Sebagai usaha menggalakkan perkahwinan dan mengisi kawasan luar bandar yang semakin kosong, kerajaan Jepun akan memberikan ganjaran ¥600,000 (~RM 18,000) kepada wanita yang berkahwin dan kemudian berpindah keluar.
ARTIKEL BERKAITAN : Perangai Suka ‘Double Park’ Rakyat Malaysia Sampai Viral Di Jepun!
Ganjaran tambahan lain dalam bentuk wang tunai turut akan dipertimbangkan oleh kabinet. Ini adalah langkah untuk bukan sahaja meningkatkan jumlah kelahiran bayi tetapi memastikan kawasan luar bandar akan mempunyai penduduk.
Fenomena Akiya
Fenomena akiya iaitu rumah kosong yang ditinggalkan di luar bandar semakin serius menyebabkan ia dijual pada harga yang sangat murah. Ini masih tidak mampu mengurangkan jumlah “bandar mati” sebaliknya meningkatkan jumlah migran luar negara yang berhijrah untuk membeli rumah tinggi yang murah dibantu oleh nilai Yen yang semakin merosot.
Langkah yang diambil oleh kerajaan Jepun ini nampak seakan tidak begitu serius kerana ganjaran yang diberikan tidak tinggi.
Di Busan, Korea Selatan kerajaan akan memberikan ganjaran sehingga $85,000 (~RM 369,000) sebagai imbuhan untuk pasangan berkahwin. Wang diberikan secara berperingkat dengan $604 diberikan apabila mula bercinta, $1200 apabila bertemu ibu bapa, $24,000 jika berkahwin, $36,000 diberikan untuk membeli rumah atau $960 sebulan selama lima tahun untuk membayar sewa.
Malaysia kelak akan berhadapan dengan isu kelahiran bayi yang rendah. Kadar kelahiran semasa ialah 1.6 bayi untuk setiap wanita yang adalah penurunan mendadak berbanding 6 bayi setiap wanita pada tahun 1957 dan 2.1 bayi setiap wanita pada tahun 2010.
Untuk info, kadar kelahiran 2.1 bayi untuk setiap wanita diperlukan untuk mengekalkan populasi sesebuah negara.
BACA LAGI :Penyokong Jepun Tular Di Piala Dunia 2022, Kutip Sampah Sampai Stadium Bersih!
Sumber : Kyodo News
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Pemandu Kereta Di Malaysia Antara Yang Paling Stres Di Jalan Raya – Kajian
Kesesakan trafik, pembuli jalan raya dan keadaan jalan raya yang tidak memuaskan. Berikut adalah di antara faktor yang mampu membuatkan seorang pemandu merasa tertekan ketika di jalan raya.
Siapa sangka, nampaknya pemandu di Malaysia merasakan pengalaman memandu kereta di sini memberi tekanan kepada mereka sehingga meletakkan Malaysia dalam senarai 10 negara teratas bagi kategori itu.
Menurut kajian oleh confused.com ke atas pemandu di 48 buah negara, Malaysia berada di tangga kelapan sebagai negara yang memberikan tekanan kepada pemandu kereta setelah ‘mengutip’ 72 poin. Ini sekaligus meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi di rantau Asia Tenggara.
Berbanding Singapura yang berada di tangga ke-17, Malaysia mencatatkan purata 91.5 buah kereta setiap kilometer berbanding 192.2 buah kereta bagi jarak yang sama di Singapura. Ia barangkali kerana keluasan negara jiran kita itu yang lebih kecil.
Begitupan, apa yang membezakan kita dengan Singapura adalah kepuasan kualiti jalan di sana yang mencatatkan 90.9 poin berbanding 72.4 poin di kalangan pemandu di Malaysia.
Walaupun skor kualiti jalan raya kita lebih rendah berbanding Singapura, skor Malaysia ini adalah setaraf dengan jalan raya di Jerman (71.7 poin) dan Sweden (71.9 poin)! Siapa sangka, bukan?
Bagi yang tertanya-tanya negara manakah yang berada di tangga pertama, dengan skor 88 poin; ia jatuh kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jelaslah, penduduk di UAE stres disebabkan beberapa faktor seperti kualiti jalan raya, kesesakan, jumlah kamera perangkap laju dan jumlah kematian jalan raya yang tinggi.
