Kepetahan dan juga ketajaman hujah yang ditonjolkan oleh para pendebat Sekolah Kebangsaan Proton City, Tanjung Malim, Perak berjaya mengekalkan kejuaraan yang diperolehi mereka tahun lalu sekaligus mencipta sejarah tersendiri.
Dengan usul Kelestarian Alam Sekitar Membantu Kelangsungan Negara, gandingan hebat Wan Ijlah Auji bersama Nur Hawa Batrisyia Mohd Nizam, 12, serta Nur Ahlam Yamna Yuzaidi, 12, serta pembahas simpanan Nursyifaa Amani binti Mohd. Anuar,12, dan Nur Lidya Altaf binti Yuzaidi, 10, mereka berjaya mengalahkan saingan pencabar dari Sekolah Kebangsaan Sentul 1, Kuala Lumpur.
Kisah kejayaan pelajar-pelajar cilik ini dikongsikan oleh guru pembimbing Cikgu Khalil Zaini di halaman Facebooknya. “Alhamdulillah. Perak dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen Peringkat Kebangsaan 2022.
Ads
“Datang dengan status juara bertahan, kami pulang dengan status yang sama. Tahniah dan terima kasih untuk semua yang terlibat dalam penciptaan memori indah pasukan Bahas Bahasa Melayu Ala Parlimen SK Proton City pada tahun ini,” tulisnya.
Walaupun begitu, jalan kejayaan bukanlah mudah. Kongsi Cikgu Khalil Zaini lagi, pasukan guru pembimbing turut mengalami perkara yang membuatkan mereka sedikit ‘goyah’ ketika pertandingan peringkat daerah.
Ads
“Peringkat Daerah Muallim dah dekat. Seorang pembahas tarik diri sebab tak berani beri komitmen masa dengan jadual latihan yang padat. Saya cuba pujuk dia tapi gagal. Saya beri masa dia buat pilihan dan berjanji tak akan pujuk dia lagi selepas tu. Akhirnya dia memilih untuk berundur. Kami hormati keputusannya walaupun sedikit terkilan,” tulisnya dalam perkongsian tersebut. Namun mereka berjaya mencari pelajar lain sebagai pengganti.
Selain Cikgu Khalil Zaini, lima pelajar berkenaan dibimbing oleh barisan guru, Ahmad Mustakim Supian, Siti Anurizah Abd Rais, Sharifah Noor Adni Syed Ibrahim dan Norhanini Nordin.
Ads
Tahniah REMAJA ucapkan kepada para pembahas SK Proton City dan guru-guru pembimbing yang tidak putus mendidik anak bangsa untu berjaya. Semoga pasukan ini berjaya mencipta hatrik tahun hadapan!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Dua graduan cemerlang yang berasal dari Sarawak baru-baru ini telah menerima Anugerah Pelajaran Di-Raja di atas kecemerlangan akademik dan dedikasi mereka di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ke-28, pada 4 November, semalam.
Menurut salah seorang penerima, Annie Lau Siew Ming dari Sibu, beliau berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan dengan CGPA cemerlang iaitu 3.93.
Antara kunci kejayaan yang sempat dikongsinya adalah untuk sentiasa menekankan kepentingan pengurusan masa sebagai pelajar. Selain itu, kerja keras juga menjadi rahsia utama jika seorang pelajar ingin berjaya.
“Pertama adalah kerja keras, sebab tiada siapa yang boleh berjaya tanpa usaha. Kedua adalah pengurusan masa. Selain itu, mengimbangi pelajaran dan aktiviti kokurikulum memerlukan saya menguruskan masa dengan baik”
Dalam pada itu, Annie juga merancang dan bercita-cita untuk mengambil peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah (ACCA) bagi mendalami kepakarannya dalam bidang perakaunan.
Sementara itu, bagi seorang lagi penerima, Dayang Nurina Nazihah yang merupakan graduan dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia. Beliau telah menamatkan pengajian dalam bidang kaunseling dengan CGPA 3.85.
“Pendekatan saya amat mudah kerana saya hanya melakukannya sehabis baik. Saya juga bersemangat untuk meneroka potensi diri dan mendorong diri melepasi zon selesa saya,” katanya.
Menurut Dayang, beliau telah hadir temu duga bagi mendapatkan lesen kaunselor berdaftar dan berharap boleh bermula sebagai kaunselor bebas sambil meneroka peluang kerjaya lain.
Tambahnya, beliau juga akan memulakan program pengajian Sarjana di UNIMAS pada Januari tahun hadapan.
Sekadar info, Majlis Konvokesyen itu dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Canselor UNIMAS, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Sumber: Facebook Universiti Malaysia Sarawak
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Berdiri tunggal seorang diri, kehadiran Azfar Heri tanpa pembantu peribadi yang seakan sudah menjadi kawajiban dalam kalangan personaliti remaja tempatan disambut team Remaja di kaki bangunan hotel Four Points by Sheraton Kuala Lumpur, Chinatown awal Ramadan lalu.
