“Jumpa Duit @ Barang BUKAN Rezeki Terpijak, HARAM Hukumnya Kalau Makan & Guna

Share

Tular di media sosial seorang peniaga bundle, Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29  menemui wang tunai 550,00 yen (RM20,755.84) di kedainya Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok kelmarin.

Dia yang membeli pakaian bundle berkenaan pada harga RM50 menyifatkan ianya rezeki terpijak selepas menemui dompet mengandungi wang yen tersebut.

Bagaimana pun selepas akhbar menyiarkan kisahnya itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad meminta agar peniaga berkenaan menyerahkan wang berkenaan kepada pihak beragama kerana itu BUKAN HAKNYA.

Jelas Datuk Mohamad Shukri, jika wang ditemui di Kelantan harus diserahkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk diuruskan.

Wan Mohamad Adam menjumpai duit 550,000 yen ketika membeli seguni baju bundle dan menyifatkannya sebagai rezeki

Sebaik isu ini diperkatakan di media sosial, orang ramai mulai keliru dan berbeza pendapat. Kata mereka, duit atau barang yang dijumpai adalah REZEKI TERPIJAK dan merupakan hak mereka.

Ada yang suruh perbesarkan lagi perniagaannya dan lain-lain lagi.

Jadi sebelum kita yang “ilmunya masih sedikit dan masih banyak belajar ini” ada sesuatu yang korang harus faham mengenai hukum ditetapkan di dalam Islam.

 

REMAJA menghubungi Ustaz MK Azman yang juga merupakan seorang motivator dan fasilitator profesional.

Menurutnya, jumpa barang atau duit bukan rezeki terpijak sebaliknya satu tanggungjawab iaitu amanah kerana keperibadian kita dinilai sama ada kita ini amanah atau tidak.

Masa yang sama, barang atau benda yang dijumpai dan tidak diketahui pemiliknya, di dalam ilmu Fiqh diistilahkan sebagai luqathah.

“Luqathah ialah harta ataupun barang yang dijumpai di suatu tempat yang tidak dimiliki, tidak diketahui pemiliknya, tiada tanda-tanda di dalam jagaan atau tidak berada di tempat yang lazimnya harta atau barang itu berada, sama ada ia hilang dari pemiliknya disebabkan tercicir ataupun terlupa.

Dalam satu riwayat hadis dari Zaid bin Khalid al-Juhani Radhiallahu ‘anhu, apabila Rasulullah SAW ditanya mengenai barang luqathah, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Ketahui (amati) bekas dan pengikatnya, kemudian hebahkanlah dalam tempoh setahun, sekiranya kamu masih tidak mengetahui pemiliknya maka kamu boleh gunakan dan ia menjadi barang wadi‘ah padamu. Apabila datang pemilik untuk menuntutnya pada suatu hari setelah berlalu suatu jangka masa, maka berikanlah kepadanya.”(Hadits riwayat Muslim)

Jadi korang dah fahamkan mengenai menjumpai barang atau duit di tepi jalan dan sebagainya.

Menurut Ustaz MK Azman, HARAM hukumnya jika kita makan atau menggunakan duit berkenaan tidak kira apa tujuannya.

“Walau pun jumlahnya RM1 atau 10 sen, asal ia bukan hak kita, kita wajib masukkan ke tabung masjid untuk pembangunan masyarakat. Kalau jumlah yang kecil pun perlu, apatah lagi satu jumlah yang besar.

Begitu juga dengan telefon bimbit atau barang-barang lain yang kita jumpai.

“Saya ambil contoh telefon bimbit. Kita dah isytihar dan tunggu setahun. Lama kelamaan akan rosakkan kalau tak guna. Jadi kita boleh beli telefon berkenaan di mana ada akad dan saksi semasa kita membeli barangan berkenaan mengikut  nilai semasa harga telefon berkenaan. Duit itu kemudiannya hendaklah kita masukkan ke tabung masjid untuk pembangunan masyarakat.

“Kalau barang itu jenis mudah rosak pula, kita perlu bayar ikut nilainya dan jumlahnya perlu dimasukkan ke dalam tabung masjid juga,” katanya yang kemudian membawa satu kisah dia ditanya oleh seorang individu mengenai duit dividen yang sumber pelaburannya diragui.

“Dia tanya saya boleh ke gunakan duit itu untuk buat jalan bertar. Saya katakan boleh kerana hukum pada duit haram ini kita boleh gunakan untuk pembangunan masyarakat. Bagaimana dengan kontaktor yang menerima duit berkenaan.

“Hukumnya tidak haram pada kontraktor yang menerima duit berkenaan kerana itu upah bagi kerjanya. Cuma kita niatkan agar duit itu untuk kebaikan umat semua,’ katanya yang meminta orang ramai yang keliru dengan hukum merujuk kepada pihak lebih berpengetahuan agar tidak terpesong dari pegangan.

Jadi korang dah fahamkan. Apa saja barangan atau duit yang kita jumpa, ianya bukan rezeki terpijak ya. Wajib masuk ke tabung masjid atau kalau jumlahnya besar perlu beri kepada pihak berkuasa seperti Baitulmal dan sebagainya.

 

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros