Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Inilah perumpamaan yang sesuai dikatakan kepada remaja berusia 19 tahun ini. Semalam, Myisha Mohd Khairul telah mengharumkan nama negara apabila dia menjuarai Kejohanan Badminton Dutch International 2022.
Dia yang merupakan pemain perseorangan muda negara telah mencipta sejarah tersendiri kerana ini merupakan kejuaraan sulungnya di pentas antarabangsa. Di peringkat akhir pertandingan itu dia mengalahkan rakan sepasukan, Siti Nurshuhaini Azman dengan mata 21-19, 18-21, 21-19 dalam aksi sengit yang berlangsung selama 70 minit.
Sebelum ini, Myisha antara atlet penting dalam pasukan wanita negara yang meraih gangsa pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), Februari lalu.
Dalam perkembangan terkini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi telah mengumumkan ganjaran buat Myisha yang merupakan anak jati Johor Darul Takzim. Dalam satu hantaran di Instagramnya, beliau mengumumkan berita gembira tersebut.
“Tahniah Myisha Khairul atas kejayaan menjuarai Dutch International 2022. Saya dan seluruh warga Johor tumpang bangga dan gembira! Myisha yang saya kenal memang seorang atlet yang amat komited dan sentiasa berusaha gigih untuk mencapai kejayaan.
“Sebagai tanda penghargaan, Kerajaan Negeri akan menghadiahkan RM10,000.00 atas kejayaan beliau mengharumkan Negeri dan Negara,” tulisnya.
Ads
Hadiah yang diberikan ini merupakan satu token hasil kerja keras atlet dan sebagai satu penggalak untuk menaikkan semangat mereka.
Ujarnya lagi, “Semoga kemenangan ini turut menyuntik dan membakar semangat atlet-atlet muda Johor lain dalam menjulang nama negeri dan negara di persada dunia. Luaskan Kuasamu Johor. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor.”
Ads
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
14 tahun lalu, Angie Bartholomew yang berasal dari Tuaran, Sabah mula menceburi bidang sukan Brazilian Jiu Jitsu.
Brazilian Jiu Jitsu merupakan sejenis sukan tempur yang menjurus kepada pergerakan mencengkam. Apa yang membuatkannya berbeza dengan sukan bela diri lain adalah penekanan kepada gerakan tempur tanah, Lalu, ia membolehkan lawan berbadan kecil untuk bertanding dengan lawan berbadan besar dan berat.
Berbalik kepada Angie, tidak lama selepas itu, dia mengambil keputusan untuk bermastautin di Amerika Syarikat dan masih menetap di sana sehingga kini.
Biarpun sudah berubah lokasi, Angie masih meneruskan minatnya terhadap latihan Brazilian Jiu Jitsu untuk mengekalkan staminanya serta sebagai cara mempertahankan diri apabila perlu.
Hasil ketekunan Angie itu, dia mencatat sejarah baru-baru ini apabila menjadi wanita kelahiran Malaysia pertama yang dianugerahkan dengan tali pinggang hitam Brazilian Jiu Jitsu (BJJ) di Amerika Syarikat.
Angie menerimanya dalam sebuah majlis penganugerahan ringkas di Evolution MMA Academy dekat Naples, Florida pada hujung minggu lalu. Secara tidak langsung, dia turut menerima gelaran ‘profesor’ sebagai pelatih sukan tempur diri.
“Saya tidak sangka akan dianugerahkan dengan tali pinggang hitam ini dan terkejut semasa majlis tersebut.
“Saya telah menaburkan masa dan tenaga sepanjang beberapa tahun berlatih dalam arena Brazilian Jiu Jitsu yang jujurnya didominasi oleh atlet lelaki. Jadi, anugerah ini adalah sesuatu yang amat bermakna untuk saya.”
Angie ingin sekali pulang ke Malaysia dan meneruskan karier sebagai pelatih atlet Brazilian Jiu Jitsu pada peringkat ‘advanced’. Tambahan pula sukan ini semakin mendapat tempat di negara kita. Namun disebabkan situasi pandemik kini, dia perlu menangguhkan perancangannya itu buat sementara waktu.
Begitupun, Angie masih berharap agar lebih ramai remaja perempuan yang berminat untuk menceburi Brazilian Jiu Jitsu. Bukan saja ia melatih badan mereka agar menjadi lebih tegap dan bertenaga, ia juga baik untuk membina kekuatan mental.
Elipsis ialah tiga titik berurutan “(…)” yang digunakan dalam penulisan untuk menandakan pengguguran sesuatu bahagian dalam teks sama ada dalam bentuk kata, frasa, klausa, ayat atau petikan. Kegunaan elipsis bergantung pada keperluan dan maksud bahagian yang ditulis dengan tanda elipsis itu.
Dalam menggunakan tanda elipsis, tiga perkara penting yang perlu difahami ialah:
Tanda elipsis terdiri daripada tiga titik sahaja. Jangan menulis tanda elipsis dengan lebih daripada tiga titik.
Tanda elipsis seharusnya diapit oleh satu jarak di kiri dan satu jarak di kanannya. Contoh penggunaan tanda elipsis yang betul dengan apitan jarak adalah seperti yang berikut:
Encik Amran berasa gembira … anaknya mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia.
Apabila tanda elipsis digunakan di hujung ayat, tanda elipsis tersebut seharusnya dijarakkan daripada tanda noktah yang menjadi penutup ayat. Contoh penggunaan tanda elipsis yang betul dalam konteks ini adalah seperti yang berikut:
Sehubungan dengan itu, semua pihak bersetuju untuk mencegah penularan wabak penyakit berjangkit di Malaysia … .
Dalam ayat di atas, selepas tanda elipsis, terdapat satu jarak sebelum tanda noktah digunakan. Beginilah caranya menulis elipsis di akhir ayat atau teks.
Dari segi penggunaan, tanda elipsis mempunyai beberapa fungsi. Antaranya termasuklah:
Tanda elipsis digunakan untuk menggugurkan bahagian yang tidak diperlukan dalam teks. Bagi tujuan ini, tanda elipsis boleh wujud di pangkal teks, di tengah teks atau di akhir teks.
Tanda elipsis digunakan untuk menunjukkan pengguguran maklumat yang terletak di bahagian akhir suatu siri frasa atau senarai yang ada sambungannya. Maklumat yang digantikan dengan tanda elipsis itu bermaksud “dan seterusnya” atau “dan lain-lain” sebagai sambungan kepada perkara yang dinyatakan dalam senarai tersebut. Sebagai contoh:
Nombor-nombor perdana ialah 2, 3, 5, 7, …
Semoga penerangan ringkas tentang penggunaan tanda elipsis dalam penulisan memberikan manfaat kepada pembaca.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Profesor. Madya. Dr. Ramalinggam Rajamanickam
Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Sepasang sudah anak Song Joong Ki pasangannya Katy Louise Saunders.Katy Louise Saunders selamat melahirkan cahaya mata kedua di sebuah pusat perubatan di Rom, Itali...