“Jika Kuat, Cubalah..” Pengorbanan Belajar Sambil Berlakon Selama 14 Tahun Sweet Qismina Berbaloi Jua

Share

 

Musim konvokesyen perlahan-lahan kembali mewarnai suasana di kampus-kampus seluruh negara setelah kita mula bersiap-sedia untuk memasuki fasa endemik mulai 1 April ini.

Satu-persatu selebriti tempatan turut berpeluang untuk menghadiri majlis konvokesyen mereka sendiri sekaligus akhirnya dapat bergelar graduan.

Terdahulu REMAJA telah melaporkan mengenai kejayaan primadona Malaysia, Vanidah Imran bergelar graduan Universiti Malaya. Terbaru, pelakon manis jelita, Sweet Qismina pula diraikan sebagai graduan jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) dari SEGi University & College.

ARTIKEL BERKAITAN : Sweet Qismina – Cover Girl Majalah Remaja Ini Kongsi Mengapa Peminat Penting Untuknya – REMAJA

Catat Sweet yang berkongsi momen istimewa tersebut menerusi hantaran Instagram, dia telah menunggu momen konvokesyen ini selama dua tahun dan akhirnya tiba jua rezekinya memakai jubah konvokesyen.

Sumber Foto : Instagram

“Hanya orang di sekeliling saya dan Allah sahaja tahu betapa penatnya fizikal dan mental Sweet hendak melalui fasa seimbang antara kerja dan pelajaran sejak sekolah rendah. Bila orang tanya bagaimana ingin melakukannya sambil belajar sepenuh masa seperti Sweet, jawapan saya adalah jika anda kuat, cubalah. Jika tidak kuat, jangan teruskan kerana anda akan ‘sakit’,” kata pelakon berusia 24 tahun ini.

Tambahnya lagi, biarpun penat fasa tersebut tidak akan dia lupakan sampai bila-bila. Rutin ke sekolah pada waktu pagi dan terus ke set penggambaran sebelum ke pusat tuisyen pula pada waktu malam sudah menjadi kebiasaannya.

Begitu juga dengan fasa pengajiannya di universiti. Sweet pernah melalui saat perlu berada di set penggambaran hingga lewat pagi dan terus menyertai kelas yang bermula pada jam 8 pagi.

Semua itu dihadapnya dengan penuh tabah kerana azamnya hanyalah untuk mengambil peluang kedua-dua bidang.

“Degil kan saya? (Ketawa). Sakit macam mana pun saya akan belajar kerana saya hendak! Sampaikan saya kurus 10 kg.”

“Ada yang cakap saya tidak mempunyai memori zaman kanak-kanak (kerana tidak mempunyai masa bermain seperti orang lain). Siapa kata? Memori kanak-kanak saya ada yang terbaik! Pengalaman yang mahal, rasa puas sangat!”

“I tak suka mentality orang bila kata mak hantar anak pergi berlakon tak fikir masa depan & study anak. This is for you Mama..” Sumber Foto : Instagram

“Saya berusaha selama 14 tahun untuk menamatkan zaman belajar saya. Jujurnya, saya pernah hampir ingin berputusa asa kerana tidak larat. Tetapi saya mempunyai BANYAK sumber motivasi untuk meneruskannya seperti keluarga yang orang di sekeliling yang sentiasa menolong dan memahami Sweet apabila kepenatan,” kongsinya lagi yang bersyukur pihaknya universiti masih melangsungkan majlis konvokesyen mereka biarpun dia telah lama menamatkan pengajian.

 

Adam Lee Sokong Sweet Sambung ‘Master’

Turut tidak ketinggalan meraikan tunangnya bergelar graduan ialah pelakon, Adam Lee yang sama-sama berada di sana dengan ahli keluarga Sweet.

Sumber Foto : Instagram

Tumpang berbangga dengan kejayaan Sweet yang digelarnya sebagai seorang yang berhati kental terutamanya sewaktu Sweet perlu menyiapkan tesisnya sambil komited dengan sesi penggambaran, Adam berkata, “Alhamdulillah, kerja keras berbaloi. Walaupun sepatutnya dua tahun lepas awak graduate untuk ijazah sarjana muda awak tetapi ditangguhkan disebabkan pandemik.

“Saya tahu betapa sukarnya cabaran awak apabila berkerja sambil belajar sebab saya ada dengan awak pada waktu itu.

“Jujur jika saya di tempat awak, saya akan stres sebab bukan mudah untuk seimbangkan kedua-duanya.  Awak amat kuat, saya selalu berbangga dengan awak dan saya doakan impian awak untuk menyambung master akan tercapai. Step by step but surely,” catat pelakon yang popular dengan drama Budak Tebing itu.

ARTIKEL BERKAITAN : “6 Bulan Lalu Sweet Qismina Sudah Rancang..” Baju Tunang Songket AMAZÉ Curi Tumpuan – REMAJA

Tahniah sekali lagi kepada Sweet Qismina daripada REMAJA!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