“Kalau Kena Menari, Saya Menarilah..” Ustaz Ini Kongsi Susahnya Ajar Ngaji Anak-Anak Autisme

Share

Kita sering melihat betapa tabah dan bersabarnya aktres Zarina Zainudin dalam menjaga dan mendidik anak kembarnya, Muhammad Razil Azrai dan Muhammad Razil Azrai yang mengidap autisme. Kisah kembar itu selalu Zarina kongsikan di media sosial miliknya.

Di sebalik itu, tentu ramai yang nak tahu betapa susahnya mendidik anak-anak mengidap autisme ini. Tapi sebelum itu, korang patut faham betul-betul apa yang disebut dengan autisme ya.

Autisme merupakan kecacatan perkembangan tegal (Bahasa Inggeris: pervasive developmental disorder) yang melibatkan fungsi otak.

Autisme dianggap sebagai sejenis kecacatan neurologi dan bukan kecacatan psikiatris (Bahasa Inggeris: psychiatric disorder) mudah, walaupun ciri-ciri biasa termasuk masalah dengan perhubungan sosial, dan komunikasi emosi, dan juga pola biasa berkaitan dengan minat, aktiviti dan perangai.

Autisme juga melibatkan masalah dengan integrasi deria. Biasanya, autisme kelihatan pada usia awal tiga tahun. Dianggarkan bahawa autisme membabitkan dalam 2 hingga 6 kes setiap 1,000 orang, dan autisme 4 kali lebih kerap dalam kanak-kanak lelaki berbanding perempuan (dari “Autism Society of America”: http://www.autism-society.org/site/PageServer ). Autisme lebih kerap di kalangan lelaki berkulit putih.

Pada masa kini, autisme boleh dirawat tetapi tidak dapat dipulihkan. (Walaupun terdapat organisasi bergelar Sembuhkan Autisme Sekarang “Cure Autism Now”). Diagnosis dan latihan awal amat penting bagi perkembangan masa hadapan kanak-kanak. Sumber Wikipedia.

Disebabkan kecacatan perkembangan tegal yang melibatkan fungsi otak, proses mendidik anak-anak disahkan mengidap autisme ini tentunya agak sukar.

REMAJA kongsikan pengalaman Ustaz Norman Ibrahim, 40 tahun yang mengajar mengaji kepada anak-anak autisme ini secara persendirian sekitar kawasan Kajang dan Cheras.

 

Ustaz Norman mengajar ngaji anak-anak autisme

 

 

Kongsi Ustaz Norman, dalam tempoh 4 tahun ini dia mengajar ngaji kepada 42 orang pelajarnya (termasuk golongan dewasa berusia 62 tahun). Separuh darinya adalah kanak-kanak autisme, speech delay dan lain lagi.

Katanya lagi, kesabaran adalah perkara utama selain mesti sayangkan budak-budak. Kalau ada dua perkara ini, barulah boleh mengajar kanak-kanak ini.

“Selain itu, untuk mengajar anak autisme ini kesabaran perlu ada. Perlu kenal diri mereka, barulah dapat rapat dengan mereka. Kita perlu meniru cara mereka. Kalau perlu menari, menarilah. Ada masa menangis, saya pun perlu menangis biar saya menangis tipu-tipu. Semua ini untuk dekat dengan mereka dan agar anak-anak faham bahawa kita sama dengan mereka,” katanya sambil menambah ada masa dia gunakan bahasa isyarat ketika mengajar kerana bukan semua anak autisme ini mampu bertutur dengan baik,”katanya yang berkongsi bagaimana seorang ibu yang anaknya menghadapi masalah “speech delay” merayu agar dia mengajar anaknya mengaji.

“Biasa dalam situasi ini, saya akan gunakan pendekatan berbeza. Jadi saya gunakan keadah bahasa isyarat selain mengulang-ulang ayat agar ayat-ayat Allah ini melekat di hati mereka. Kalau orang normal boleh hafal Aliff sampai Ya dalam tempoh singkat,biasanya anak-anak autisme ini kena belajar lebih dari sebulan,” kata suami kepada Nuraimi Mizan dan bapa kepada empat anak ini memaklumkan pelajarnya terdiri  mereka yang berusia antara 5-13 tahun.

 

Bukan senang kerana anak-anak autismes ini ada pelbagai karenah mengikut acuan mereka.

 

Adakalanya bahasa isyarat perlu digunakan ketika mengajar

 

Perlu kenal dengan rapat barulah dapat mengikut rentak anak-anak istimewa ini

 

Jelas Ustaz Norman dia mengggunakan kaedah menggunakan muqaddam dan bukannya iqra kerana selesa dengan apa dipelajarinya ketika kecil.

“Setakat ini ada yang mampu ke iqra 3,4 dan lima. Belum ada lagi Quran tapi anak-anak ini sudah mampu membaca dan paling penting tahu solat,”katanya berkongsi.

Kata Ustaz Norman, dia mula mengajar anak-anak istimewa ini selepas melihat seorang saudaranya mempunyai anak begini dan dari situ timbul untuk berkongsi ilmu yang Allah berikan kepadanya. Yuran pengajian yang mahal dikenakan sehingga cecah ratusan ringgit membuatkan dia nekad mengajar dari rumah ke rumah.

“Berapa yang keluarga mampu, itulah rezeki saya. Tak ada penetapan harga pun. Buat masa ini saya di sekitar Cheras, Kajang dan Mahkota. Paling penting adalah sabar dan terus istiqomah. Anak-anak ini begitu isimewa. Ada keluarga yang menangis bila lihat anak mampu mengaji,” katanya.

Ustaz Norman turut mempelawa mana-mana Ustaz atau Ustazah yang mahu bersama-sama mengajar anak-anak istimewa ini kerana mahu melihat lebih banyak mereka mendapat ilmu dan dia sudi berkongsi ilmu yang ada padanya kepada mereka yang berminat mengajar anak-anak autisme ini.

Bagi sesiapa yang mahu, boleh hubungi dirinya di talian 016-9777037.

 

Published by
Almaswa Haji Che Ros