Berita

Kaleidoscope 2.0: Konsert Epik Gabungan Bakat Muda UiTM & Penyanyi Tanah Air Pada Januari 2025 Ini!

Share

Konsert Kaleidoscope kembali untuk penganjuran kali kedua, menjanjikan hiburan berkualiti dengan barisan artis terkenal dari industri hiburan tanah air.

Diketuai oleh Naib Juara Big Stage 2022, Danial Chuer, konsert ini akan menampilkan dirinya bersama pelajar tahun akhir dalam bidang Komposisi Muzik di Konservatori Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Konsert Kaleidoscope 2.0 bakal berlangsung pada 10 dan 11 Januari 2025, bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam, bermula jam 8.45 malam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi Pembatalan Konsert, Aisha Retno Akui Lebih Sakit Dari Putus Cinta

Menyusuli kejayaan penganjuran Kaleidoscope yang pertama pada awal tahun 2024, Kaleidoscope 2.0 akan mengetengahkan 11 hasil komposisi baharu serta 9 gubahan semula oleh pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda Muzik (Komposisi) UiTM.

Konsert ini juga akan diserikan dengan penampilan artis terkenal seperti Aisha Retno, Elica Paujin, Daniesh Suffian, Sabrina Azman, Luqman Faiz, dan juga pengarah konsert itu sendiri, Danial Chuer.

Selain itu, konsert ini juga melibatkan kerjasama dua organisasi pelajar UiTM iaitu Persatuan Muzik Komposisi dan Persatuan Perniagaan Muzik. Para pelajar dari pelbagai program di UiTM seperti Ijazah Sarjana Muda Seni Muzik Persembahan, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Muzik, Diploma Muzik serta Diploma Produksi Audio Digital turut mengambil bahagian dalam menjayakan konsert ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Batal Konsert: Aisha Retno Harap Dapat Selesai Secara Baik & Tertutup Dengan Penganjur, Mahu Fokus Karier Nyanyian

“Kaleidoscope merupakan satu platform untuk semua pelajar mempelajari, mendalami serta mempamerkan kebolehan dalam bidang komposisi muzik di samping mengembangkan bakat dalam persembahan.

“Proses pembelajaran ini bukan sahaja terhad kepada aspek permainan muzik tetapi juga merangkumi pengurusan serta pengendalian acara. Sebagai seorang yang aktif dalam industri, saya berasa bertanggungjawab untuk memberikan peluang serta pendedahan kepada seluruh pelajar tentang hal-hal berkaitan industri muzik.

Konsert ini adalah persediaan awal buat pelajar UiTM supaya mereka mampu bersaing serta memenuhi permintaan industri terutamanya dari sektor pekerjaan apabila melangkah ke dunia industri sebenar. Walaupun sumbangan ini kelihatan kecil, saya yakin ilmu dan pengalaman ini dapat membantu pelajar mengaplikasikan apa yang telah mereka pelajari sepanjang berada di UiTM,” kata Danial.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan hasil karya dan gubahan pelajar-pelajar berbakat ini yang bakal mencorakkan masa depan industri muzik tanah air.

Tiket untuk Kaleidoscope 2.0 boleh didapati melalui laman sesawang https://kaleidoscope2.ubertickets.asia.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath