“Kak, ada ke orang nak tolong kita?” aju Syahira kepada kakaknya, Nurdiyana. Sayu menerjah pertanyaannya. Dia tahu, pertanyaan itu adalah harapan dari adiknya yang mahu kelihatan normal selepas sebelah dari matanya dibuang.
Pertanyaan itu, biarpun penuh harapan tetapi tidak mampu dijawap oleh Nurdiyana yang tepat memandang wajah adiknya. Pada wajah adiknya itu kelihatan kapas yang menutupi mata kiri masih belum boleh dibuka dan mungkin akan terus kekal begitu selepas adiknya selamat menjalani pembedahan panjang selama 11 jam di Hospital Sungai Buloh untuk mengeluarkan bebola mata kirinya yang ditumbuhi tumor.
Ruang bebola mata itu kini lompong, kosong. Jika dibuka mungkin akan membuat sebahagian kanak-kanak menangis tetapi hakikatnya, Nursyahira akan terus menangung derita buat masa ini kerana kakaknya kekurangan wang untuk membeli sebiji mata palsu buat dirinya.
Pertanyaan dan harapan adiknya itu bagai duri yang mencengkam diri Nurdiyana. Dia tahu, adik perempuannya itu, bergantung harap kepada dirinya untuk dibelikan sebiji bebola mata palsu buatnya. Tetapi gajinya yang hanya bekerja sebagai pembantu klinik di sebuah hospital tidak memungkinkan dia menabung buat masa ini. Dengan empat anak, dua darinya sudah bersekolah, dua darinya dihantar kepada pengasuh, gaji kecil dan harga barang mahal, adalah satu masalah untuk membuat tabungan buat masa ini.
“Sabarlah adik, nanti kakak usahakan,”hanya kata-kata itu mampu dia tuturkan. Jelas Nurdiyana, adiknya itu memerlukan sekurang-kurangnya RM5000 untuk pembelian mata palsu.
“Buat masa ini, kos berulang alik dari Petaling Jaya ke Hospital Sg Buluh bagi tujuan dressing setiap dua minggu selepas pembedahan memakan kos yang agak tinggi. Saya hanya mampu menyabarkannya. Sejujurnya saya sendiri buntu tetapi saya tidak mahu hatinya tertanya-tanya, bilakah dia mampu ada mata palsu kerana itu memang impiannya untuk tampak sempurna seperti remaja lain,” kata Nurdiyana ketika ditemui di rumahnya di PPR Desa Mentari, Petaling Jaya, Selangor.
Ditanya adakah kesakitan masih dirasai, remaja berusia 20 tahun ini hanya menggeleng kepala. Mungkin segan, mungkin tidak biasa menerima tetamu dalam keadaannya membuat dia menunduk malu.
Jelas kelihatan parut sepanjang kepalanya. Kata Nurdiyana, bebola mata adiknya mulai bengkak pada usianya 11 tahun.
“Semakin lama semakin menonjol ke depan. Adik selalu mengadu kesakitan. Ketika itu adik tinggal dengan emak di Kuala Krai. Tiada kenderaan menyukarkan mak dan adik untuk menjalani pemeriksaan doktor. Untuk menutup malunya kerana mata terbonjol keluar, adik selalu guna cermin mata hitam.
“Lama kelamaan, bengkak matanya semakin menonjol sehinggalah doktor mengesahkan ianya tumor. Sekian lama bertangguh kerana kekurangan kewangan, adik selamat menjalani pembedahan pada 2 Mac lalu di Hospital Sungai Buloh,”katanya sambil menunjukkan gambar adiknya yang selamat menjalani rawatan membuang bebola mata kirinya.
Bersyukur dengan pembedahan itu, kata Nurdiyana dia kini runsing memikirkan kos untuk membeli mata palsu buat adiknya.
“Sebagai remaja perempuan, adik ada pelbagai impian. Sekurang-kurangnya kalau saya dapat belikan adik sebiji mata palsu ini, tidaklah dia berasa malu dengan keadaan dirinya. Tapi masalah kewangan yang terhad membuatkan adik perlu bersabar,” katanya yang berkata, dia tidak malu meminta pertolongan dari masyarakat bagi membantunya menunaikan impian adiknya yang mahukan sebiji mata palsu.
“Itu impiannya sebelum mencapai Ramadan ini. Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM5000 untuk membeli mata palsu buat adik. Kalau ada orang dapat membantu dari segi kewangan, rasa syukur saya tadahkan,”katanya yang benar-benar berharap agar impian adiknya itu dapat ditunai. Sebagai kakak, dia berasa amat bertanggungjawab kerana mahu melihat adiknya tersenyum kembali.
Di sebalik kekurangan dialami Nursyahira, dia adalah pemegang kad orang kelainan upaya kerana penyakit dihidapinya itu.
Kata remaja ini, dia teringin untuk keluar bekerja, punya duit sendiri tetapi kekurangan ini mengekang keadaan dirinya dan memaksa dia terus tinggal di rumah.
“Saya berharap dapat mata palsu ini untuk saya bekerja dan tidak bergantung kepada keluarga sahaja,’ katanya menunduk malu.
Bagi anda yang prihatin membantu remaja ini membeli bebola mata palsunya, bolehlah menghulurkan bantuan ke akaun Maybank milik kakaknya Nurdiyana Bt Junuh di akaun 16471700 9609.
Semoga usaha kita yang sedikit ini diberi ganjaran oleh Allah baik di dunia mahu pun di akhirat kelak.