Dalam Negara

Juarai Beregu Terbuka China! Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani Lakar Sejarah!

Share

Pemain beregu lelaki negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani mencipta sejarah tersendiri apabila bangkit tewas set pertama untuk menjuarai Kejuaraan Badminton Terbuka China di Pusat Sukan Olimpik Changzhou, pada Ahad.

Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga juara Terbuka Jepun Super 750 diletakkan sebagai pilihan ketujuh memerlukan 58 minit untuk mengakhiri cabaran wakil tuan rumah He Ji Ting-Ren Xiang Yu, 13-21, 21-12, 21-17.

Kejayaan beregu ranking ke-12 dunia di Kejuaraan Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) Super 1000 itu juga membolehkan mereka mengulangi pencapaian legenda adik-beradik Datuk Seri Jalani-Datuk Razif Sidek muncul pasangan beregu lelaki negara terakhir menjuarai Terbuka China pada 1989.

Kedua pemain yang kini berusia 27 tahun, Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Daniel Marthin 21-14, 24-22 pada aksi separuh akhir.

Sementara itu, Ji Ting-Xiang Yu pilihan kelima mara ke perlawanan akhir selepas mengetepikan satu lagi gandingan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-18, 21-11.

Kejayaan menjuarai kejuaraan Super 1000 itu membolehkan Sze Fei-Izzuddin membawa pulang AS$148,000 (RM622,361) manakala Ji Ting-Xiang Yu pula meraih AS$70,000 (RM294,360).

Kecemerlangan itu juga membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin muncul beregu lelaki negara kedua mengungguli Terbuka China selepas kali terakhir dilakukan gandingan legenda adik beradik Datuk Seri Jalani Sidek-Datuk Razif pada 1989.

Sebelumnya, pada hujung bulan lepas, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan menerima permohonan Sze Fei-Nur Izzuddin untuk bergerak secara profesional bermula 1 September.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE