Persoalan sama ada Datuk Lee Chong Wei bakal bersara daripada arena badminton antarabangsa sebelum perayaan Aidilfitri akhirnya terjawab hari ini.
Dalam sebuah sidang media rasmi melibatkan pemain badminton berusia 37 tahun itu, beliau mengumumkan persaraan setelah 19 tahun berhempas-pulas menjadi pemain badminton bertaraf antarabangsa.
Dalam nada sebak, beliau berterima kasih kepada keluarga, peminat sukan badminton dan rakyat Malaysia secara amnya untuk sokongan dan galakan yang diterima selama ini.
Pada Julai tahun lalu setelah Datuk Lee Chong Wei disahkan menghidap kanser hidung, terdapat ura-ura bahawa beliau akan serta-merta bersara demi kesihatan. Namun beliau cuba bangkit setelah kian sihat.
Keputusan untuk bersara ini dilakukan selepas sesi pemeriksaan terbaru bersama doktor di Taiwan. Kata beliau, doktor memintanya untuk berehat dan ini adalah peluang terbaik bagi Datuk untuk mengutamakan masa bersama keluarga serta dirinya sendiri.
”Saya telah berbincang terlebih dahulu bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan (Menteri Belia & Sukan) Syed Saddiq. Kesihatan saya lebih utama,” simpul pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak 3 kali itu.
REMAJA pasti ramai yang sayangkan Datuk Lee Chong Wei dan inginkan yang terbaik buat beliau. Jutaan terima kasih di atas jasa dan pengorbanan beliau selama ini!
Kami juga berharap agar Datuk akan terus menyokong perkembangan sukan Badminton yang jujurnya sedang mencari-cari rentak pengganti beliau agar momentum team Malaysia akan diteruskan.
Dakwah Piala Dunia, Ratusan Penyokong Bola Sepak Peluk Islam Di Qatar
Hidayah itu milik Allah. Allah memberikan hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya.
ARTIKEL LAGI : Perkahwinan Gadis & ‘Oppa’ Ini Tarik Perhatian, Kedua-Duanya Mualaf!
Memilih untuk menukar keyakinan agama bukanlah satu perkara yang boleh dibuat mainan. Berpindah kepercayaan daripada satu agama ke satu agama lain memerlukan kekuatan dan juga tawakal yang tinggi.
Terbaharu khabar dari Qatar, siapa sangka penganjuran Piala Dunia 2022 merupakan dakwah buat umat Islam.
Hal ini seberapa video tersebar di media sosial menunjukkan beberapa penyokong bola sepak yang berada di Qatar bagi menyaksikan Piala Dunia memeluk agama Islam dengan mengucapkan dua kalimah shahadah.
Menurut beberapa ciapan di akaun Twitter, lebih 500 penyokong memeluk agama Islam sejak kejohanan itu bermula minggu lalu.
Walaupun jumlah itu tidak disahkan, yang pastinya memang benar terdapat individu atau keluarga yang bukan Islam mengucapkan dua kalimah shahadah. Dengan tanpa sebarang liputan media, ramai yang berkongsi detik mereka memeluk agama Islam di media sosial.
Dakwah Islam
Di samping memastikan kelancaran penganjuran Piala Dunia, Qatar turut memastikan pendakwah dan sukarelawan sentiasa bersedia menjawab persoalan mengenai Islam daripada penyokong.
Dengan jutaan penyokong berada di Qatar daripada seluruh dunia, dijangkakan ramai berminat dengan lebih lanjut bukan sahaja budaya masyarakat negara itu malah agama Islam itu sendiri.
Ketika ditemubual Al Jazeera, seorang sukarelawan berkata: “Kami tunjukkan kepada mereka apa itu Islam dan berusaha mengubah persepsi palsu terhadap Islam yang kerap mereka nampak dan dengar selama ini.”
Pusat Dakwah ditubuhkan untuk menjelaskan kepada pelawat asing selain mengedarkan risalah kepada mereka.
“Setiap hari kami temui sekitar 50-100 orang dan kami ajar mereka mengenai Islam dan memberikan maklumat kepada mereka,” menurut seorang sukarelawan.
Qatar turut memasang papan tanda besar atau banting berunsurkan Islam termasuk hadis mengenai adab menerima tetamu.
