggunakannya serta merendah-rendahkan penggunaannya semasa di khalayak ramai.
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Bahasa Melayu kini menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.
“Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.”
*
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Baru-baru ini tular sebuah video iklan terbaru dari jenama fesyen Korea Selatan ‘Wacky Willy’ berjaya menarik perhatian pengguna media sosial kerana jalan penceritaan komedi...