Bagi korang yang merupakan pelanggan setia di pasaraya AEON, pastinya korang perasan kempen jualan besar-besaran yang sedang diadakan mereka.
Kempen yang dinamakan sebagai Raikan 101 Hari Bersama AEON – Sama Sama Lagi Best ini merupakan promosi khas AEON untuk ahli mereka. Seharusnya, ia dijadualkan berlangsung dari 20 Mac ini hingga 28 Jun kelak.
Antara kelainan yang dibawakan oleh AEON adalah promosi ‘All Night Sale’ dari 20 Mac hingga 21 Mac ini di mana pasaraya tersebut sedang berkira-kira untuk menarik pelanggan dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
Bagaimanapun, setelah arahan Kawalan Pergerakan dikeluarkan oleh pihak kerajaan secara rasmi (dan setelah menerima respon yang kurang memberansangkan oleh netizen di media sosial yang meminta agar pasaraya lebih sensitif terhadap situasi pandemik semasa), pihak AEON telah meneliti semula program tersebut.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh AEON Retail (Malaysia) hari ini, promosi ‘All Night Sale’ tersebut telah dibatalkan agar ia selari dengan arahan kerajaan yang menolak sebarang perhimpunan beramai-ramai.
NAMUN, promosi Raikan 101 Hari masih diteruskan dengan harga menarik hingga 28 Jun nanti; sepanjang waktu pembukaan normal. Khas untuk pelanggan berusia 60 ke atas, OKU dan wanita mengandung pula, mereka diberikan keutamaan di bahagian pembayaran.
Bahagian pasaraya AEON, MaxValu dan Wellness masih beroperasi seperti biasa. Cuma stor Daiso yang dioperasikan oleh AEON Co. (M) Bhd akan ditutup, besar kemungkinan hingga 31 Mac ini.
*
Diharap lebih banyak stor yang sensitif dan prihatin terhadap keperluan pelanggan seperti ini. Ini merupakan antara stor yang masih beroperasi seperti biasa.