Setelah perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa negeri baru-baru ini, sudah tentu rakyat mengeluh dengan norma baharu yang perlu mereka patuhi ini.
Ada di antara peraturan tersebut telah menghalang mereka daripada melakukan rutin harian seperti bersenam di pusat kecergasan atau gym. Ini berikutan perintah penutupan pusat gimnasium dan kemudahan bersukan secara serta-merta.
BAGAIMANAPUN, ada berita baik untuk korang yang ingin mengeluarkan peluh.
Masjid Mukim Sri Aman, Pasir Putih di Kelantan kini menjadi masjid pertama yang menyediakan kemudahan tempat kecergasan atau gimnasium.
Gimnasium itu rasmi dibuka semalam dan tujuannya adalah untuk mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan warga setempat dan para jemaah masjid.
Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan, ketua takmir Masjid Mukim Sri Aman, Ab Razak Mat Saad berkata kemudahan gimnasium itu dapat dimanfaatkan sekitar 1,000 jemaah yang hadir ke sana.
Selain itu, masjid ini turut menggunakan jurulatih khas bagi tujuan mengajar cara-cara menggunakan peralatan di sana.
Ab Razak berkata, kos untuk menyediakan gimnasium itu mencecah RM17,000 dan ia menggunakan duitnya sendiri sebagai permulaan.
Pengurusan masjid berharap ruang gimnasium ini dapat menarik lebih banyak anak muda untuk hadir ke masjid.
Bersukan demi kesihatan, tetapi jangan sesekali mengabaikan SOP yang ditetapkan okay. Harapnya dengan inisiatif ini lebih ramai anak muda dan remaja mengimarahkan masjid.
Sumber : Sinar Harian
Raja Bomoh Kembali Dengan Ritual Tolak Banjir! Setelah Dilabel Khurafat, Ancam Saman RM300 Juta Pula
Negara sudah dilanda musibah banjir pun, macam-macam perangai pelik masih dilakukan masyarakat.
Berikutan musibah banjir besar yang melanda seluruh negara baru-baru ini akibat hujan lebat berterusan, pelbagai inisiatif bagi membantu serta meredakan keadaan bencana telah dilakukan oleh masyarakat demi membantu mangsa.
Slogan #RakyatJagaRakyat turut lantang dilaungkan selama beberapa minggu ini sebagai pendorong semangat kepada orang ramai untuk terus menghulurkan bantuan.
Tapi bantuan yang satu ini memang pelik dan tidak masuk akal dari sudut agama. Siapa lagi kalau tidak lain tidak bukan individu yang menggelar dirinya sebagai Raja Bomoh iaitu Ibrahim Mat Zain.
Menerusi satu video berdurasi 25 minit 9 saat, ia menunjukkan Ibrahim dan seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Puteri Zaleha’ sedang duduk bersila di sebuah dataran dekat Teluk Intan, Perak. Mereka tampil dalam persalinan rasmi masing-masing – Ibrahim memakai kot hitam dan selempang merah manakala Puteri Zaleha dalam persalinan ungu cair siap dengan tiara.
Beberapa upacara yang dipercayai bercanggah daripada ajaran Islam telah dilakukan untuk menolak musibah banjir.
Ini termasuklah ritual tepung tawar menggunakan bahan seperti beras, kunyit, bunga-bungaan dan dedaun yang kemudian dihanyutkan ke dalam air. Di hadapan mereka berdua pula adalah kitab suci Al-Quran. Puteri Zaleha juga berkata dia dapat meramalkan Teluk Intan akan dilanda banjir tidak lama lagi.
Susulan video tular tersebut, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) telah membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 kerana cuba mencela dan menghina agama Islam.
‘Raja Bomoh’ Saman Semula!
Bagaimanapun, Ibrahim yang sebelum ini sudah sinonim menerima kecaman warganet atas upacara pelik yang dilakakannya tampil bersedia dengan reaksi balas setelah laporan kertas siasatan itu diketahui umum.