Trafik sedikit sesak katanya, menjadikan diri yang sedang berpuasa ini sedikit letih. Begitupun, semangat untuk menjalankan sesi penggambaran cover pertamanya membuatkan Azfar kekal bertenaga. Tiada sekelumit resahan hadir dari bibir. Terdetik di hati penulis, mungkin inilah faktor yang membolehkan Azfar kekal diminati warganet sehingga ke hari ini.
Pendakian drastik pemilik nama Azfar Heri ini sebagai seorang personaliti media sosial sepanjang tahun lalu tidak boleh disangkal. Dengan pengikut seramai 1 juta orang di Instagram dan lebih 700 ribu lagi di laman Twitter, pastinya kelibat remaja berusia 23 tahun ini tidak pernah terlepas daripada ‘melalui’ halaman timeline warganet di Malaysia.
Peningkatan jumlah pengikut itu juga sekali gus membolehkan Azfar tergolong dalam carta lima akaun Twitter yang mencatatkan peningkatan pengikut tertinggi di Malaysia pada tahun lalu.
Not bad for a guy who started all of this by uploading a recipe video on Instagram Story, right?
“Saya memang minat memasak! Mulanya, hanya rakan terdekat yang memberikan komen positif terhadap video masakan saya itu dan mencadangkan agar saya menyenaraikannya dalam segmen butang ‘highlight’ di Instagram.
“Saya kemudiannya menukar strategi dengan memuat naik video masak berdurasi seminit pula. Seingat saya, daripada situlah video masakan saya jadi viral apabila ramai orang awam mula kongsikannya di Twitter.
“Kebetulan pula waktu itu sudah menghampiri bulan Ramadan, bertambah bersemangatlah saya berkongsi resipi-resipi lain di media sosial,” kata Azfar membuka bicara ketika bertemu empat mata dengan penulis. Dia kemudiannya mencipta akaun YouTube dan mula memikirkan selain resipi masakan demi mempelbagaikan lagi graf content.
Tegas Mendidik Adik
Mungkin ramai yang tidak tahu, Azfar kini merupakan seorang pelajar tahun akhir jurusan multimedia di Universiti Kuala Lumpur. Menjadi seorang pelajar bergelar personaliti media sosial nyata bukanlah satu perkara yang mudah; apatah lagi jika seseorang itu mengambil berat akan soal pelajarannya seperti Azfar.
“Sejak PKP tahun lalu, saya hanya menghadiri kelas secara atas talian. Adakalanya agak sukar untuk saya terkejar-kejar menyiapkan tugasan oleh pensyarah. Dan untuk itu, saya bersyukur kerana mempunyai rakan sekuliah yang sangat membantu dan para pensyarah yang memahami.
“Jika tidak bergelar Azfar Heri seperti yang kamu kenali sekarang, saya mungkin akan memilih kerjaya sebagai seorang video editor. (ketawa) Itupun kerana minat mendalam.”
Dari perawakan luaran, karakternya jelas merupakan seorang yang periang. Gelak tawa sering menjadi penyeri dan trademark dalam video yang dimuat naik. Begitupun, hanya segelintir tahu tanggungjawab besar Azfar Heri yang sebenar terhadap keluarganya telah menjadikan sebagai seorang yang tegas ketika mendidik adik-adik di bawah jagaannya.
“Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan mempunyai empat orang adik-beradik. Menggalas tanggungjawab sebagai anak sulung, sudah tentu ia merupakan satu tugas besar buat saya; tambahan pula apabila kami dikurniakan rezeki memiliki seorang adik istimewa.”
“Of course, tugas yang digalas oleh saya ini punya cabaran. Pada usia muda, saya perlu memikirkan cara terbaik menjaga keperluan keluarga. Ada masanya, saya juga terduduk termenung. Namun, kekuatan saya datang daripada ibu saya sendiri. Apabila melihat beliau mengigihkan usaha dan keringat menjaga kami empat beradik seorang diri, saya akan mendapat suntikan semangat untuk turut berdiri dengannya. Kami harus menjadi kuat demi keluarga,” luahnya ketika sedang menyarungkan persalinan jenama Coach, Levi’s Malaysia & kaca mata oleh Safilo Group dalam pekarangan kamar hotel.
Nyala by Azfar Heri
Biarpun namanya kian memuncak, Azfar enggan mendabik dada serta meraikan kemenangan trend seketika. Itulah yang mendorongnya bagi sentiasa memikirkan jalan menggembangkan lagi pengaruh ke bidang perniagaan pula.
Azfar mula menjinakkan diri dalam dunia perniagaan menerusi jenama Nyala by Azfar Heri. Mengakui ini adalah salah satu ‘backup’ plan untuk kerjayanya, perniagaan lilin terapi ini mula diusahakan pada akhir tahun lalu dan memperoleh respon yang cukup memberangsangkan!
“Alhamdulillah atas perjalanan baharu ini yang dipermudahkan Ilahi. Kita tidak tahu sampai bila nama kita berada di atas. InsyaAllah, Nyala by Azfar Heri ini merupakan cabang kerjaya jangka panjang yang sedang saya usahakan.
