Memang ekstrem sungguh anak muda sekarang bila bercinta. Umur masih lagi sehijau pucuk daun sudah pandai memadu asmara dengan orang yang tidak dikenali. Kes yang berlaku di Jambi, Indonesia ini melibatkan seorang gadis berusia 15 tahun yang dikenali dengan nama Indri.
Ketika berada di lapangan terbang Sultan Thaha Jambi, remaja tersebut membeli tiket pesawat Citilink dengan tujuan untuk ke Jakarta.
Pelik dengan keberadaan remaja tersebut dari pagi sehingga petang mundar-mandir di lapangan terbang. Akhirnya seorang jurujual farmasi di lapangan terbang yang dikenali dengan nama Viktor mendekati remaja itu dan bertanya jika dia memerlukan pertolongan.
Ekoran itu, niat Indri diketahui oleh jurujual itu yang juga terkejut apabila melihat sejumlah wang bernilai IDR20 juta atau kira-kira RM5800 di dalam beg yang dibawanya.
Prihatin dengan situasi yang berlaku, jurujual farmasi itu terus menghubungi pihak lapangan terbang untuk menyiasat perkara tersebut. Dalam satu kenyataan, pengurus besar lapangan terbang itu, Agus Supriyanto segera melakukan pemeriksaan dan terus membatalkan penerbangan remaja tersebut.
Setelah disiasat, rupa-rupanya wang berjumlah lebih IDR20 juta yang dibawa bersamanya adalah hasil dia menjual motorsikal jenis Yamaha N-Mex milik ayahnya. Dia yang kelihatan bingung tetap tekad mahu terbang juga ke Jakarta namun dihalang. Seorang lagi jurujual wanita yang dikenali dengan nama Monica kelihatan cuba menenangkan remaja berkenaan.
Menurut Monica, setelah berbual dengan remaja itu, teman lelaki yang diperkatakan olehnya sudah dikenali selama tiga tahun menerusi permainan game online Free Fire, namun mereka tidak pernah bertemu. Ujarnya lagi, apabila sampai sahaja di Jakarta, teman lelaki remaja tersebut akan memegang duit yang dibawa.
Niat remaja tersebut walau bagaimanapun terbantut dan dia akhirnya dijemput oleh keluarganya pada hari yang sama untuk pulang ke rumah.
***P/S – Nasib baik staf di lapangan terbang peka dengan apa yang terjadi setelah curiga melihat remaja tersebut. Untuk adik-adik yang masih muda, jangan terlalu ikutkan perasaan. Takut nanti bahaya yang menanti.
Sumber: Tribun Lampung