Selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai DYMM SPBYDP Agong berkuatkuasa tiga hari lalu, peristiwa yang pertama kali berlaku dalam sejarah pemilihan Ketua Negara ini terus mendapat spekulasi hangat dari masyarakat.
Berbagai pandangan dan pendapat timbul yang pastinya amat berbeza-beza mengikut individu. Tapi seperti orang tua cakap, sebabkan pulut santan binasa, sebabkan mulut badan binasa.
Dek kerana laju menaip meluahkan emosi di media sosial, isu menghina ketua negara ternyata membawa padah kepada individu yang terlalu emosi.
Eric Liew, kakitangan dari CISCO Asean antara individu yang menimbulkan kemarahan orang ramai selepas dia menghina Agong di fbnya.
Kenyataannya berbaur “Too busy fornicating with his new bride (terlalu sibuk berzina dengan isteri barunya) benar-benar membuat orang marah kerana dianggap terlalu menghina.
Reaksi ini segera diambil Pemuda Umno yang kemudian bertindak menyerahkan surat bantahan di pejabat lelaki ini dan menuntut majikannya menunjukkan bukti bahawa Eric sudah dipecat seperti mana yang dinyatakan dalam tempoh 24 jam.
Bukan saja Eric, pasangan suami isteri yang dipercayai bekerja di TNB juga mencetuskan kemarahan. Perbuatan Alia Astaman dan Azham Akhtar yang menulis “Fuck Royal” juga membawa padah apabila dihentikan kerja dari TNB susulan kecaman orang ramai.
Tidak habis lagi, seorang jurutera Desmond Yengkor turut menulis di fbnya “Semuanya anjing” pada gambar tiga Sultan iaitu Sultan Perak, Sultan Johor atau Sultan Pahang yang mana satu pengganti YDP Agong turut dianggap menghina institusi beraja.
Hal sama dilakukan oleh seorang doktor, Dr M Rupesh dari Klinik Mediviron yangdipecat selepas mengeluarkan kenyataan tidak beradab.
Sebelum korang beriyaa-iya menulis di media sosial biarpun tu laman sosial korang sendiri, boleh fahami apa hukuman yang boleh dikenakan jika korang menulis sesuatu yang bersifat menghina.
Carian REMAJA di Utusan Online bertarikh 13/6/2013 yang ditulis oleh Prof Dato’ Salleh Buang seorang penganalisis Undang-Undang dengan tajuk “Menyabit Kesalahan Hina Raja”, ini yang korang boleh faham ya sebelum tangan gatal menaip.
Menurut Prof Dato Salleh Buang dalam artikel tersebut, tulisan itu terletak kepada niat individu tersebut. Contohnya,
Niat “mendatangkan kebencian atau penghinaan” terhadap Raja berkenaan; atau
* Niat “membangkitkan perasaan tidak setia” terhadap Raja berkenaan; atau
* Niat “menimbulkan perasaan tidak puas hati” terhadap Raja berkenaan; atau
* Niat “menimbulkan perasaan tidak setia dalam kalangan rakyat” Raja berkenaan;
Orang itu boleh (setelah disabitkan) dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada 3 tahun dan denda tidak lebih daripada RM5,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama. Bagi kesalahan berikutnya, hukuman penjara adalah tidak lebih daripada 5 tahun – s. 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
Mungkin ramai yang berpendapat membuktikan tindakan salah pengguna facebook itu mudah sahaja. Hakikatnya tidak semudah itu, kerana pasukan pendakwa perlu mengemukakan kepada hakim bicara keterangan ke tahap melampaui keraguan yang munasabah bahawa akaun facebook berkenaan adalah milik orang yang dituduh, dan memang dialah orang yang memuat naik posting berkenaan, bukan orang lain. Pastinya pihak pendakwa memerlukan kerjasama dan bantuan daripada beberapa pihak agensi kerajaan yang berkenaan.
Andainya sukar bagi pasukan pendakwa membuktikan melampaui keraguan yang munasabah bahawa orang itu ada menyimpan niat salah seperti yang disebutkan dalam Akta Hasutan tersebut, orang itu masih boleh dikenakan pertuduhan di bawah 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Di bawah peruntukan undang-undang ini, adalah satu kesalahan menyatakan di ruang siber (termasuk dalam emel, akaun facebook, twitter, pesanan ringkas dan lain-lain) apa-apa kenyataan atau komen yang lucah, tidak sopan, palsu, menakutkan atau menyakitkan pada sifatnya, dengan niat untuk menyakitkan hati, memaki hamun, mengugut atau mengganggu gugat mana-mana orang lain (obscene, indecent, false, menacing, or offensive in character with intent to annoy, abuse, threaten or harass any person).
Jika sabit kesalahan di bawah peruntukan ini, orang itu boleh dipenjarakan tidak lebih daripada 1 tahun atau denda tidak lebih daripada RM50,000 atau kedua-dua sekali. Sekiranya kesalahan itu terus dilakukan selepas sabitan, orang itu boleh dikenakan denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.
So korang dah fahamkan kenapa kita tak boleh sesuka hati menulis sesuatu yang boleh menggugat keamanan dan mendatangkan kebencian kepada Raja atau Sultan kerana mereka adalah KETUA NEGARA.