Juara Superbike Dunia Pun Beri Penghormatan Kepada Mendiang Pelumba 15 Tahun

Share

 

Kejadian mengejutkan pada 25 September 2021 (Sabtu) lalu membabitkan pelumba remaja Sepanyol, Dean Berta Vinales yang maut selepas terlibat dalam insiden perlumbaan kelas WorldSSP300 masih berlegar dalam minda ramai pihak. Lebih mendukacitakan apabila ia berlaku di negara kelahirannya.

Pada usia semuda 15 tahun, Dean Berta yang juga merupakan saudara kepada pelumba MotoGP terkenal, Maverick Vinales maut di litar Jerez, Sepanyol setelah dia mengalami kecederaan teruk pada bahagian dada dan kepala. Setelah insiden yang membabitkan beberapa pelumba lain itu berlaku, kenderaan perubatan terus memasuki litar untuk membawanya ke pusat perubatan dalam kawasan litar.

Malangnya, Dean Berta disahkan meninggal dunia.

Twitter : MotoGP
Mendiang Dean Berta Vinales. Sumber Foto : Mirror UK

Ia nyata telah memberi impak kepada emosi ramai pelumba dan penganjur sukan permotoran di seluruh dunia. Sebagai contoh, perlumbaan ke-10 Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) sehari selepas kejadian telah dibatalkan untuk memberi penghormatan kepada Dean Berta.

Bukan itu saja, juara dunia dari Ireland Utara iaitu Jonathan Rea juga menyampaikan ucapan takziahnya kepada ahli keluarga serta kenalan rapat mendiang. Bagi Rea, sukar untuknya dan para pelumba lain untuk bersaing pada hari Ahad lalu selepas tragedi tersebut.

Jonathan Rea. Sumber Foto : MC News

“Adalah mustahil untuk saya anggap perlumbaan selepas ini akan menjadi mudah setelah apa yang berlaku (pada hari Sabtu lepas), dan sukar untuk (saya) berdiri di garisan permulaan (Ahad lalu) semasa kami berikan penghormatan kepada Dean.

“Tapi kami akan terus fokus pada tugasan (sebagai pelumba) dan cuma melakukan yang terbaik selepas ini. Ingatan ikhlas saya kepada keluarga dan rakannya sekarang. Juga kepada pasukannya agar mereka terus kuat semasa waktu yang sukar ini,” kata juara dunia berusia 34 tahun itu.

Untuk pengetahuan, mendiang Dean Berta Vinales merupakan pelumba remaja sensasi yang berpotensi untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang dalam dunia sukan permotoran.

*

Kejadian ini sekaligus menjadi kejadian maut kedua yang berlaku dalam masa beberapa bulan selepas insiden yang menimpa pelumba Moto3 dari Switzerland, Jason Dupasquier pada bulan Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN : Pelumba Remaja Moto3 Grand Prix Itali Meninggal Dunia Di Litar Mugello – REMAJA

BACA LAGI : Pelumba Remaja Negara, Adam Norrodin Berlumba Dalam Saingan Moto2 Di Litar Silverstone – REMAJA

Published by
FZ