Jom lihat senarai penuh Top 10 negara yang mendatangkan tekanan kepada pemandu jalan raya menurut portal confused.com :
- 1. United Arab Emirates
- 2. Bulgaria
- 3. Turkey
- 4. Italy
- 5. Hong Kong
- 6. Czech Republic
- 7. Belgium
- 8. Malaysia
- 9. Brazil
- 10. Argentina
Sementara itu, negara paling kurang memberi tekanan pula ialah Denmark, Finland, Japan, Spain dan Arab Saudi.
Sebagai pemandu kereta di Malaysia, korang rasakan kajian ini tepat ataupun tidak?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
“Jangan Kecam..”, Ibu 2 Anak Dedah KISAH SEBENAR Konon Mahu Terjun Jambatan Semalam
Semalam viral di media sosial mengenai tindakan seorang ibu yang didakwa kononnya mahu terjun dari sebuah jambatan bersama dua orangnya yang kelihatan sudah dibukakan baju.
Dalam video berkenaan, wanita ini sedang dipujuk oleh seorang wanita lain manakala anak kecilnya dipegang oleh seorang pengguna jalan raya yang mungkin bersimpati dengan tragedi ini. Seorang lagi anak wanita ini dilihat berada dalam kereta dan anggota polis sedang mengawal keadaan dari atas jambatan tersebut di saat orang ramai bertindak menyiarkan rakaman video berkenaan.
Di sebalik timbul kisah kononnya dia mahu terjun bersama dua anaknya, kata wanita ini, dia sebenarnya tiada niat pun untuk terjun kerana tahu dua anaknya masih kecil. Cuma dia akui fikirannya buntu dan berharap suaminya datang ke situ.
Mungkin dalam suasana kelam kabut itu, di mana orang ramai berfikiran dia mahu bersama-sama terjun ke bawah bersama dua orangnya, ternyata tindakan pantas orang ramai berjaya menggagalkan tindakannya. Kejadian ini berlaku di Jambatan Peserai, Batu Pahat, semalam.
Pada kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, wanita itu yang juga pembantu makmal dipercayai bertindak sedemikian kerana tekanan perasaan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, sebelum kejadian, wanita itu dikatakan memberhentikan kereta yang dipandunya di laluan motosikal serta menyebabkan kesesakan lalu lintas di atas jambatan berkenaan.
“Bagaimanapun, mangsa tidak mengakui ada sebarang niat untuk membunuh diri kerana masih mempunyai dua orang anak yang masih kecil dan mendakwa hanya berdiri di atas jambatan akibat buntu dan berharap suaminya datang ke situ.
“Sehubungan itu, mangsa dinasihati untuk pulang bersama keluarganya terlebih dahulu kerana keadaannya yang masih kurang stabil dan akan dipanggil semula untuk dirakam percakapannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, wanita berkenaan menyatakan bahawa dia mengalami tekanan perasaan disebabkan gagal menghubungi suaminya sejak kelmarin dan suaminya bertindak menutup telefon bimbit
“Mangsa juga mengalami tekanan perasaan kerana dimarahi oleh pengetua sekolah melalui telefon ketika mahu menyambung cuti selama sehari dan pengetua berkenaan memarahi suspek dengan perkataan yang kurang sopan,” katanya.
Menurut Abdul Wahib, suspek mendakwa pernah meminta untuk ditukarkan ke sekolah di Batu Pahat, kerana kampung wanita berkenaan dan suaminya di Batu Pahat tetapi permohonan pertukaran berkenaan tidak disokong oleh pengetua.
“Mangsa dan suami juga dipercayai mengalami masalah kewangan kerana suaminya sudah tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja sejak tujuh bulan yang lalu. Suaminya juga mengalami kecederaan patah tangan akibat terjatuh daripada bangunan ketika bekerja dan kini tuntutan SOCSO suaminya belum diperolehi.
“Masalah kewangan yang dialami menyebabkan wanita itu dihalau oleh pemilik rumah sewa di Johor Bahru kerana gagal membayar tunggakan sewa selama dua bulan sebanyak RM 1,000,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial.