Menerusi rakaman video yang disiarkan di Facebook Datok Ibrahim Md Zin sebentar tadi, Ibrahim berkata dia telahpun berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan saman berjumlah RM300 juta terhadap JAIPk kerana mendakwanya syirik dan khurafat.
“Tujuan saya buat itu supaya banjir jangan naik besar di Teluk Intan. Saya buat supaya banjir jangan melanda Sungai Manik, Labu Kubong, Kampung Gajah, Parit dan Bagan Datuk.
“(Saya) berdoa dan menggunakan daun serta kayu dilepaskan (ke sungai). Tujuan saya untuk selamatkan tapak perkuburan. Jangan hilang makan diraja. Orang tua saya dan keturunan saya banyak dikebumikan di Teluk Intan.
“Bukan tujuan saya untuk berbangga atau (mencari) publisiti,” jelasnya.
Sementara itu, negeri Perak dilaporkan telah menetapkan fatwa untuk mengharamkan segala ajaran serta perbuatan yang bercanggah dengan agama Islam oleh Ibrahim.
Untuk pengetahuan korang, Ibrahim pernah melakukan ritual pada tahun 2017 ‘melindungi’ Malaysia daripada serangan nuklear Korea Utara setelah kes pembunuhan Kim Jong-nam.
Sebelum itu pada tahun 2014, beliau pernah mencuri tumpuan dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dengan ritual menggunakan ‘sampan’, teropong buluh dan buah kelapa demi mencari pesawat Malaysia Airline MH370 yang hilang tanpa dikesan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
[Recap 2018] “Saya Tadah Otak Anak, Ibu Mangsa Tragedi Baling Kerusi Di PPR Kongsi Detik Akhir
Isi Kandungan
Toggle2018 meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa pahit manis yang banyak menjadi teladan buat semua rakyat Malaysia.
Tak kurang juga dengan berita sedih yang kita terima sepanjang tahun ini.
Kisah mendiang adik Satiswaran menjadi satu tamparan buat masyarakat kerana kematiannya berpunca daripada sikap tidak bertanggung jawab masyarakat sekeliling.
Berikut merupakan coretan kisah ini yang berlaku sekitar Januari lalu.
Tiada apa lagi yang cukup menyedihkan bila mana seorang ibu melihat anak meninggal di depan mata sendiri.
Dengan cara kematian yang agak tragis, terpaksa menadah otak anak dengan kedua belah tangan sebelum anaknya rebah dipangkuannya, pengalaman inilah yang dilalui oleh Kasthuribai A/P M. Sattayappan, 45 tahun apabila anaknya mati di depan mata selepas terkena balingan sebuah kerusi pejabat dipercayai dari tingkat 21 Flat PPR Seri Pantai (Blok 102), Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur dalam kejadian semalam.
Menceritakan kejadian lebih lanjut kejadian malam semalam yang membawa kepada kematian anak bongsunya, kata Kasthuribai, dia bersama mendiang anak bongsunya, Satiswaran turut ke bawah flat PPR itu kerana anaknya mahu membeli kad tambah nilai untuk membuat kerja sekolahnya.
Namun kad tambah yang dihajati tidak ada. Mendiang Satiswaran kemudian mendekati ibunya secara berhadapan di hadapan lif dan tanpa diduga, sebuah kerusi tiba-tiba melayang dari bawah dan tepat mengenai kepala mangsa sehingga terbelah.
“Ketika itulah otaknya terburai. Saya tadah dengan kedua belah tangan. Anak memandang muka saya tepat tapi kosong. Dia kemudian rebah di depan mata saya lalu saya menjerit meminta tolong,’ katanya ketika ditemui di rumahnya dalam satu ziarah oleh YB Nurul Izzah selaku Ahli Parlimen Lembah Pantai yang menzahirkan rasa simpati.
Mengakui begitu sedih dan masih lagi trauma, berkali-kali dia bertanya soalan kepada barisan wartawan yang berada di sekelilingnya.
