Kumpulan hip hop yang berasal dari Sabah, Kclique telah pun mendapat pencalonan dalam kategori Best Southeast Asia Act mewakili rantau Asia Tenggara bagi Anugerah Muzik Eropah MTV (MTV EMA) 2020 yang akan berlangsung pada 8 November depan.
Turut dicalonkan dengan kumpulan hip hop itu adalah Agnes Monica (Indonesia), Ben&Ben (Filipina), Benjamin Kheng (Singapura), Violette Wautier (Thailand) dan Jack (Vietnam).
Kumpulan yang dianggotai oleh 8 orang termasuk MK, Noki, Tuju, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas sebelum ini popular dengan lagu Mimpi duet bersama Alif Sleeq. Memulakan kerjaya nyanyian mereka seawal tahun 2014, namun sekitar setahun yang lepas nama mereka semakin dikenali kerana sebelum ini Kclique hanya bergerak secara indie dan underground.
Undian telah pun dibuka sekarang di laman web mtvema.com dan akan ditutup pada 2 November nanti. Selain itu, pencalonan MTV EMA 2020 turut didominasi oleh Lady Gaga, kumpulan Kpop BTS dan diikuti oleh Justin Bieber.
Tahniah kami ucapkan kepada Kclique kerana telah berjaya dicalonkan dalam anugerah berprestij ini. Bagi peminat kumpulan hip hop ini, korang boleh mula mengundi sekarang.