Shein telah dinamakan sebagai jenama fesyen paling popular di seluruh dunia sepanjang 2022.
jenama kelahiran Nanjing, China yang diperkenalkan sejak tahun 2008 ini berjaya mengenepikan nama-nama besar dunia fesyen seperti Zara, Nike dan adidas menerusi carian Google di 113 buah negara.
Antara faktor utama yang membantu Shein mencapai kejayaan tersebut tentulah terletak pada tanda harga barangan yang dijualnya.
Shein pantas mencedok idea serta trend terkini yang diperkenalkan oleh rumah fesyen serta selebriti antarabangsa lalu menawarkan gaya sama kepada pembeli tegarnya pada harga yang jauh lebih murah.
Pada zaman di mana masyarakat dunia sedang berjaga-jaga dengan krisis ekonomi dunia yang dijangka melanda pada tahun hadapan, tidak hairanlah ramai memilih untuk membeli-belah di platform dalam talian yang lebih menjimatkan seperti Shein.
Bagaimanapun, kejayaan Shein ini tetap dikaburi kontroversi penghasilan produk dalam jumlah yang tidak masuk akal di kilangnya yang terletak di China.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Need Your Help…’, Selit Mesej Minta Bantuan, Jenama Pakaian Popular SHEIN Nafi Dera Pekerja – REMAJA
Shein memperkukuhkan kedudukan sebagai peneraju ‘fast fashion’ apabila ia dilaporkan menghasilkan 700 ke 1000 helai pakaian pada setiap hari dan jumlah tersebut belum mengambil kira pesanan lain yang diterimanya.
Ia sekaligus menimbulkan persoalan mengenai penetapan masa bekerja di kilang Shein.
Selepas Shein didakwa ‘mendera’ pekerjanya dengan membiarkan mereka bekerja tanpa henti menerusi dokumentari yang dihasilkan oleh sepasukan produksi Britain baru-baru ini, jenama dalam talian itu melancarkan siasatan dan mendapati dua tapak kilang di China miliknya benar-benar memerah kakitangan melebihi tempoh bekerja yang ditetapkan.
Susulan laporan tersebut, Shein mengakui kesalahan membenarkan kakitangannya bekerja selama 75 jam seminggu dan hanya diberikan cuti dua ke tiga hari dalam masa sebulan.
*
Biarpun nama baik Shein tercalar akibat kontroversi ini, hakikatnya jumlah jualan tidak boleh berbohong. Masyarakat dunia tetap mencari pakaian baharu di platform Shein.
Sebagai contoh, Shein telah berjaya mengutip keuntungan sebanyak USD10 bilion pada tahun 2020 sahaja berbanding gedung dalam talian popular di United Kingdom, Asos yang sekadar mencatatkan USD2.4 bilion dalam tempoh sama.
REMAJA meramalkan jumlah keuntungan Shein ini tidak akan berkurangan memasuki tahun 2023. Tepuk dada, tanya selera (dan baki akaun bank masing-masing).
ARTIKEL BERKAITAN: Paling Layak! Bella Hadid Dinobatkan ‘Model of the Year’, Lihat 8 Momen Fesyen Melibatkannya Tahun Ini – REMAJA
BACA LAGI: Kostum Gunung Kinabalu Simbolik Miss Universe Malaysia Sebagai Wanita Pada Posisi Tertinggi – REMAJA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.