Kiosk Goreng-Goreng Popular Singapura, ‘Wok Hey’ Kini Ada Di PJ. Tak Sampai RM20 Pun!

Share

 

Dari jauh, ia nampak saja seperti kafe-kafe biasa yang boleh kita temui di pusat membeli-belah. Namun apabila diamati dengan lebih dekat, baru REMAJA sedar inilah kiosk popular dari Singapura yang sehingga kini telahpun mempunyai 34 cawangan berbeza di negara jiran itu dalam masa 5 tahun saja.

Bagi korang yang sudah terbiasa ke Singapura atau mempunyai keluarga di sana, Wok Hey merupakan salah satu kiosk ‘makan-makan’ pilihan komuniti di sana pada zaman sekarang. Ini kerana ia menawarkan servis pantas, memudahkan pelanggan untuk ‘tapau’ pulang dan harganya juga tidaklah terlalu mahal keterlaluan.

Wok Hey juga tentunya menjadi kegemaran masyarakat Singapura selama ini kerana – apa lagi kalau bukan – rasa masakan berkonsepkan Asia yang digoreng di sini. Nampak saja saiz pakej ‘tapau’-nya sedikit kecil berbanding kafe lain. Namun REMAJA boleh janjikan bahawa ia sudah memadai bagi hidangan satu orang.

Setelah lima tahun, Wok Hey akhirnya membuka cawangan pertamanya di Malaysia. Bertempat di aras LG2 Sunway Pyramid, Petaling Jaya; kiosk yang pernah dinobatkan oleh Mediacorp Singapura menerusi kategori ‘Nasi Goreng Terbaik Singapura’ ini menawarkan cara servis yang sama seperti di sana.

Sebaik tiba di Wok Hey, korang perlu memilih di antara empat hidangan ‘goreng-goreng’ terdiri daripada Egg Fried Rice, Shanghai Fried Rice, Fresh Ramen dan Fresh Udon. Setelah itu, bagi setiap hidangan korang perlu memilih lauk serta sayuran yang ingin disertakan.

Antara lauk yang ditawarkan ialah kepingan ayam panggang, daging dan udang yang diperap. Setiap satu akan menentukan harga berbeza tetapi perbezaannya tidaklah terlalu ketara. Sebagai contoh bagi Egg Fried Rice tadi, dengan hidangan lauk ayam panggang; harganya hanyalah RM11.80 saja. Manakala jika korang memilih daging atau udang, masing-masing hanya berharga RM13.80.

Bagi setiap pemilihan sayur pula, korang hanya dicaj RM1.50 setiap satu. Sesuailah bagi yang tidak sukakan sayur; korang boleh ‘skip’ bahagian ini. Bagi penggemar sayur pula, pilihlah beberapa jenis sayur yang digemari seperti Tobiko, Asparagus, Brokoli, Capsicum, Nai Bai, cendawan Shimeji dan beberapa lagi pilihan.

Disebabkan harganya yang tidak sampai RM20 pun bagi setiap hidangan, REMAJA yakin Wok Hey akan menjadi lokasi makanan baharu pilihan rakyat Malaysia selepas ini.

Khassempena pembukaannya sejak semalam, Wok Hey kini menawarkan promosi beli 1 percuma 1 di cawangan Sunway Pyramid ini. Korang hanya perlu membayar 1 pek makanan yang harganya lebih tinggi dan korang layak mendapatkan 1 pek makanan lain secara percuma. Promosi tersebut sah dari sekarang hingga Ahad, 15 Mei 2022 saja. Jadi, jangan lepaskan peluang ini okay!

P.S : Khabarnya juga, cawangan Wok Hey seterusnya akan dibuka di One Utama pula pada bulan Julai nanti.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