Sumber : HARIAN METRO
https://www.facebook.com/196807874205328/videos/269611696924945/
“Pernah Ada Laporan Dera Pada 2016 Tapi Dibebaskan…”, Akhirnya Luthhakim MAUT Di Tangan Ibu Sendiri
Kematian seorang kanak-kanak lelaki yang didera ibu sendiri, Muhammad Luthhakim Abdullah, 10 tahun bagai merentap naluri. Masakan tidak, sebelum tewas di tangan ibunya sendiri semalam, sudah ada kes siasatan dan laporan dibuat pada 2016 sebelum ini tetapi kemudian tertuduh dibebaskan semula kerana kekurangan bukti.
Ternyata semalam, akhirnya hanya air mata yang menjadi saksi bahawa selama ini anak kecil ini menanggung penderitaan yang bukan sedikit. Sangat mengejutkan, pemeriksaan rapi pihak hospital mendapati ada kesan melecur pada kemaluan selain beberapa kesan lebam pada bahagian pergelangan kaki, belakang badan, pinggang, punggung dan ketiak arwah.
Itu penderitaan ditanggung kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, Muhammad Luthhakim Abdullah selepas disahkan meninggal dunia akibat didera ibu kandungnya di Taman Permatang Badak Maju, Permatang Badak, Kuantan, tengah hari semalam.
Kesan kecederaan ditemui pasukan perubatan yang merawat mangsa dipercayai kesan lama akibat didera sejak beberapa bulan lalu sebelum mangsa menghembuskan nafas terakhir sebaik tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, 1 tengah hari semalam.
Sumber berkata, Muhammad Luthhakim Abdullah dipercayai menjadi mangsa dera ibunya sejak beberapa bulan lalu berdasarkan kesan kecederaan lama ditemui pada tubuh mangsa.
“Proses bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca menyebabkan mangsa meninggal dunia…berdasarkan kesan kecederaan, mangsa pernah didera sebelum ini,” katanya.
Menurut sumber itu, ibu mangsa sebelum ini pernah ditahan pihak berkuasa atas kes penderaan terhadap mangsa pada 2016 sebelum dibebaskan kerana kekurangan bukti untuk pendakwaan.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Rosli Ab Rahman mengesahkan suspek yang juga ibu kandung kanak-kanak lelaki itu ditahan polis di HTAA petang semalam, bagi membantu siasatan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek berusia 29 tahun membuat panggilan kecemasan menghubungi HTAA pada 12 tengah hari memaklumkan anak lelakinya tidak sedarkan diri di rumah sebelum ambulans dikejarkan ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebaik tiba pasukan perubatan cuba memberikan rawatan awal sebelum mangsa dibawa ke HTAA dan disahkan meninggal dunia.
Difahamkan suami suspek berusia 40-an dan berasal dari Klang, Selangor turut ditahan malam tadi bagi membantu siasatan.
Sementara itu, jiran sebelah rumah mangsa yang enggan dikenali memaklumkan, dia terkejut mengenai kejadian itu dan memberitahu bahawa keluarganya jarang bergaul dengan keluarga mangsa.
“Kami terkejut apabila mendapat tahu kes ini semalam kerana sejak mereka berpindah ke sini tiga bulan lalu, mereka jarang bergaul dengan kami.
“Pagi tadi, saya ditanya bapa kepada seorang kanak-kanak yang diasuh suspek mengenai kes berkenaan kerana melihat kawasan rumah suspek sudah ditutup polis untuk siasatan dan mereka turut terkejut.
“Saya dimaklumkan oleh lelaki berkenaan bahawa anaknya tidak suka untuk pergi ke rumah pengasuhnya (suspek) tetapi atas sebab apa saya tidak tahu,” katanya.
Jiran terbabit turut memaklumkan, polis sudah mengambil keterangan suspek sebanyak dua kali sejak semalam bagi membantu siasatan.
“Saya difahamkan polis turut mengambil beberapa barang kes seperti baju sekolah mangsa untuk membantu siasatan,” katanya.
Jiran terbabit memaklumkan, suspek turut mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia lapan tahun, namun jarang melihat dua kanak-kanak berkenaan bermain di luar rumah.
“Sejak sejak menyewa di sini, keluarga mereka jarang bergaul dan membuat hal masing-masing dan saya cuma tahu suaminya ada melakukan beberapa pekerjaan dan isterinya mengasuh tiga kanak-kanak,” katanya.
Sumber : HARIAN METRO / NUR FITRI DAMIA