Setelah orang ramai di seluruh dunia khusyuk mengikuti perbicaraan kes saman fitnah Johnny Depp terhadap bekas isteri, Amber Heard selama enam minggu, akhirnya pada hari ini kuputusan juri yang bersidang di Mahkamah Circuit dekat Fairfaz Country, Virginia telah diumumkan.
Juri memutuskan agar Amber, 36 membayar USD10 juta (RM43.8 juta) dalam bentuk ganti rugi pampasan dan USD5 juta (RM21.9 juta) dalam bentuk ganti rugi punitif kepada Johnny, 58.
Begitupun, juri juga memutuskan agar Amber DIBAYAR ganti rugi pampasan sebanyak USD2 juta (RM8.7 juta).
Keputusan ini dicapai setelah barisan tujuh orang juri meneliti dan membahaskan keterangan yang dikemukan oleh saksi kes saman Johnny Depp terhadap Amber Heard sejak Jumaat lalu. Apa yang menjadikan perbicaraan kontroversi ini lebih menarik adalah apabila ia turut membabitkan senarai saksi yang antaranya terdiri daripada bintang terkenal antarabangsa.
Antaranya termasuklah supermodel 90-an Kate Moss, pelakon Ellen Barkin, penyanyi Courtney Love, penyampai radio Howard Stern, pelakon Drew Barrymore serta jutawan terkenal, Elon Musk.
Setelah menerima keputusan itu, Johnny Depp menerusi hantaran di Instagram pada awal pagi ini meraikan kejayaan tersebut.
“Enam tahun lalu, hidup saya dan anak-anak termasuk mereka yang rapat dengan saya, serta mereka yang selama ini menyokong dan mempercayai saya telah berubah sama sekali.
“Tuduhan jenayah palsu dan serius dikenakan terhadap saya melalui media. Ia mencetuskan kebencian orang ramai yang berterusan walaupun tiada dakwaan yang dibuat ke atas saya. Ia telah memberikan impak terhadap kehidupan dan karier saya,” catatnya. Disebabkan dakwaan oleh bekas isterinya itu, Johnny sebelum ini telah kehilangan peluang melakonkan watak Captain Sparrow dalam filem Pirates 6 yang bernilai USD22.5 juta.
Sedikit info ringkas mengenai perbicaraan kes bekas pasangan suami isteri popular ini; Johnny Depp awalnya memfailkan saman fitnah terhadap Amber atas penulisannya kepada kolum Washington Post dan menuntut ganti rugi sebanyak USD50 juta.
Sebagai ‘balasan’, Amber Heard pula menfailkan saman menuntut USD100 juta dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan dan keganasan fizikal’ daripada bekas suaminya itu. Johnny menepis dakwaan pernah melakukan penderaan fizikal kepada Amber, sebaliknya mendakwa Amber yang sering bertindak ganas.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.