Jelitawan Ini Sanggup Lupakan Gelaran Miss Universe Thailand Untuk Sambung Belajar Di Harvard

Share

 

Tatkala pemerhati dan peminat pertandingan ratu cantik dari seluruh dunia kini sedang menantikan detik Thailand menobatkan juara terbarunya tidak lama lagi, salah seorang peserta kegemaran yang diramalkan sebagai antara yang akan memberikan saingan sengit mengambil keputusan untuk menarik diri.

Keputusan yang diambil oleh peserta bernama Perpetua Smith ini bukanlah disebabkan oleh masalah peribadi, tingkah laku ataupun kesihatan. Namun, ia adalah kerana Perpetua, 23 memilih untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang Permasaran (Tingkah Laku Pengguna) dan sedang melakukan persiapan bagi program PhD di Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

Perpetua Smith. Foto : Instagram

Bagi setiap wakil yang bertanding bagi merebut gelaran Miss Universe Thailand dan berjaya menempatkan diri dari kedudukan juara hinggalah ke kedudukan pemenang kelima akan terikat dengan kontrak bersama organisasi selama dua tahun. Dalam kes Perpetua ini, kontrak tersebut boleh mengakibatkan isu untuknya menyambung pengajian di Harvard dalam tempoh terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN : Sambil Belajar Di Universiti Harvard, Anak Kimora Lee Simmons Sempat Jadi Model – REMAJA

Foto : Instagram

Tinjauan REMAJA ke arah halaman pencinta dunia ratu cantik mendapati rata-rata bersedih dengan keputusan Perpetua ini. Apatah lagi, gadis berketinggian 180cm ini ialah salah seorang peserta kegemaran ramai untuk berada dalam kedudukan Top 5 pada hujung minggu ini.

Begitupun, pendidikan seharusnya diutamakan oleh mana-mana insan dan peluang untuk ke Harvard tidak akan datang bergolek. Suka atau tidak, ia adalah satu keputusan yang matang daripada pihaknya.

Foto : Instagram

Catat Perpetua menerusi Instagram, “Ini adalah keputusan paling susah saya pernah lakukan. Bagaimanapun, saya perlu melakukan apa yang terbaik untuk diri saya dan apa yang akan membuatkan saya gembira.

“Penyertaan dalam Miss Universe Thailand telah membuka mata saya untuk terus mengejar pendidikan. Saya telah berpeluang mempelajari pelbagai ilmu bersama guru-guru dan pasukan hebat. Soalan-soalan dari juri dan peminat selama ini membuatkan saya benar-benar fikirkan tujuan hidup saya.”

“Saya tidak mahu menjadi penanda aras kecantikan. Saya ingin menjadi penanda aras kebijaksanaan.”

“Hanya tiga hari lalu, saya sedar saya tidak mahukan populariti atau kekayaan. Saya mahukan pendidikan. Saya mahu menjadi seorang pelajar dan memiliki sijil doktorat. Saya ingin mengajar, menulis dan tentunya, saya ingin memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mendengar kata hati mereka,” ujar Perpetua.

ARTIKEL BERKAITAN : Hanya 2 Peserta Miss Universe Thailand Terima ‘Golden Tiara’ Bukti Kebijaksanaan, Sah Akan Menang? – REMAJA

REMAJA difahamkan bahawa Perpetua masih akan terlibat pada peringkat ‘preliminary’ yang berlangsung malam ini dan di pentas akhir, Sabtu ini. Bagaimanapun, markah persembahannya tidak akan dikira oleh pihak juri dan dia tidak berpeluang untuk memperolehi mana-mana kedudukan.

Tentunya keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah. Demi satu impian, Perpetua terpaksa melepaskan satu lagi impian. Kalau korang, sanggup tak melupakan impian demi peluang pendidikan?

BACA LAGI : Lima Pelajar Malaysia Bakal Ke Universiti Harvard. Tahniah! – REMAJA

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