“Rakan sayalah yang mencadangkan agar memperkenalkan lilin terapi kerana mereka sudah ‘masak’ dengan citarasa saya terhadap variasi lilin. Buat masa ini, saya pernah melancarkan lima jenis aroma dan sambutan yang diterima agak mengejutkan. Setiap kali dilancarkan, akan sold out. Saya hanya mampu memanjatkan syukur kepadaNya dan juga berterima kasih kepada rakan saya yang banyak memberikan nasihat bagi menjalankan perniagaan ini.
“Besar harapan saya agar satu hari nanti dapat mewujudkan concept store bagi jenama lilin, Nyala by Azfar Heri. Mungkin sekali sebuah stor di setiap negeri.
“Bila saya menjual lilin aromaterapi seperti ini, customer’s experience itu jauh bezanya bila mereka dapat menghidu bauan lilin terlebih dahulu. Kalau jual secara online seperti sekarang, mereka mungkin tidak dapat feel bauan yang kami sediakan. Doakanlah agar impian saya ini tercapai, insyaAllah.”
Tradisi Aidilfitri Masih Terasa
Dua tahun berturut-turut, negara berdukacita apabila sambutan Aidilfitri terhalang oleh merebaknya wabak COVID-19. Buat Azfar, kemeriahan mungkin sedikit suram namun tradisi keraian ini masih akan terasa.
“Seperti tahun-tahun lalu, setiap kali Ramadan memang saya akan masak sendiri di rumah. Setibanya minggu terakhir persediaan Aidilfitri pula, saya bertukar sibuk mengemas rumah. Raya tahun ini, saya tak tahulah dapat balik ke kampung atau tidak (sebelum pengumuman PKP diumumkan), tapi saya tetap bersemangat menyambut Aidilfitri kerana masih ada saudara-mara yang menetap di sekitar Kuala Lumpur.
“Saya ini adalah di antara insan yang sudah terbiasa berhari raya dengan keluarga yang besar. Ibu saya saja mempunyai 11 orang adik-beradik! (Ketawa) Jadi, bayangkan sajalah kemeriahannya. Cabaran PKP ini memaksa kami redha sekadar membuat panggilan video sajalah bagi melepaskan rindu pada pagi Raya kelak.
“Di Melaka selalunya saya tidak akan ‘menang tangan’ melayan. Bergelut jadinya. (ketawa) Bila di KL ini, kesibukan itu hanya bertahan hingga ke petang Syawal pertama saja. Apapun, hari ini masih wajar diraikan sebagai simbolik umat Islam setelah sebulan berpuasa.
“Saya tetap menyediakan baju raya sedondon untuk kami sekeluarga. Selain itu, juadah wajib seperti sambal ayam sos dan ketupat pasti akan saya sediakan,” ujar Azfar menutup perbualan sambil mengucapkan Salam Lebaran buat semua yang mengenalinya dan sentiasa memberikan sokongan tidak terbelah bahagi.
Penggunaan frasa yang tidak gramatis seperti "lain-lain hal" dan "hal lain-lain" banyak digunakan dalam penulisan minit mesyuarat, karangan, ayat dan sebagainya. Hukum DM ialah rumus dalam tatabahasa yang telah ditetapkan oleh ahli bahasa. Dalam tatabahasa bahasa Melayu, yang diterangkan (D) disebut atau ditulis dahulu sebelum yang menerangkan (M).
Tidak ada frasa “lain-lain hal” kerana ini menyalahi hukum DM dalam tatabahasa bahasa Melayu.
Walau bagaimanapun, "lain-lain" hanya boleh menerima kata hubung "dan" dan "yang" sahaja untuk menghasilkan frasa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" kerana kata hubung tidak boleh digandakan.
Ingatlah bahawa "dan lain-lain" dan "yang lain-lain" sahaja yang boleh menggunakan kata ganda "lain-lain". Yang lain perlu digandakan sebelum menerima kata nama "lain".
A. Contoh Penggunaan “lain”: 1. Hal-hal lain. 2. Perkara-perkara lain. 3. Sekolah-sekolah lain. 4. Guru-guru lain. 5. Kemudahan-kemudahan lain.
B. Contoh Penggunaan “dan lain-lain”: Ibu bapa harus mengawasi anak-anak mereka pada setiap masa di kawasan hotel termasuk di kolam renang, lobi hotel, bilik senaman dan lain-lain.
C. Contoh Penggunaan “yang lain-lain”: Kuarantin dan gabungan langkah kesihatan awam yang lain-lain seperti penjagaan kebersihan yang maksimum dapat mengawal COVID‐19 daripada menular. Semoga perkongsian ilmu ini dapat memberikan manfaat kepada semua pembaca. Bahasa Jiwa Bangsa.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Faridah Mohamad Saad
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sepasang sudah anak Song Joong Ki pasangannya Katy Louise Saunders.Katy Louise Saunders selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan di Rom, Itali...