Belum lagi reda dengan trend K-drama yang menjadi bualan penonton seluruh dunia seperti Squid Game, Alice in Borderland (akibat tempias Squid Game) dan juga Hometown Cha Cha Cha, muncul satu lagi judul drama yang dijangka bakal hit pada bulan ini.
K-drama original terbitan platform penstriman iQiyi ini berjudul Jirisan dan ia mula diperkatakan kerana pengaruh ahli kumpulan BTS, Jin. Khabarnya, Jin merupakan penyanyi di sebalik lagu latar drama Jirisan ini dan sebab itulah para ARMY mulai tidak sabar untuk menontonnya.
Oh patutlah.
Apapun, REMAJA merasakan kekuatan drama Jirisan ini melebihi sekadar kemunculan Jin BTS selaku penyanyi lagu latar saja. Lagipun, ini bukanlah projek solo pertama Jin yang sebelum ini pernah muncul dengan lagu Epiphany, Moon dan Awake.
Jadi apa yang membuatkan penonton tertunggu-tunggu menantikan Jirisan?
Tidak lain tidak bukan adalah kerana ia menampilkan nama-nama besar yang selalu dikaitkan dengan projek-projek drama popular di Korea Selatan.
Jirisan diarahkan oleh Lee Eung-bok (Goblin, Descendants of the Sun), skripnya pula digarap oleh Kim Eun-hee (Kingdom, Signal). Manakala, ia diterajui oleh Gianna Jun dan Ju Ji-hoon yang sudah berjaya memahat nama dalam dunia K-drama.
Tambah mengujakan apabila Jirisan merupakan projek comeback Gianna Jun di kaca televisyen. Kali terakhir Gianna Jun muncul adalah menerusi drama Legend of the Blue Sea lima tahun lalu. Dia pernah muncul dalam drama Kingdom terbitan Netflix namun itu adalah di saluran platform penstriman.
Serba ringkas mengenai jalan cerita K-drama bergenre suspense ini.
Jirisan mengisahkan tentang seorang pegawai hutan khazanah (national park ranger) bernama Seo Yi-gang (lakonan Gianna Jun) yang sedang dalam misi menerokai Gunung Jiri. Lengkap dengan segala peralatan mendaki gunungnya, dia langsung tidak gentar dan kenal betul dengan selok-belok pendakian di gunung itu.
Ju Ji-hoon (Kingdom, Princess Hours) pula memainkan peranan sebagai seorang ranger muda bernama Kang Hyun-jo yang baru saja menamatkan latihan di akademi ketenteraan. Dia pernah bergelar kapten dalam kalangan penuntut di sana satu ketika dulu.
Mereka berdua berganding bahu menjadi satu pasukan yang ingin menyelamatkan manusia di sekitar Gunung Jiri. Namun adakah mereka bersedia berdepan cabaran merbahaya yang boleh menimpa di tengah-tengah hutan belantara?
Bukan hanya Gianna dan Ji-hoon saja yang memainkan watak penting, Jirisan juga menampilkan pelakon Sung Dong-il dan Oh Jung-se. Detik pertemuan mereka berempat inilah yang menbongkar rahsia yang hanya diketahui dalam kawasan tersebut.
Menarik bukan? Jarang sekali kita menonton kisah seorang park ranger. Yang pasti, mereka ada menyimpan kisah-kisah yang hanya mereka saja tahu kebenarannya.
Ya, Jirisan membawakan genre suspense. Tapi kata penulisnya Kim Eun-hee, Jirisan juga merupakan sebuah drama yang akan menenangkan penontonnya, lebih lebih lagi dengan sinematografi persekitaran menghijau di tengah gunung.
Korang rasakan K-drama ini mampu menjadi setular K-drama lain tak? Kenalah nantikan ia di platform atas talian, iQiyi bermula 23 Oktober nanti. Tapi sebelum itu, jom tonton teaser Jirisan di bawah.