Beralih Ke Apps ‘Smart Quran’ Dan ‘mySolat’, Dibangunkan Kerajaan Malaysia

Share

 

Semalam kecoh di media sosial apabila satu aplikasi yang digunakan oleh jutaan umat Islam di serata dunia untuk mengetahui waktu solat, arah kiblat, bacaan al Quran dan banyak lagi menjual data peribadi 98 juta umat Islam yang menggunakan app itu untuk kegunaan harian mereka kepada unit ketenteraan Amerika Syarikat (US).

BACA:  US Beli Aplikasi Muslim Pro, Tentera Amerika Miliki Data 98 Juta Pengguna Islam

Dan hal ini membuatkan kita semua bimbang dan risau berikutan dakwaan kebocoran maklumat peribadi untuk tujuan yang tidak dikenal pasti. Menurut tinjauan REMAJA di posting yang kami muat naik semalam di Instagram, ramai yang mengambil tindakan untuk memadamkan aplikasi tersebut daripada telefon pintar mereka.

*

Terbaru, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkongsi satu aplikasi khas kegunaan pengguna Muslim khususnya di Malaysia, iaitu Smart Quran.

Aplikasi ini dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menariknya, ia adalah aplikasi Al-Quran mudah alih pertama yang diluluskan oleh Lembaga Perlesenan dan Kawalan Percetakan Al-Quran di bawah KDN.

Terdapat pelbagai fungsi yang disediakan dalam aplikasi ini, antaranya:-

 

1. Pilihan surah mengikut nama surah

Pengguna boleh mencari surah-surah yang ingin dibaca melalui susunan nama surah, dari surah pertama (Al-Fatihah) sehinggalah yang terakhir; surah ke-114 (Surah An-Nas).

Difahamkan, pengguna juga boleh memainkan audio bacaan ayat Al-Quran yang dibaca oleh beberapa qari terkenal, antaranya Sheikh Abdullah Ibn Ali Basfar, Sheikh Ali al-Huzaifi, Sheikh Ibrahim al-Akhdar dan Sheikh Muhammad Ayyub Ibn Muhammad Yusuf.

 

2. Pilihan surah mengikut juz

Sangat membantu, pengguna aplikasi ini boleh mencari ayat Al-Quran mengikut susunan juz. Mungkin ini sangat membantu bagi mereka yang menghafaz Al-Quran, sama ada digunakan untuk menghafaz atau mengulang hafazan (i’adah) mengikut juz.

3. Penanda halaman
Jangan risau tak sempat habiskan bacaan kerana aplikasi ini ada sediakan tetapan penanda, supaya pengguna boleh kembali menyambung bacaannya.

4. Teks ayat-ayat Al-Quran yang menggunakan format Rasm Uthmani
Format Rasm Uthmani yang digunakan ialah sama dengan mushaf-mushaf Al-Quran yang dicetak serta dilesenkan oleh KDN di negara ini. Pasti tidak akan ada keraguan tentang susunan halaman, ayat dan sebagainya.

5. Terjemahan (tafsir)
Paling menarik , aplikasi ini disediakan dengan taksir. Pengguna boleh memahami ayat demi ayat, selain turut akan menghayati terjemahannya.

6. Mod gelap
Khas untuk korang yang silau, biasanya mod gelap digunakan ketika waktu malam.

So apa lagi, jom la kita dapatkan aplikasi ini, korang boleh memuat turun aplikasi Smart Quran ini di SINI bagi pengguna peranti Android, manakala di SINI bagi peranti IOS.

Selain itu, terdapat juga aplikasi MySolat yang dibangunkan oleh JAKIM, antara ciri tambahan dalam aplikasi ini adalah penentuan arah kiblat.

Semoga bermanfaat kepada semua umat Islam di Malaysia.

Published by
Ruziana Zainal