Pihak hotel turut menyediakan kod QR bagi membolehkan pengunjung mengimbas dan seterusnya mengetahui lebih lanjut mengenai Islam dalam pelbagai bahasa di telefon bimbit mereka.
Jika ini yang berlaku bertambahlah umat Nabi Muhammad S.A.W di muka bumi ini. Alhamdulillah!
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber : (1)
“Ayah Jadi Rapat, Luangkan Masa Dengan Anak-Anak”, Guru Maut Jatuh Bangunan Sekolah Beri Petanda
Innalillahiwainailahirojiun.
Seolah tahu dirinya akan pergi, guru sekolah, Rosle Abd Aziz, 54 yang meninggal dunia selepas terjatuh dari balkoni sekolah di Sekolah Kebangsaan Batu Gajah semalam menunjukkan perubahan sikap ketara.
Menurut anak sulungnya, Muhammad Zulhakim, 21 tahun, seminggu sebelum bapanya meninggal, bapanya ada menunjukkan perubahan sikap.
“Arwah bapa seorang yang suka masuk tidur awal namun seminggu sebelum kejadian, arwah sanggup meluangkan masa dengan anak-anak sehingga kami semua masuk tidur jam 12 tengah malam.
"Memang agak pelik dan tidak menyangka itu petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya," luahnya yang ditemui di Unit Kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM) semalam.
Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, kira-kira setengah jam sebelum kejadian berlaku, arwah ada menghubunginya meminta dokumen persekolahan adiknya dan dia sempat ke sekolah berkenaan jam 12 tengahari.
"Saya sampai ke sekolah dan hanya adik keluar bertemu bapa untuk menyerahkan dokumen. Kami tidak sangka tidak lama kemudian, mama menghubungi saya memaklumkan kejadian yang menimpanya.
"Arwah sebelum ini ada menceritakan setiap kelas di sekolahnya memasang sinki sebelum pembukaan sekolah esok dan minat bertukang. (sumber Berita Harian).
Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, arwah yang juga guru di sekolah berkenaan meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md Yusuf berkata, ketika kejadian mangsa sedang melakukan pemeriksaan air bagi memastikan setiap sinki di dalam kelas berfungsi.
"Mangsa dikatakan memanjat keluar dari dalam kelas ke balkoni belakang sebelum memijak kerusi plastik dan tergelincir jatuh pada ketinggian tiga meter.
"Mangsa mengalami kecederaan di kepala berikutan terkena bahagian longkang dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Tanah Merah semalam.
Beliau berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya di balkoni berkenaan manakala terdapat guru lain dalam kelas itu.
"Terdapat guru yang melihat kejadian berkenaan dan kami dimaklumkan kesemua guru ke sekolah untuk melakukan persediaan sempena pembukaan sekolah esok. Mangsa yang mempunyai lima orang anak mengajar Matematik di sekolah berkenaan sejak 17 tahun lalu," katanya.
Zainuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanah Merah (HTM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Salam takziah dari kami di REMAJA. Semoga jasa guru ini yang mendidik anak bangsa ditempatkan di syurga firdaus di akhirat kelak.
“Mak Kini Sedang Melangkah Ke Syurga”, Allah Kabulkan Doa & Meninggal Dalam Perjalanan Menuju Raudhah
Niat seorang wanita, Siti Faridah Ahmad yang ingin meninggal dunia di Tanah Haram termakbul apabila diberitakan meninggal dunia di saat dalam perjalanan menuju ke Raudah (taman-taman syurga) semalam.
Arwah bersama kumpulan jemaah wanita baharu sahaja turun dari tempat penginapan dan sedang melangkah menuju ke Raudhah di Masjid Nabawi sebelum terjatuh dan disahkan meninggal dunia jam 9 pagi waktu tempatan atau kira-kira jam 3.30 pagi waktu Malaysia.
Menurut anak allahyarham, Noor Hashimah Sabdin, 33 tahun, arwah maknya pernah memasang niat untuk meninggal dunia di Tanah Suci Makkah atau Madinah dan tidak hairanlah, mak selalu pergi menunaikan umrah saban tahun jika diberi kesempatan.
“Arwah mak sudah 12 kali tunaikan umrah. Malah mak seperti tahu bahawa umrahnya kali ini dia tidak pulang seperti mana biasa. Arwah mak siap berpesan kalau dia meninggal, mak dah siapkan semua kelengkapannya.
