Seorang pelajar sekolah menengah tampil ke hadapan untuk mendedahkan perbuatan seorang guru mata pelajaran Pendidikan Fizikal yang didakwa melakukan gurauan menjelikkan di dalam kelas, Jumaat lalu.
Kata pelajar tersebut menerusi beberapa hantaran video di laman TikTok, guru lelaki itu sedang mengajar seperti biasa dan kelas sedang membincangkan tentang kesedaran gangguan seksual di kalangan remaja.
Ini termasuklah cara-cara menjaga diri jika berdepan dengan gangguan terutamanya di kalangan pelajar perempuan.
Namun perlahan-lahan, perbincangan itu bertukar semakin pelik dan lucah.
“Guru itu berkata terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.
“Dia kemudian berkata (kepada pelajar lelaki), jika nak merogol, janganlah rogol (mangsa di) bawah 18 tahun. Rogol (mangsa) yang (berusia) 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk (melindungi mangsa di) bawah umur,” kata pelajar itu lagi.
Obviously, pelajar perempuan di dalam kelas tersebut tidak memberikan reaksi dan hanya mendiamkan diri. Lain pula ceritanya dengan pelajar lelaki yang menyambut ‘gurauan’ itu dengan gelak tawa.
“Pelajar lelaki dekat belakang ketawa seperti perkara ini (merogol seseorang) adalah lucu, sedangkan ia tidak kelakar dan menimbulkan trauma serta rasa takut kepada kami (pelajar perempuan).
“Cikgu itu pun menyebut, jika lelaki dirogol, dia orang tidak akan laporkan kerana mereka berasa ‘sedap’, seperti mereka mahu perkara ini berlaku kepada diri mereka,” jelas pelajar itu lagi.
Artikel Berkaitan : Demi Lovato Mengaku Pernah Dirogol Pelakon Lelaki – REMAJA
Kejadian itu telah dimaklumkan kepada guru kaunseling sekolahnya, namun tiada tindakan diambil.
Kata guru kaunseling, ‘gurauan’ seperti ini adalah perkara biasa bagi pelajar lelaki dan pelajar perempuan selalunya sensitif dalam isu seperti ini kerana ia fitrah semula jadi mereka. Guru kaunseling itu juga berhasrat berjumpanya pada minggu hadapan untuk membincangkan isu ini.
“Jujurnya, adakah ini pemikiran golongan lelaki masa depan negara kita? Guru seharusnya mengajar tentang rasa hormat dan cara mengelakkan jenayah rogol.
“Bukannya mengajak pelajar lelaki untuk sama-sama gelak mengenai rogol seolah-olah pelajar perempuan tiada di dalam kelas itu.”
Terdahulu, pelajar perempuan itu telah memuat naik video di TikTok (dan kemudian kongsikannya ke Twitter) untuk mengadu berkenaan kejadian ini dan berharap dengan penyebaran mesej ini, tindakan tegas akan diambil terhadap guru tersebut.
Biarpun ada warganet yang beranggapan pelajar ini ‘membuka aib’ kesilapan guru yang bergurau itu, dia berpendapat sebagai seorang pelajar, dia perlu bersuara kerana isu ini mungkin juga terjadi di sekolah lain.
Malah ada pelajar perempuan lain yang kini mendakwa dia juga tidak merasa selesa dengan ‘gurauan’ keterlaluan itu.
“Sebagai seorang guru, dia sepatutnya membuatkan kami merasa selamat. Saya rasakan kesedaran terhadap kejadian yang berlaku di sekolah perlu dipertingkatkan. Tak semua perkara boleh dijadikan bahan gurauan.”
Sumber : Akaun Twitter @ant33ater
Baca Lagi : “Jangan Mandi, Mangsa Rogol Perlu Terus Ke Balai Polis” Bakal Peguam Ini Jelaskan Kenapa – REMAJA