Jom Raikan Tahun Baru 2018 Dengan Bunga Api Digital & Sebenar Di LAMPU 2017!

Share

Guys, ke mana arah tuju korang pada malam tahun baru nanti? Haa, sini Remaja nak kongsi sikit tentang event yang cukup hebat penuh warna-warni dengan pelbagai kemeriahan. Bermula semalam, FESTIVAL LIGHT & MOTION PUTRAJAYA 2017 atau dikenali LAMPU 2017 telah mula dilangsungkan di Presint 3, Putrajaya.

Kota canggih Putrajaya akan ‘bermandi’ cahaya lampu berwarna-warni selama empat hari dengan pelbagai pengisian aktiviti hebat bakal diadakan oleh pihak penganjur, Perbadanan Putrajaya (PPj). Ini merupakan penganjurannya yang kali kelima berturut-turut dengan pada tahun ini membawa tema Ekspresi Negaraku, Ekspresi Malaysia dan Alam Semula Jadi.

Penganjuran kali ini juga dikatakan sangat mesra keluarga terutamanya di kalangan kanak-kanak.

Bermula pada semalam iaitu 28 Disember 2017, LAMPU 2017 akan berakhir pada tengah malam 31 Disember 2017, di ambang Tahun Baru 2018. Kalau korang nak tahu, Remaja difahamkan bahawa sambutan Tahun Baru LAMPU 2017 akan dimeriahkan dengan pertunjukan bunga api digital pertunjukan yang cukup rare di dunia) dan juga bunga api sebenar.

Artikel Berkaitan: ESCAPE Penang Kini Pegang Rekod Gelongsor Air Terpanjang Di Dunia!

3D Mapping di bangunan Istana Kehakiman

LAMPU 2017 juga membawa kelainan dengan menampilkan pelbagai penggunaan teknik, teknologi visual, audio, pemetaan visual beresolusi tinggi dan juga pemetaan bercahaya 3D di bangunan Istana Kehakiman. Bagi memudahkan pengunjung pihak penganjur turut menyediakan bas shuttle dari Presint 16 dan Putrajaya Sentral. 

Untuk edisi pada kali ini PPj menyasarkan seramai lebih sejuta orang pengunjung akan memeriahkan LAMPU 2017.

Di kawasan Food Valley pula pengunjung boleh menikmati lebih daripada 500 jenis makanan dan minuman dari lebih 90 peniaga seluruh Malaysia. Malah pada tahun ini juga mereka menganjurkan Pesta Durian dan Buah-Buahan Tempatan dengan secara buffet. Korang yang kaki durian tu, inilah tempat yang wajib kena serbu!

Peta LAMPU 2017 untuk rujukan

Antara pertunjukan baru diperkenalkan pada LAMPU 2017 pula ialah Pandora Garden oleh DBKL, LAMPU International Conference, Levitating Street, Glowing 3D Street Art oleh LA21 Putrajaya, Hologram Exhibition, Mystical Maze, RC Showcase dan VIP Lounge (dilengkapi bean bag di bahagian Grand Projection Mapping).

Manakala aktiviti berbayar pula melibatkan beberapa aktiviti seperti Beca Melaka, Beca Putrajaya serta acara Zumba Walk Ladies Only dan Glowing Fitness Fiesta.

Bagi korang yang merancang untuk menyambut Tahun Baru 2018 di sini, Remaja nasihatkan untuk pergi lebih awal dan rancang perjalanan korang sebaiknya. Jika kamu masih di bawah umur, sila pergi bersama orang dewasa dan dapatkan kebenaran daripada mereka.

Untuk maklumat lanjut korang boleh layari Portal Rasmi PPj, www.ppj.gov.my atau Facebook Perbadanan Putrajaya.

Have fun!

Jadual acara LAMPU 2017 yang dipenuhi pelbagai aktiviti menarik
Published by
Farizul Izwany Ibrahim