Sekuat mana perancangan manusia, Allah lebih mengetahui segala-galanya. Niat seorang ibu untuk meraikan hari lahir anak sulungnya, Aryan Rizqy sempena ulang tahun kelahiran ke 6 di Jempol, Negeri Sembilan ternyata hanya tinggal kenangan apabila meninggal dalam kemalangan jalan raya.
Dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa pasangan suami isteri, Muhammad Noor Idham Ramli, 31 dan isterinya, Surawati Mohd pagi tadi di Kilometer 134 Jalan Kuantan/Seremban dekat Muadzam Shah, Rompin mengundang simpati ramai apabila tiga anak kecilnya menjadi yatim piatu serta merta.
Menurut ahli keluarga Surawati yang dihubungi REMAJA, Shahira, 24 memaklumkan, arwah kakaknya sudah merancang pelbagai perkara termasuk merancang mempercepatkan tarikh sambutan kelahiran dirinya dan anak sulungnya.”
“Anak sulungnya, Aryan lahir pada 5 Oktober sementara kakak pula 30 Oktober.Tapi kakak beriya mahu mempercepatkan tarikh sambutannya, seolah-olah tahu dirinya tak sempat berbuat selepas ini.
“Begitu juga kepulangannya ke kampung suami di Jempol Negeri Sembilan. Sepatutnya kakak balik esok, hari Jumaat. Malah sebelum balik ke kampung, biasanya kakak akan telefon emak dan mengajak ikut sekali. Tapi kali ini kakak langsung tak cakap nak gerak dan tak ajak mak pun.
“Tahu-tahu sudah berlaku kemalangan di mana seorang sepupu yang memaklumkan tentang kejadian yang terjadi kerana pihak hospital tidak dapat menelefon ahli keluarga. Kami sendiri dapat tahu tentang kemalangan ini pada jam 7.30 pagi tadi selepas dimaklumkan oleh sepupu tersebut,”kata Shahira lagi memaklumkan kemalangan terjadi sekitar jam 4 pagi menggunakan kereta sewa.
Bagaikan tahu hayat tidak lama, jelas Shahira, kakaknya bersikap pelik dengan membuat aktiviti mendaki bukit-bukit di sekitar Terengganu pada setiap hari.
“Tak kira, hujan atau panas, hari-hari kakak akan pergi daki bukit bersama anak-anaknya. Bukit Marang, Bukit Jong, Bukit Besar termasuklah kakak rancang nak daki Bukit Bauk, Dungun dalam masa terdekat,”katanya memaklumkan mereka baru saja mendaki Bukit Besar, Kuala Terengganu pada Sabtu lepas bersama-sama.
“BIla kami tanya kenapa daki hari-hari katanya bukan lama pun, kejap. Masa yang sama, dia rancang nak daki Bukit Singa di Pulau Kapas. Siap rancang macam-macam termasuk ajak semua ahli keluarga pergi. Katanya boleh bawa mak sekali,”katanya memaklumkan arwah kakaknya mempunyai kembar seiras iaitu Suraini.
Malaikat jaga anak-anak arwah
Kemalangan yang meragut nyawa sekaligus menjadikan tiga beradik iaitu Aryan Rizqy, 6, Areef Radzin, 4 tahun dan Arffan Radizn, setahun enam bulan yatim piatu serta merta.
Sekali pun kemalangan ini meragut nyawa kedua ibu bapanya namun hanya kecederaan kecil dialami oleh anak-anak pasangan ini. Bagaikan nyawa mereka dijaga oleh malaikat kerana Aryan hanya alami kecederaan kecil di telinga dan seorang lagi calar di kaki dan sudah dibenarkan keluar selepas mendapat rawatan pesakit luar Hospital Muadzam.
Dalam pada itu, Shahira memaklumkan buat masa ini semua urusan anak-anak arwah akan dijaga oleh ibunya kerana anak-anak arwah amat rapat dengan keluarga sebelahnya.
“Buat masa ini kami yang akan menjaganya kerana kebanyakan ahli keluarga ada di Terengganu,”katanya memaklumkan jenazah kakaknya yang juga suri rumah ini akan dikebumikan di Marang, Terengganu sementara suaminya yang bekerja di Hotel Permai pula akan dikebumikan di kampung halamannya di Jempol kerana permintaan keluarga kedua belah pihak.
Al-Fatihah (dengan bacaan ) buat keduanya, semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.