Juara Pengucapan Awam #SayaRemajaMalaysia ‘Menang Besar’ Di Hari Malaysia

Share

Peringkat akhir pertandingan pengucapan awam #SayaRemajaMalaysia sudah pun melabuhkan tirainya pagi tadi dengan menyaksikan pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Aiena Batrisyia Binti Sulaiman bergelar juara keseluruhan.

Daripada ratusan penyertaan yang dihantar oleh pelajar sekolah menengah rendah dan menengah atas, hanya enam peserta yang disenarai pendek untuk beraksi secara langsung di acara pengumuman pemenang kempen #SayaRemajaMalaysia yang disiarkan di laman Facebook rasmi Majalah Remaja.

Membawakan tajuk ‘Bahasa Penyatu Bangsa’, penyampaian jelas daripada Aiena Batrisya berjaya menambat hati panel juri yang terdiri daripada wakil dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Encik Rusdi Abd Rahman, bekas pendebat UiTM Encik Muhammad Hariri Zolkifli serta pelakon dan pengacara Uyaina Arshad.

“Sejujurnya saya tidak menyangka dapat menyandang gelaran juara dalam pertandingan pengucapan awam anjuran Majalah Remaja ini kerana melihatkan kepada barisan peserta hari ini, masing-masing mempunyai kelebihan dan telah melakukan yang terbaik. Alhamdulillah, agaknya sudah tertulis rezeki saya untuk menjadi juara kali ini,” luah Aiena.

Pengalaman menjadi ahli debat dan pidato di sekolah memberikan kelebihan buat pelajar ini kerana sememangnya dia sudah biasa menyertai pertandingan seumpama ini, namun jelasnya walaupun begitu dia tetap berasa gugup setiap kali ingin memulakan persembahan.

“Sejak dari darjah tiga lagi, saya telah diberikan pendedahan oleh ibu dan ayah untuk menyertai pertandingan bercerita. Daripada situ, say amula meningkatkan rasa keyakinan diri, sehinggalah saya menyambung pelajaran di Kolej Tunku Kurshiah, saya kini lebih aktif menjadi wakil pelajar dalam pertandingan pidato dan debat,”

“Sebenarnya hari ini merupakan hari bertuah saya kerana ada dua pertandingan besar yang saya sertai iaitu pertandingan pengucapan awam bersama Majalah Remaja dan pertandingan pidato anjuran Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Melaka. Lima minit sebelum diumumkan sebagai juara di Facebook Remaja, dalam masa yang sama saya juga telah diumumkan sebagai juara bagi kategori sekolah menengah acara pidato itu. Saya sangat bersyukur kerana ini antara pencapaian tertinggi yang saya peroleh sepanjang bergiat dalam bidang ini,” jelas Aiena lagi.

Bagi Aiena apalah makna kejayaan jika tidak ada individu yang memberikan sepenuhnya dorongan dan sokongan kepadanya. Berkat kejayaannya ini sebenarnya adalah hasil didikan daripada kedua ibu bapa dan para guru yang sentiasa memberikan tunjuk ajar.

“Kejayaan seorang pelajar mestilah diiringi dengan sokongan ibu bapa, keluarga dan tak lupa juga para guru yang sering memberi tunjuk ajar. Daripada segi penyiapan teks ucapan, itu merupakan gabungan idea guru pidato saya dan ibu yang sentiasa memberi komitmen serta sokongan walaupun hanya bergelar suri rumah,”

“Sebagai wakil remaja Malaysia, saya berharap agar generasi millennial 4.0, teruslah berkecimpung dalam bidang-bidang seperti pengucapan awam dan berpidato kerana suara kita adalah suara masa hadapan untuk menjadi pemimpin pelapis negara,” tambahnya lagi.

Tahniah Remaja ucapkan kepada semua finalis pertandingan pengucapan awam #SayaRemajaMalaysia pada tahun ini. Diharap lebih ramai lagi remaja yang berani menyertai pertandingan-pertandingan seumpama ini pada masa hadapan. Semoga dengan penganjuran kempen ini sedikit sebanyak dapat memupuk semangat dan rasa sayang remaja kepada negara tercinta.

Published by
Noor Ain Norman