PRN Johor : Kali Pertama Remaja 18 Tahun Mengundi, Penganalisa Jangka Mereka Pilih Parti..

Share

 

Negeri Johor menjadi medan ‘uji kaji’ untuk mengenal pasti isi hati remaja berusia 18 tahun hingga 20 tahun apabila buat kali pertamanya, mereka layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya.

Daripada keseluruhan bilangan pengundi Johor seramai 2,597,742 orang, golangan muda itu mewakili 173,177 orang ataupun 6.67 peratus daripada jumlah keseluruhan. Itu bermaksud, apa jua keputusan mereka untuk memilih parti serta calon yang mana satu akan membawa impak bermakna apabila keputusan penuh diumumkan pada malam ini.

Setakat jam 4.00 petang tadi, media dimaklumkan bahawa hanya 50 peratus sahaja jumlah pengundi yang keluar ke pusat mengundi.

Foto Hiasan : Malaysia Kini

Adakah ini bermakna golongan muda yang menetap di negeri luar Johor tidak pulang ke kampung halaman untuk mengundi? Ataupun sememangnya rakyat Johor masih bimbang dengan penularan COVID-19 lalu tidak yakin untuk keluar mengundi pada hari ini?

Bak kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, mereka mendapati ramai pengundi dewasa yang tidak keluar mungkin atas sebab bimbang COVID-19.

Laporan statistik pengundi yang dijangka dikeluarkan tidak lama lagi akan menjawab persoalan tersebut.

Satu perkara yang REMAJA ingin tekankan adalah mengenai keinginan pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun pada kali ini. Ramai yang pernah menentang mengenai kelayakan seseorang sebegitu muda dalam Pilihan Raya di Malaysia. Bagaimanapun, suara rakyat seharusnya didengari bukan saja daripada golongan dewasa tetapi juga anak muda seperti mereka ini. Mereka juga berkepentingan; apatah lagi inilah harapan masa hadapan negeri Johor (dalam kes Pilihan Raya Negeri kali ini) dalam tempoh beberapa tahun dari sekarang.

Lagipun, setiap undi kan berharga kepada parti yang bertanding, ia boleh membezakan nasib calon pada malam ini.

Menurut kajian lapangan oleh Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu dari Universiti Malaya di 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dilakukan bersama dengan Astro Awani, ia mendapati bahawa Barisan Nasional (BN) telah mendapat sokongan tertinggi golongan itu.

Dengan peratusan sokongan 49.9 peratus, ia jauh meninggalkan parti MUDA yang mendapat sokongan 5.9 peratus walaupun MUDA sepatutnya rapat dengan hati anak muda itu sendiri.

Foto Hiasan : Facebook MUDA

Lain-lain parti bertanding memperolehi sokongan seperti berikut: 17.2 peratus untuk Perikatan Nasional manakala Pakatan Harapan pula hanya sebanyak 12.2 peratus.

Adakah kajian yang dilakukan ini tepat? Sama-samalah kita nanti keputusan penuh Pilihan Raya Negeri Johor pada malam ini.

Sumber : (1) (2)

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
FZ