Tanya Kasthuribai, hari ini nyawa anaknya sudah pergi. Pergi kerana kerakusan dan sikap bodoh orang lain yang mengambil mudah membaling kerusi yang sudah rosak tanpa mahu menghantarnya ke ruang sampah di bawah.
“Ini bukan soal nyawa orang India. Bukan juga soal bangsa Melayu atau Cina tetapi kejadian ini melibatkan satu nyawa remaja yang langsung tidak berdosa kerana kecuaian orang lain.
“Hari ini anak saya kena. Kalau esok lusa, anak orang lain atau sapa-sapa kena, kenapa tiada tindakan dalam hal ini. Ini bukan kejadian pertama. Sudah banyak kes baling barang berlaku. Ada mangsa kena 16 jahitan, ada kena 6 jahitan. Kita semua ada hati. Hari ini anak saya sudah mati. Nyawanya tak mungkin boleh datang semula. Tapi apa kita boleh buat? Apa peranan kita semua,” soalnya bertalu-talu.
Mengakui masih lagi trauma dan kesedihan kerana kehilangan anak bongsu dari dua beradik itu, kata Kasthuribai, mendiang anak bongsunya itu memang baik.
“Dua hari sebelum ini, selepas balik dari sekolah, dia tolong bersihkan ruang tamu rumah yang sudah digenangi air akibat tempias hujan dari tingkap yang sudah reput. Air penuh sampai ke ruang tamu. Tanpa sempat makan dan salin pakaian, dia bersihkan rumah dahulu. Mop satu rumah. Tengoklah, bila hujan, air masuk ke dalam rumah,”katanya sambil menunjukkan kerosokan tingkap yang sudah mulai mereput akibat tempias hujan.
Bukan saja terkenal sebagai budak baik malah mendiang anaknya itu akan mencuci ruang koridor rumah mereka jika terdapat najis haiwan selain sisa kencing orang dewasa yang sengaja membuang air kecil di tangga berkenaan.
“Anak saya yang baik sudah tiada. Siapa mahu menggantikan nyawanya yang sudah tiada akibat kecuaian orang lain. Anak saya menjadi mangsa sikap orang lain,” katanya dalam nada tangis bertalu.
Mungkin masih trauma dan kesedihan berpanjangan, semasa kunjungan ini Kasthuribai yang bekerja sebagai tukang masak di Chile Bangsar tiba-tiba rebah sehingga mengakibatkan keadaan menjadi panik.
Dia yang dipercayai mempunyai sakit jantung rebah sebelum dipapah oleh YB Nurul Izzah yang berada di ruang berdekatan.
Buat masa ini mendiang Satiswaran masih lagi di tempatkan Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mangsa untuk upacara pengkebumian.
Malah pelaku yang mencampakkan kerusi dipercayai dari tingkat 21 masih belum ditangkap oleh pihak berkuasa kerana pihak forensik mahu mencari dna di kerusi sebelum menahan pelakunya.
Remaja turut difahamkan oleh nenek mendiang yang tinggal di tingkat 21, dia tahu dan kenal kerusi yang dibaling tepat mengenai kepala cucunya itu adalah milik jirannya yang diletakkan di ruang siar.
“Tapi saya tak tahu dia sudah kena tangkap atau tidak. Tapi kerusi itu memang ada sebelah rumah saya sebelum ini,” katanya mendakwa, pelakunya adalah golongan dewasa dan bukan kanak-kanak kerana kerusi berkenaan agak berat.
Saya akan bawa isu ini ke Parlimen dan meminta jaring keselamatan dipasang di bawah lif
Berasa simpati dengan kejadian yang menimpa mendiang Satiswaran, YB Nurul Izzah memaklumkan, dia akan membawa isu tentang soal keselamatan flat-flat di bawah selenggaran DBKL ini ke Parlimen pada sidang parlimen Mac akan datang.
