Juara Dewi Remaja 2022, Tracie Sinidol Idam Watak Aksi

Share

Tracie Sinidol. Juara Dewi Remaja 2022 yang sememangnya mempunyai azam dan matlamat besar dalam dunia seni tempatan.

Baru berusia 22 tahun, gadis kelahiran negeri di bawah bayu, Sabah ini semakin meniti populariti tersendiri apabila kini dirinya diberi kepercayaan dan menerima ‘lamaran’ penerbit bagi menghiasi layar skrin.

Sempat menemu bual Tracie, dia mendedahkan pada mulanya agak ‘kekok’ di set pengambaran ketika menjayakan telefilem terbaharunya berjudul Diari Cintaku yang bakal ditayangkan di Astro.

ARTIKEL BERKAITAN: Tracie Sinidol Dinobatkan Sebagai Dewi Remaja 2022

Bertuah bergandingan dengan aktor popular tanah air, Ben Amir, dia memuji pelakon tersebut kerana banyak membantu dari segi lakonan selain berjaya menjalinkan ikatan kimia di antara mereka untuk genre romantik tersebut.

“Untuk perkembangan terbaharu, saya baru sahaja selesai pengambaran telefilem dan drama. Berita baik, Diari Cintaku bakal ditayangkan pada 24 April di Astro yang mana ini adalah telefilem romantik pertama saya dengan pelakon Ben Amir.

“Chemistry saya bersama Ben ada ketika sesi pengambaran. Walaupun pada mulanya saya banyak memikirkan ‘bagaimana mahu menjayakan babak romantik ini’ dan saya pun belum kenal Ben sangat. Paling rasa kekok semasa hari pertama pengambaran, bukan sahaja harus serasi dengan para pelakon tetapi kesemua kru juga dan pengarah.

“Namun, Ben okey dan sangat membantu. Menariknya, dia juga sebelum ini pernah tinggal di Sabah, jadi dia memahami apa yang saya katakan. Seminggu seterusnya saya mula okey dan menyesuaikan diri,” ujarnya kepada Remaja.

Bertanya mengenai hasrat besarnya dalam industri seni tanah air pula, Tracie memaklumkan dia idam untuk membawa watak aksi menerusi karya mahupun drama tempatan, sementelah dirinya diberi kepercayaan dalam genre romantik dan komedi seram sebelum ini.

“Dalam industri ini, saya berharap agar dapat muncul dalam pelbagai jenis genre. Komedi seram sudah, romantik pun sama. Jadi, why not selepas ini aksi pula kan. Mana tahu boleh jadi pelakon filem Polis Evo 4 Pula kerana saya memang minat berlakon genre aksi,” tuturnya.

Bintang jelita itu berkata demikian ketika ditemui di persembahan koleksi GUESS terbaharu bersama jemputan Hero Remaja dan Dewi Remaja, di GUESS Pavilion Kuala Lumpur, semalam.

Kongsi Tracie, dia menzahirkan rasa teruja kerana dapat bekerjasama dengan jenama terkenal tersebut lantaran ia adalah impian dan hasratnya sejak kecil lagi untuk berkolaborasi dengan mana-mana jenama terkemuka di pasaran.

“Saya berasa amat gembira kerana ini adalah pertama kali saya bekerjsama dengan Guess. Impian sejak kecil lagi untuk bekerjasama dengan mana-mana jenama terkenal.

“Apabila saya berada disini, saya rasakan sesuatu yang ‘wow’ kerana tidak pernah jangka langsung hasrat saya akan benar berlaku seperti hari ini,” katanya.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER FOTO: Instagram Tracie Sinidol

Published by
Fath