Berita

“Kalau KK Mart Kita Boleh Boikot, Apa Lagi Produk Dia” -Dr. Akmal Saleh Seru Orang Ramai Boikot Produk Aliff Syukri

Share

Selepas KK Mart, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kini mengajak orang ramai untuk memboikot produk keluaran syarikat pempengaruh kontroversi, iaitu Aliff Syukri.

Ia susulan tindakan usahawan kosmetik berkenaan yang mengeluarkan video pendek lagu raya yang dilihat keterlaluan, terutama pada penghujung bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Air Mata Gugur Ketika Sesi ‘Live’, Harris Annuar Dedah Punca Menangis

“Kalau KK Mart kita boleh boikot, apa lagi produk dia. Setiap tahun ulang perkara yang sama, langsung tak ada perasaan sensitiviti pada rakyat di negara ini. Saya mohon pihak kerajaan untuk menyekat video ini dan tindakan undang-undang perlu diambil.

“Saya rasa sudah tiba masanya rakyat mengajar erti sebuah penyesalan pada Aliff dengan kita boikot semua produk yang dijualnya,” katanya dalam hantaran di entri Facebook.

Pada masa sama, beliau turut membangkitkan isu serupa yang ditimbulkan Aliff pada 2022, yang menyebabkan dia dipanggil Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berhubung video muzik lagu bertajuk Kelepok Raya.

“Cukup-cukuplah dengan drama minta maaf dan air mata yang diulang setiap tahun. Kamu nak lihat kemarahan rakyat Malaysia kan? Sila tunggu produk kamu akan diboikot.

“Ini bukan kandungan luar kotak, ini adalah kandungan tiada otak,” coretnya lagi.

Sekadar info, Aliff sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila melancarkan klip video lagu raya dengan diiringi tarian sekumpulan penari lelaki, yang mengundang pelbagai reaksi negatif orang ramai.

Bahkan, ibunya yang juga usahawan, Rozita Ibrahim juga turut bersuara mengkritik tindakannya.

Susulan itu, Aliff tampil memohon maaf secara terbuka dan memadam klip video berkenaan di media sosialnya.

Dia juga menjelaskan video tersebut bukan lagu sempena Aidilfitri tahun ini, tetapi hanya gurauan sempena April Fool semalam.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: Facebook Dr Akmal Saleh


Published by
Fath