Kali Kedua Berlaku Tahun 2021, Tentukan Arah Kiblat Di Rumah Secara Tepat Esok Petang

Share

Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan yang cukup istimewa di sisi Allah SWT.

Setibanya Zulhijjah, umat Islam disyorkan untuk memperbanyakkan amalan yang boleh menambah pahala dan bekalan akhirat kelak.

Esok bersempena 5 Zulhijjah 1442 (15 Julai 2021), umat Islam berpeluang menyemak arah kiblat yang tepat apabila matahari akan berada tepat di atas Kaabah pada jam 5.27 petang.

Penentuan arah kiblat melalui fenomena Istiwa A’zam ini adalah peluang terbaik untuk kita menyemak adakah arah kiblat kita di rumah sendiri selama ini tepat.

Menurut perkongsian Planetarium Negara, fenomena ini merupakan fenomena kali kedua yang berlaku dalam tahun 2021 selepas yang pertama berlaku pada 28 Mei lalu.

Dalam pada kita nantikan Istiwa A’zam esok, tentu ramai yang tertanya-tanya adakah sah solat kita selama ini jika kita tidak mengikut arah kibat yang tepat?

REMAJA kongsikan penulisan bekas Mufti Wilayah Persekutuan yang kini Menteri Agama, Dato Zulkifli Mohamad Al Bakri yang pernah disiarkan di halaman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2017 mengenai sesetengah aplikasi dalam telefon yang dikatakan tidak tepat menentukan arah kiblat:

Adakah sah solat kita atau perlukah di qada jika tersalah arah kiblat?

Dari sudut bahasa, qiblat bermaksud arah (al-jihah) yang kita solat ke arahnya, dan menurut istilah syara’ ia difahami sebagai Kaabah secara mutlaq tanpa mengandungi maksud yang lain.

Tiada khilaf dalam kalangan fuqaha’ bahawa menghadap ke arah Kaabah merupakan syarat sah solat bagi yang berkemampuan.

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur’an al-Kareem:

{فَوَل وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ}
Maksudnya: Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjid al-Haram, dan di mana dan dimana saja kamu (sekalian) berada, maka palingkanlah wajahmu ke arahnya. (Al-Baqarah ayat 150)

Tafsir Ibnu Kathir juga ada menyebut bahawa ayat tersebut adalah arahan Allah kepada Rasulullah s.a.w. supaya beliau menghalakan mukanya ke arah Masjidil-Haram ke mana sahaja beliau keluar, juga arahan kepada kaum Muslimin supaya menghalakan muka mereka kearahnya di mana sahaja mereka berada.

Nabi Muhammad SAW pula telah bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
Maksudnya: Jika kamu hendak solat maka sempurnakanlah wudhu, kemudian menghadaplah ke kiblat kemudian bertakbirlah” (HR Bukhari : 1/145)

Adakah Perlu Qadha Solat Jika Didapati Salah Qiblat?

Para ulama’ berbeza pandangan dan pendapat dalam soal ini. Terdapat dua qaul (pendapat):

  1. Qaul pertama menurut Mazhab Syafi’e berpendapat solat yang telah dilakukan menghadap ke arah kiblat yang salah, wajib qadha semula solat yang telah dilakukan. Ianya dipetik daripada Minhaj at-Thalibin, dimana sesiapa solat (ke arah kiblat) berdasarkan ijtihad, kemudian dia mendapat tahu bahawa kiblat itu salah, maka dia wajib qadha solatnya, menurut pendapat yang lebih kuat. Dan ketika dia tahu kesalahannya ketika sedang solat, dia wajib mengulangi semula solatnya.
  1. Qaul kedua pula berpendapat tidak perlu qadha solat yang telah dilakukan jika ternyata salah kiblat yang dituju. Ianya menurut salah satu qaul mazhab Syafi’iyyah, pendapat mazhab Hanafiyyah dan mazhab Malikiyyah.

Salah satu qaul dalam mazhab Syafi’iyyah menyebut bahawa tidak perlu qadha solat kerana adalah harus untuk berijtihad ketika menentukan arah kiblat solat dan solat apabila yakin arah yang dituju itu tidak salah. Manakala arah kiblat juga tidak diketahui ketepatannya secara hakiki, maka ia berbalik kepada kaedah ‘ijtihad tidak boleh membatalkan ijtihad yang lain.

Menurut pendapat Mazhab Hanafiyyah pula daripada Al-Ikhtiyar li Ta’lil al-Mukhtar:

Jika ada orang tidak tahu arah kiblat dan tidak ada seorang pun yang boleh ditanya tentang kiblat, maka dia boleh berijtihad (dalam menentukan kiblat), dan solatnya tidak perlu diulang, meskipun arah kiblatnya salah. Jika dia tahu kesalahan arah kiblat ketika solat, maka dia terus menukarkan arah kiblat ke arah kiblat yang betul dan meneruskan solatnya. Dan jika dia solat tanpa berusaha mencari arah kiblat yang betul, kemudian ternyata ianya salah, maka wajib keatasnya mengulangi shalat yang telah dilakukan.

Dalam Durur al-Hukkam pula dinyatakan bahawa seseorang itu tidak perlu mengulangi solat jika didapati kiblatnya salah setelah dia berijtihad untuk menentukan kiblat tersebut. Hal ini kerana Allah SWT tidak mentaklifkan seseorang untuk menentukan arah kiblat yang tepat secara hakiki.

*

Secara kesimpulannya, isu penentuan arah kiblat adalah merupakan perkara ijtihadiyyah dan bersifat zhanniy sahaja. Arah kiblat yang ditentukan oleh pasukan falak syar’ie adalah berdasarkan kaedah-kaedah teknologi moden menggunakan peralatan.

Untuk memudahkan umat Islam, beberapa pihak yang pastinya berniat baik telah mengambil inisiatif mencipta beberapa aplikasi untuk telefon bimbit bagi memudahkan mereka menentukan arah kiblat solat. Namun apabila diselidik, ternyata banyak aplikasi yang didapati tidak menunjukkan arah kiblat yang tepat, bahkan jauh berbeza daripada arah kiblat yang sebenar.

Maka persoalan sama ada solat yang dilakukan berdasarkan arah kiblat yang dientukan aplikasi tersebut sah ataupun tidak, dan adakah perlu qadha solat tersebut. Kami memilih untuk mentarjihkan pendapat yang mengatakan solat itu sah dan tidak perlu qadha solat tersebut berdasarkan dalil-dalil dan rujukan yang dikemukakan. Ini bersesuaian dengan prinsip yang disebut dalam al-Qur’an al-Kareem:

يريد اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ
Maksudnya: Allah SWT ingin memudahkan kamu, dan tidak mahu menyusahkan kamu.

Firman Allah SWT yang lain:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: Bertaqwalah kalian kepada Allah SWT semampu mungkin. (At-Taghabun: 16)

Walaupun begitu, jika hanya satu atau dua waktu yang tersilap, kami syorkan untuk diqadha. Tetapi, jika sudah begitu lama dan bertahun, maka kami berpendapat ia dimaafkan dan tidak perlu qadha.

Sumber: Planetarium Negara

Published by
Nana