“Bagi saya, soal keselamatan adalah penting bagi semua orang. Ini mungkin kes melibatkan kematian pertama, namun kita mahu budaya membuang sampah ini yang boleh membahayakan nyawa orang lain dipandang serius oleh semua pihak kerana kita tahu mahu isu ini berulang. Kita berasa simpati dan saya akan mendapatkan semua maklumat lengkap mengenai isu ini bersama pihak berkuasa,” katanya menegaskan, untuk langkah awal dan pertama, adalah lebih baik jaring keselamatan dipasang di bawah flat demi menjamin kesejahteraan semua penduduk.
Baling barang perangai biasa penduduk Flat PPR ini
Remaja turut mendapatkan pandangan dari Ketua Blok 100 Flat PPR Seri Pantai, Azaman bin Agam mengenai sikap buang sampah dari atas blok tanpa turun ke tempat pembuangan sampah.
“Soal buang barang dah jadi perkara biasa bagi mereka yang suka mengambil kesempatan ini. ada yang baling tayar, rim motor, batu bata, kaca, gelas dan banyak lagi. Kejadian orang pecah kepala akibat terkena barangan dibaling sudah banyak kali berlaku. Ada menerima 16 jahitan dan lain-lain lagi.
“Biasa selaku ketua blok, saya akan berkomunikasi dengan ketua tingkat. Jika kita temui sampah diletakkan di siar kaki, kita akan buka dan tengok jika ada dokumen yang boleh kita serah kepada pejabat di DBKL di ruang bawah.
“Sudah beberapa kali saya lihat penguatkuasa DBKL pergi ke rumah mereka yang suka membaling sampah ini. Biasanya mereka akan diberi amaran dahulu sehingga beberapa kali. Kemudian lisan dan jika berterusan diusir dari rumah sewaan mereka,”katanya ketika ditemui dan memaklumkan terdapat 984 buah rumah bagi kedua-dua blok.
Menyifatkan tidak timbul isu sukar membuang sampah ke ruang buang sampah, Azanan berkata, sikap mementingkan diri sendiri adalah mengapa isu ini tidak pernah selesai sejak dulu lagi.
Saksikan video ini bagaimana ibu mangsa tidak dapat menahan tangisannya…
*****
Sememangnya perkara seperti ini tidak akan berlaku jika masyarakat kita tidak bersikap pentingkan diri sendiri. Kecuaian orang lain menjadi satu kemalangan buat insan yang tidak berdosa.
Akibat Berebut Tempat Duduk, Remaja Maut Tertusuk Pisau Oleh Kakaknya Sendiri
Allahu, kejadian yang sungguh menyayat hati… Kejadian ini pada awalnya berpunca dari perselisihan faham antara dua beradik yang berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah.
Tular kejadian seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut; dipercayai tertusuk pisau yang dilempar oleh kakaknya sendiri di Kampung Ulu Pulai, Ulu Choh semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihak polis telah menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.15 petang semalam. Suspek juga mengaku telah membaling pisau ke arah mangsa selepas diejek ketika masuk ke dalam rumah.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan antara mangsa yang berusia 16 tahun dan kakaknya berusia 18 tahun.
“Ibu mangsa mengatakan pada awalnya mangsa yang merupakan adik lelaki yang berusia 16 tahun telah bergaduh dengan kakaknya yang berusia 18 tahun kerana berebut tempat duduk di dalam kereta semasa balik rumah.
Menurut Rahmat, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.30 petang dan bedah siasat akan dilakukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru hari ini.
Suspek ditahan reman enam hari
Menerusi perkongsian dari satu portal berita, suspek berusia 18 tahun itu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru; kira-kira pukul 9.30 pagi tadi dengan berpakaian baju lokap berwarna jingga (gambar di atas).
Suspek akan ditahan reman sehingga Selasa depan bagi membantu siasatan dijalankan. Perintah reman itu dibenarkan Majistret, Nurmadiana Mamat selepas meluluskan permohonan dikemukakan pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri.
Sama-sama kita nantikan keputusan perbicaraannya itu. Untuk pengetahuan pembaca Remaja, kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.