Pegawai perubatan dan pempengaruh, Dr. Alep Zaki tampil mengulas isu mengenai ada segelintir pempengaruh media sosial yang menganggap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sekolah tiada nilai lagi.
Menurut Dr. Alep Zaki yang juga dikenali Alpha Zaki, institusi persekolahan adalah amat penting bagi mereka yang ingin menggapai cita-cita selain meneruskan kehidupan yang lebih baik.
“Kita kena lihat siapa yang berkata itu, yang berkata itu pula datangnya daripada latar belakang keluarga kaya.
“Jadi, jika dia tidak ke sekolah sekali pun, ‘tidak mengapalah bapa aku boleh beri sesuatu dan sediakan apa-apa untuk aku.
“Tetapi, kita ambil orang marhaen seperti kita ini, tidak ke sekolah, kita nak makan apa? Nak kerja apa kan? Jadi bagi saya, yang mana rasa sekolah itu tidak penting, sedar diri dululah,” katanya kepada Remaja.
Sehubungan itu, dia menegaskan kepada remaja di luar sana agar hadir ke sekolah untuk berjaya dan mendapat peluang pekerjaan yang lebih cerah.
“Misal kata harta ibu bapa kita tujuh keturunan pun tidak akan habis, kemudian teruskan kalau tidak mahu ke sekolah pun.
“Tetapi, kalau kita makan pagi sahaja dan menunggu gaji di hujung bulan, pergi sahaja sekolah adik. Belajar sungguh-sungguh. Nak berjaya pun kena ada ilmu,” ujarnya lagi.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.