“Pada semua anak-anak dia berpesan begitu. Ambil saja dalam beg ini. Telekung semua mak dah siapkan,”kata Noor Hashimah yang menetap di Permatang Keratong, Kota Kuala Muda Kedah dan memaklumkan itu antara pesanan diberi arwah sebelum pergi menunaikan umrah.
ARTIKEL LAIN :– Kematian Rakyat Malaysia Ini Jadi Viral Kerana Meninggal Depan Makam Nabi. Apa Kebaikan Dilakukannya?
Tambahnya lagi, perasaan sedih itu menyelubungi dirinya dan adik-adik saat dimaklumkan oleh Ustaz Nurulaswar Nasron iaitu mutawwif yang menguruskan keperluan kumpulan umrah yang memaklumkan kejadian ini namun redha dengan semua ketetapan Allah.
“Raudhah tu taman-taman syurga. Walaupun sedih tapi pemergian arwah mak sangat dicemburui. Mak meninggal di tempat yang diinginkan semua orang iaitu di Raudhah bersebelahan Makam Nabi Muhammad SAW. Anggota jemaahnya memaklumkan mak terjatuh masa melangkah ke Raudhah. Anak-anak mak doakan, mak kini sedang melangkah ke syurga dan bersama orang beriman, insya-Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Noor Hashimah menjelaskan, arwah maknya pernah berkata kepada rakan sekampung bahawa kalau boleh dia ingin meninggal dunia di Makkah atau Madinah.
“Jadi bila peristiwa kematian ini terjadi, maka terkabullah hajat mak.
“Seluruh ahli keluarga bersedih tapi jauh di sudut hati rasa amat bersyukur sebab mak dijemput Illahi di tempat paling suci iaitu semasa dalam perjalanan menuju ke Raudhah, Masjid Nabawi.
“Mak pesan pada abang (anak sulung) sebelum bertolak supaya jaga adik-adik, kami semua lima beradik dan adik bongsu dah meninggal dunia pada 2014. Arwah ayah pun dah meninggal tiga tahun lepas, sejak itu, saya duduk dengan mak.
“Bila arwah mak tiada, rasa sangat kehilangan, kami tahu dia pergi umrah macam biasa, macam tahun-tahun lepas, tetapi tahun ini berbeza sekali, dia pergi buat selama-lamanya. Moga Allah terima mak, terima segala amalan mak, Insya Allah,” katanya.
Dijadual balik 5 Disember ini
Indahnya aturan Allah untuk hamba yang redha. Arwah yang mesra disapa Mak Lang Faridah di kalangan rakan dan mutawwif, dijadualkan balik pada 5 Disember ini berbaki lagi empat hari sebelum pulang ke tanahair.
Mutawif Fadlim Travel, Nurulaswar Nasron yang menguruskan keperluan jemaah berkata, allahyarhamah Siti Faridah dalam keadaan baik dan sihat sebelum kejadian selain sempat berkumpul dan merakamkan gambar kenangan bersama beliau dan jemaah lain 15 minit sebelum kejadian.
“Allahyarhamah terjatuh ketika dalam langkahnya menuju ke Raudhah iaitu satu ruangan dalam Masjid Nabawi yang dijadikan pusat tumpuan jemaah untuk berdoa selain berdekatan dengan makam Rasulullah SAW,” katanya.
“Mangsa dibawa ke Hospital Al-Ansar di Madinah untuk dirawat namun disahkan meninggal dunia,” katanya.
Menurut Nurulaswar, maklumat kematian dimaklumkan kepada Kedutaan Malaysia bagi memperoleh surat kebenaran untuk urusan pengebumian selain memaklumkan ahli keluarga yang berada di Kota Kuala Muda, Kedah.
Menurutnya, beliau dan agensi bersyukur apabila urusan pengebumian berjalan lancar dan diuruskan pihak pengurusan Masjid Nabawi.
“Arwah disemadikan di Baqi yang terletak bersebelah Masjid Nabawi selepas solat Zohor ini,” katanya.
Raudhah adalah ruang dalam Masjid Nabawi yang menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia berdoa dan dikatakan antara tempat paling mustajab untuk berdoa.
Bersebelahan Raudhah terdapat makam Nabi Muhammad SAW dan dua sahabat nabi iaitu Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al Khatab.
Sumber : SINAR HARIAN